Bina iman melalui madrasah Ramadan

Bina iman melalui madrasah Ramadan

KEPENTINGAN diri diketepikan sepanjang Ramadan untuk memberikan laluan kepada kepentingan umat yang lebih dominan dengan bersedekah, berzakat dan membantu yang miskin serta yang memerlukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN bulan yang sentiasa dinantikan umat Muhammad. Kedatangan bulan ini disambut dengan iman untuk digilap mencapai ketakwaan, dimeriahkan dengan amalan-amalan sunnah nabawi, diolah penghayatan ujian Ramadan dengan kelembutan budi bersendi adab dan dipayungi dengan warisan jiwa pengorbanan dan perjuangan baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

Sambutan di seluruh dunia menyaksikan sebenarnya Ramadan dapat dihayati bukan hanya dengan iman tetapi fitrah insani merasai peranan dan keistimewaannya.

Oleh itu, Islam sebagai manual Ilahi menjamin kelangsungan hidup sebagai makhluk terbaik berperanan sebagai hamba kepada Allah SWT dan dalam masa sama khalifah yang berperanan memakmurkan dunia ini dengan Islam. Perkara ini dijelaskan Allah dalam surah al-Rum ayat 30 yang bermaksud: “(Turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya”.

Fenomena yang menarik dilihat pada hari ini bagaimana ramai mereka yang belum beriman cuba untuk melaksanakan ibadah puasa. Mereka mungkin mampu berpuasa pada bilangan tertentu tetapi tidak mampu menyempurnakan secara lengkap atau kalau ada yang boleh melaksanakannya secara lengkap namun masih tidak upaya mencapai piawai sebenar.

Kekuatan sebenar terletak kepada iman yang menjadi kurniaan Allah kepada hamba yang terpilih. Allah menjelaskan perkaitan antara manusia yang dipilih untuk diberikan kurniaan iman dengan seruan khusus untuk mereka mengerjakan ibadah puasa Ramadan.

Fitrah manusiawi dan iman kurniaan Ilahi menjadi dasar utama membolehkan manusia berkembang sebagai manusia yang mampu memainkan peranan hamba dan khalifah di atas muka bumi ini. Bahkan kelompok manusia dengan bekalan fitrah yang berteraskan iman akan mampu merealisasikan tanggungjawab memakmurkan dunia ini berdasarkan manual Ilahi.

Gabungan individu dalam satu komuniti berjiwa hamba dalam melaksanakan tugasan khalifah akan menghasilkan kelompok yang diungkapkan oleh al-Quran sebagai umat terbaik.

Apabila Ramadan keseluruhan rutin kehidupan akan berubah. Perubahan rutin hidup berlaku dalam aktiviti keluarga, jadual dan program di tempat kerja serta masyarakat setempat. Perubahan ini menggambarkan bagaimana Ramadan berperanan membawa transformasi dan menjadi penanda aras utama manusia berjaya.

Kita mengutamakan perkara yang sepatutnya berbanding yang kurang utama. Makan dan minum sudah tidak menjadi perkara terpenting kerana peranan kita melaksanakan perintah Ilahi sebagai prioriti. Kepentingan diri diketepikan untuk memberikan laluan kepada kepentingan umat yang lebih dominan dengan bersedekah, berzakat dan membantu yang miskin serta yang memerlukan.

Oleh yang demikian, kita perlu melalui bulan ini dengan meletakkan beberapa asas iman sebagai pegangan dan panduan penting untuk memastikan kejayaan milik kita di akhir Ramadan nanti.
Sifat hamba Allah

Asas pertama ialah menyedari, memahami dan mengakui kita adalah hamba Allah yang bersifat dengan segala kekurangan dan kekerdilan. Kita perlu kembalikan jiwa dan jati diri dengan status asal iaitu seorang hamba Allah yang perlu mentaati dan mengikuti segala perintah suruhan dan perintah larangan yang diberikan kepada kita tanpa sebarang daya dan usaha untuk mempertikaikan apa lagi untuk menentangnya. Sedar hakikat diri sendiri akan menjadikan kita lebih kuat untuk menghadapi cabaran dunia dan rintangan mendatang.

Seorang hamba pasti terbatas kemampuannya. Kemampuan terbatas menyebabkan kita akan menggunakan sepenuhnya apa yang ada untuk menjayakan sesuatu urusan dengan berhati-hati.

IMAN KURNIAAN ALLAH
Asas iman kedua, perlu memahami kedudukan kita di sisi Allah. Kita adalah seorang hamba Allah yang dipilih untuk dimuliakan dengan kurniaan hidayah dan beriman. Iman dan hidayah adalah kurniaan Allah terhebat dan terbesar kepada hambanya. Dan kita memiliki kurniaan terhebat itu atas pilihan Allah.

Status umat Muhammad
Manakala asas ketiga ini membolehkan kita menikmati pelbagai keistimewaan di dunia dan akhirat. Di dunia kita mengecapi kasih sayang Allah dengan digandakan ganjaran pahala dan di akhirat dipersilakan ke syurga dalam kelompok pertama dan menjadi golongan majoriti penghuni syurga. Ini berdasarkan kepada hadis nabi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah di dalam Sahih Bukhari (836) dan Sahih Muslim (855), beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita…”

Hidup dalam Ramadan pilihan Allah
Asas iman keempat adalah pilihan Allah. Allah telah memilih kita untuk menjalani ibadah Ramadan tahun ini. Allah berikan umur, kesihatan dan kemampuan kepada kita untuk menjalani Ramadan. Semua itu adalah nikmat Allah kepada kita. Nikmat ini tidak diberikan kepada semua hambanya kerana ada yang telah meninggal dunia atas ketentuan Allah sebelum sempat menjalani Ramadan tahun ini.

Calon ahli syurga
Asas kelima adalah kita berada dalam senarai calon ahli syurga dan pelepasan dari api neraka. Ruang serta peluang ibadah Ramadan adalah pencalonan ke syurga oleh Allah dan pelepasan azab neraka yang tidak tertanggung. Kita disenaraikan Allah dengan penuh kasih dan sayangnya sebagai salah seorang calon syurga. Sedar atau terlupa, inilah keadaan kita sekarang. Rebutlah pencalonan ini dengan menjadikan Ramadan sebagai jalan mencari reda Ilahi seperti yang disebutkan Allah dalam surah al-Bayyinah ayat 8 yang bermaksud:
“Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah ridha terhadap mereka dan mereka pun ridha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya”.

Marilah kita berusaha untuk melalui Ramadan dengan meyakini dan menghayati dan menghayati lima asas iman agar kita dapat menyediakan diri untuk bergelar orang bertakwa (muttaqin) di akhir Ramadan.

Kualiti diri yang meningkat sebagai muttaqin akan meninggikan kualiti umat Islam secara menyeluruh dan dengan usaha berterusan memungkinkan kita menjadi umat terbaik yang akan memberikan impak positif kepada kemajuan dunia dan perkembangan semasa yang semakin hari semakin mencabar.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Zawawi Ismail ialah Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN