PETALING JAYA: Memegang status ratu boling negara, Natasha Roslan yang telah memenangi Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) dan Kejohanan Dunia masih mahu menambah koleksi kejuaraan.
Sasaran seterusnya buat Natasha atau mesra disapa Ata memasang impian untuk meraih pingat emas di Sukan Asia dan meraih gelaran di Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) Amerika Syarikat (AS).
Katanya, untuk memastikan impian itu menjadi kenyataan, dia perlu meningkatkan lagi tahap permainan dan memperbaiki kelemahan yang ada.
“Belum puas kerana ada beberapa lagi kejuaraan yang belum saya dapat. Saya akan terus bermain untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Sasaran saya seterusnya adalah kejuaraan yang saya belum menang lagi. Sukan Asia belum lagi dan Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional di AS, rakan sepasukan saya (Sin) Li Jane dah menang dekat sana tahun lepas,” katanya.
Untuk rekod, Natasha sebelum ini, telah meraih gelaran juara perseorangan wanita pada Kejohanan Dunia 2023 di Kuwait.
Kejayaan terbaharu diraih atlet berusia 28 tahun itu adalah Piala Dunia di Hong Kong bulan lalu, sekali gus menjadikan dirinya antara pemain boling wanita paling berjaya dimiliki negara. – UTUSAN










