PETALING JAYA: Dua atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri akan memulakan langkah tahun baharu dengan menyertai Terbuka New Zealand pada bulan ini.
Pengarah Teknikal Skuad Terjun Negara, Bryan Nickson Lomas berkata, kedua-dua atlet itu kini berada pada prestasi terbaik mereka selepas pencapaian cemerlang pada kejohanan terdahulu.
Katanya, Pandelela dan Dhabitah telah melepasi syarat kelayakan bagi menyertai kejohanan besar, termasuk Kejuaraan Dunia dan Piala Dunia yang bakal berlangsung pada April dan Julai ini.
“Untuk tahun depan, kita memang berharap mereka dapat terus bersaing di peringkat akhir dalam Kejuaraan Dunia.
“Pandelela, khususnya, telah menunjukkan peningkatan yang signifikan dengan markah yang sangat memuaskan, berada dalam kelompok lima terbaik dunia,” katanya.
Kali terakhir Pandelela menaiki podium ialah pada Piala Dunia FINA 2021 apabila meraih pingat emas dalam acara terjun 10 meter platform di Tokyo.
Beliau berkata, meskipun Pandelela dan Dhabitah adalah atlet senior yang telah berjaya meraih pelbagai pencapaian, mereka masih berpeluang untuk bersinar di pentas dunia, dengan sasaran untuk mengekalkan prestasi tersebut dalam kejohanan-kejohanan penting.
Bryan turut berkongsi tentang perkembangan pelapis terjun negara yang semakin menunjukkan potensi untuk menyertai kejohanan besar.
“Pelapis kita semakin menunjukkan prestasi yang membanggakan. Salah seorang daripada mereka baru-baru ini berjaya meraih pingat gangsa di Kejuaraan Dunia Remaja, Nurqayyum Nazmi Nazim yang menunjukkan potensi untuk diketengahkan dalam kejohanan besar pada masa depan,” katanya.
Bryan berkata, persatuan terjun negara akan terus memberi keutamaan kepada atlet yang berpotensi untuk berada di podium, dan peluang bertanding di kejohanan antarabangsa, termasuk Kejohanan Terbuka New Zealand. – UTUSAN










