Cabaran baharu Malaysia pastikan sifar jenayah rogol

Cabaran baharu Malaysia pastikan sifar jenayah rogol

TIDAK munasabah mengatakan keganasan seksual berlaku kerana kurang cakna tentang moraliti masyarakat atau tidak diterap dengan didikan agama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“APAKAH lahir ke dunia ini suatu dosa? Dan kalau anak perempuan dibenci, siapa gerangan yang melahirkan ke dunia laki-laki yang membenci anak perempuan itu? Bukankah perempuan juga?” – Buya Hamka

Pada 19 Disember tahun lalu, Mahkamah di Avignon, Perancis mengenakan hukuman pemenjaraan selama 20 tahun terhadap Dominique Pelicot bagi kesalahan melakukan keganasan seksual terhadap isterinya, Gisèle Pelicot dan mengaturkan 50 orang lelaki lain untuk merogol wanita berkenaan. 

Sepanjang tempoh sembilan tahun, Dominique memberikan ubat tidur kepada Gisèle hampir setiap malam sebelum membenarkan lelaki lain masuk ke rumah mereka untuk merogol isterinya.

Pada 19 Disember juga, terbongkar laporan berita mengenai saluran Telegram bagi tujuan berkongsi kisah, pengalaman dan fantasi merogol ahli keluarga mereka sendiri. Saluran berkenaan dikatakan mendapat langgan daripada 70,000 orang lelaki serata dunia. Bahkan, ada pengguna yang mengaku telah menyerang wanita di dalam rumah mereka, selain ada juga yang mencadangkan cara dan idea bagaimana untuk melakukan perkara  sama terhadap wanita dalam keluarga mereka.

Di Sarawak, minggu lalu seorang peniaga ditahan atas kesalahan merogol adik iparnya ketika mentua tiada di rumah. Kemudian, tiga hari lalu seorang ayah berusia 57 tahun pula telah dijatuhkan hukuman penjara 42 tahun dan tujuh sebatan bagi dua pertuduhan berasingan merogol anak perempuannya yang ketika kejadian berusia 13 tahun.

Berita sebegini tidak asing lagi dilaporkan dalam pelbagai media berita. Malah sudah menjadi perkara lazim sehinggakan saban minggu berlaku lagi kejadian rogol dan sumbang mahram. Yang menjadi tanda tanya, mengapa ada manusia yang tergamak mencemar maruah keluarga sendiri?

Jika rogol hanya dilihat daripada perspektif jenayah seksual semata-mata, sudah tentu tidak masuk akal untuk ahli keluarga merasa terangsang dan mencari kepuasan seksual dalam ahli keluarga sendiri. Kerana itulah, sewajarnya perkara ini difahami dalam konteks yang lebih menyeluruh lagi.

Dalam bidang sosiologi, sejak 1974 lagi kajian menyatakan punca sebenar keganasan seksual adalah jurang kuasa antara pelaku dan mangsa. Dapatan ini memberikan pencerahan yang jelas bahawa jenayah seksual tidak menjadikan kepuasan seksual sebagai motif utama. Malah, pada 1994, kajian oleh Dr. Jean Proulx mendalami lagi kecenderungan seksual perogol dan mendapati perogol mempunyai dorongan mengawal orang lain melalui penguasaan, penganiayaan atau kesakitan untuk tujuan kepuasan seksual. 

Kajian oleh Proulx turut mendapati  motivasi utama jenayah rogol juga terjurus kepada keinginan perogol memalukan dan menjatuhkan maruah mangsa dan bukan semata-mata bagi matlamat kepuasan seksual.

Memahami konteks dan rumusan kajian sosiologi sebegini, tidak pelik apabila kita membaca berita bagaimana seorang anak tergamak merogol waima ibunya sendiri atau seorang ayah tergamak merogol anaknya sendiri. Perlakuan mereka tidak didorong oleh kepuasan seksual semata-mata tetapi lebih utama, bermotivasikan rasa kebencian yang mendalam sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan maruah ahli keluarga.

Kebanjiran material lucah dan sumbang juga tidak membantu membendung permasalahan ini. Penangkapan 13 orang lelaki dari lima buah negeri yang dilakukan dalam Ops Pedo hujung tahun lalu membuktikan keadaan semakin membarah. Lebih menjelikkan, ada dalam kalangan suspek yang ditahan merupakan bapa dan mempunyai anak perempuan di kediamannya.

Pada Mei tahun lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman melaporkan statistik jenayah rogol bagi tempoh tiga tahun bermula 2020. Antara dapatan yang membimbangkan menunjukkan Selangor mendahului rekod tertinggi pelaporan kes di seluruh negara selain menunjukkan trend peningkatan kes jenayah seksual. 

November lalu pula, Jabatan Perangkaan Malaysia mengesahkan terdapat peningkatan sebanyak 26.5 peratus bagi kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak bagi  2024.

 

TIADA PENGHUJUNG

Adakah membanteras jenayah seksual sesuatu yang mustahil? Adakah rogol merupakan permasalahan sosial yang akan kekal dan malar dalam masyarakat tanpa ruang untuk membanteras? 

Jika benar hipotesis ini, bagaimana mungkin negara Liechtenstein merekodkan penurunan sebanyak lebih 80 peratus bagi kes rogol pada  2015 berbanding tahun sebelumnya? Malah pada 2020, Liechtenstein merekodkan sifar kes rogol. Adakah rakyat Liechtenstein lebih terpelajar daripada rakyat Malaysia?

Sedangkan tidak munasabah untuk mengatakan bahawa keganasan seksual berlaku kerana kurang cakna tentang moraliti masyarakat atau tidak diterap dengan didikan agama. Lebih-lebih lagi memandangkan sudah pelbagai kempen kesedaran dan advokasi yang dilakukan untuk menyedarkan bahana keganasan seksual.

Namun seperti tiada penghujung. Jika serba-serbi sudah cukup diajarkan kepada masyarakat, apa yang kurang sehingga masalah ini masih berleluasa?

Bagi tahun ini, saya amat berharap kita dapat menyaksikan penurunan kes jenayah seksual khususnya melibatkan insiden sumbang mahram. Kejadian sebegini bukan sahaja mengakibatkan kesan trauma  berpanjangan tetapi mendatangkan kemudaratan yang besar kepada keturunan di masa hadapan. Apa lagi yang perlu masyarakat lakukan bila rogol dan sumbang mahram dipandang ‘sudah biasa’?-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN