Penat tanda orang bekerja

Penat tanda orang bekerja

TIDAK logik bagi mereka yang mengaku bekerja mengatakan tidak berasa penat dan lelah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENURUT Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, maksud bekerja ialah melakukan atau menjalankan sesuatu atau berbagai kegiatan (usaha, tugas dan sebagainya) bagi menghasilkan (menyelesaikan, menyediakan serta lain-lain) sesuatu.

Ia menjelaskan bekerja mempunyai hubungan antara tindakan dan kesan atau natijah daripada tindakan yang dilakukan. Seterusnya, apabila sesuatu tindakan dilakukan, tentunya melibatkan tenaga, fikiran dan emosi. Elemen yang menjadi tumpuan adalah untuk menghasilkan tindakan yang berkualiti. Seterusnya, tindakan itu menghasilkan kesan atau natijah terbaik bagi sesuatu matlamat dan objektif terhadap kerja yang dilakukan itu.

​Sehubungan dengan ini, penjelasan yang diberikan ini memberi indikator yang jelas tentang bekerja. Pertamanya, tindakan yang melibatkan tenaga, fikiran dan emosi tentu akan membawa rasa penat juga lelah. Ini kerana pelbagai aktiviti perlu dirancang dan dilaksanakan.

Kedua, tindakan dalam sesuatu kerja itu hendaklah dilakukan dengan tekun. Hal ini demikian kerana setiap proses untuk melaksanakan kerja perlu diikuti satu persatu secara konsisten. Ketekunan menggambarkan proses kerja yang sistematik, iaitu teliti dan tersusun rapi pada aspek prosedur, kaedah serta teknik pelaksanaan kerja. Hal ini penting bagi menghasilkan kesan yang terbaik. Oleh itu, definisi bekerja yang dihuraikan secara tuntas dapat menjelaskan indikator bekerja itu ialah penat dan lelah tekun serta sistematik.

​​Penegasan tentang indikator bekerja disentuh Nabi SAW, iaitu “Sesungguhnya Allah SWT suka melihat hambanya berusaha dengan berpenat lelah mencari rezeki yang halal” (Hadis Riwayat At-Dailami).

Dalam hadis Nabi SAW yang lain pula, baginda menyebutkan “Sesungguhnya Allah SWT suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan, ia akan melakukan dengan tekun (itiqan) (memperbaiki dan merpertingkatkannya)” (Hadis Riwayat: Al-Baihaqi).

PENAT TENAGA
​Seseorang yang bekerja memang tidak boleh lari daripada berasa penat dan lelah. Kerja yang dilakukan itu tentunya akan melibatkan penggunaan tenaga untuk bergerak. Sekira seseorang itu merupakan ketua jabatan, dia perlu bergerak dari satu tingkat ke satu tingkat, dari satu bangunan ke satu bangunan dan dari satu sektor ke satu sektor bagi bertemu warga kerja. Hal ini penting bagi membolehkannya memantau gerak kerja yang berjalan, di samping memberikan sokongan dan panduan kepada warga kerja.

Malah, tenaga juga digunakan untuk ke sesuatu tempat yang jauh daripada bangunan pejabat bagi memastikan sesuatu urusan berkaitan kerja diselesaikan dengan sempurna.

Penat dan lelah dalam menggunakan tenaga juga dapat dilihat apabila seseorang itu terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya atau penjadualan semula masa perjalanan kapal terbang ketika melaksanakan kerja di luar stesen.

Demikian juga seseorang yang bekerja sebagai kakitangan operasi. Tenaga mereka amat penting kepada organisasi. Banyak tugas berat dalam operasi seperti mengangkat dan memunggah barang-barang, mengemas bangunan, menyelia pasukan operasi, menghantar produk dan sebagainya. Terasa penat dan lelah juga berlaku apabila tenaga yang digunakan untuk kerja itu yang kadangkala terpaksa melewati waktu rehat atau waktu bekerja. Hal ini kerana kerja yang dilakukan itu memerlukan pengorbanan dari aspek tenaga dan masa demi memastikan keberkesanan dan kelancarannya.

​Penat dan lelah melambangkan mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh. Walaupun penat dan lelah, tetap tekun bekerja. Oleh itu, tenaga yang ada hendaklah digunakan dengan sistematik menerusi perancangan yang rapi, di samping mengambil nasihat kesihatan untuk kesejahteraan diri.

PENAT MINDA
​Kepenatan dan kelelahan bekerja juga terasa berikutan penggunaan minda atau daya fikir. Setiap tugas yang dilakukan perlu dilaksanakan menerusi proses yang sistematik. Seseorang yang bekerja akan sentiasa berfikir secara analitik dan strategik. Tugasan dalam kerja yang dilakukan perlu dianalisis, dicerakin dan dijustifikasi dengan tepat bagi memastikan setiap bahagian dalam tugasan diperhalusi dengan tepat.

Daya fikir yang optimum dalam bekerja amat penting bagi menilai proses kerja yang sentiasa disesuaikan dengan perubahan. Hal ini bermakna daya fikir dieksploitasi dengan sebaik-baiknya bagi mengelakkan proses kerja itu kekal dengan proses yang sudah biasa dan tidak berubah.
Selain itu, daya fikir digunakan bagi menghasilkan pembaharuan secara strategik dan mencabar dalam proses kerja. Penat dan lelah menggunakan minda atau daya fikir dalam bekerja turut penting bagi menghasilkan gaya bekerja yang bersemangat dan bertenaga. Ia yang juga menjadi elemen yang boleh memberi inspirasi kepada orang lain dalam pasukan untuk bekerja bersama-sama bagi menjayakan matlamat organisasi.

PENAT EMOSI
​Penat dan lelah turut membabitkan emosi seseorang yang bekerja. Misalnya, untuk melakukan sesuatu kerja, ia memerlukan perancangan. Untuk menyediakan perancangan yang sistematik, ia memerlukan kesabaran dan ketekunan berikutan pelbagai maklumat dan data perlu dianalisis serta dicerakinkan.

Apabila siap perancangan, kerja itu tidak boleh terus dilaksanakan tetapi perlu dibentangkan terlebih dahulu pada beberapa peringkat pengurusan. Oleh itu, mereka yang terlibat dengan kerja ini mesti sabar dan menunjukkan ketekunan yang tinggi dalam mematuhi prosedur kualiti yang ada.

Kesabaran dan ketekunan itu penting kerana prosedur yang dilalui itu kadangkala mengakibatkan pelbagai perubahan perlu dilakukan terhadap perancangan yang telah dibuat. Kadangkala dalam menempuh peringkat-peringkat prosedur yang ada itu, ia membawa kepada situasi ‘makan hati’ yang memenatkan dan melelahkan.

Oleh hal yang sedemikian, tidak logik bagi mereka yang mengaku bekerja mengatakan tidak berasa penat dan lelah. Jika demikian dakwaannya, perlu disemak semula gaya dan sistem kerja yang ada mahupun prestasi diri dan organisasinya.
Selari dengan penat dan lelah sebagai indikator bekerja, tiada istilah lagi besar pangkat, lagi senang dan ringan kerja kerana ‘orang bawah’ yang buat.

Hakikatnya, lagi besar pangkat, lagi besar amanahnya, lagi berat kerja dan lagi banyak penat dan lelahnya. Inilah indikator bekerja yang perlu difahami.-UTUSAN

DR. Mohd. Azam Ahmad ialah Rektor di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×