KUALA LUMPUR: Memegang status selaku pilihan kelima, Ayesha Rania Syed Kebir tidak menduga sama sekali penyertaan terakhirnya pada Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa REDtone Kuala Lumpur (KL) 2024 meninggalkan kenangan manis untuknya apabila merangkul gelaran kategori perempuan bawah 19 tahun.
Dalam aksi final kategori premium itu di Pusat Skuasy Nasional Jalan Duta, dekat sini, Ayesha Rania mengejutkan pilihan ketiga, Keira Hickox dari Kanada 11-3, 11-3, 12-10.
Hickox merupakan anak kepada bekas jurulatih skuasy Malaysia, Jamie Hickox yang kini melatih skuad kebangsaan Singapura.
Bagi Ayesha Rania, kejayaan yang dilakarnya itu adalah kemenangan sulung wakil Kuala Lumpur tersebut pada kejohanan antarabangsa di peringkat remaja.
“Ini satu kemenangan yang cukup bermakna buat saya kerana selepas ini saya tidak lagi layak beraksi pada kejohanan ini kerana telah melebihi had usia pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir tamat di sini.
Menurut Ayesha Rania, keyakinannya meningkat selepas menyingkirkan rakan senegara, Anrie Goh yang diletakkan sebagai pilihan pertama pada suku akhir.
Mengulas mengenai aksi final berdepan Hickox, pemain berusia 18 tahun itu memberitahu, dia turun selaku ‘underdog’ dan masuk ke dalam gelanggang tanpa sebarang tekanan berbanding lawannya yang menghuni ranking lebih tinggi.
“Saya tidak tertekan, sebaliknya Hickox yang lebih tertekan, semasa set ketiga dia berjaya heret saya sehingga ke mata ‘duece’, tetapi mujur saya mampu mengatasi cabaran itu untuk menutup permainan dengan keputusan straight set,” ujarnya.
Selepas menjulang gelaran pertama di tanah air sendiri, Ayesha Rania amat berharap dia akan diberi peluang mewakili Malaysia pada Kejohanan Skuasy Remaja Asia dan Dunia, tahun depan.
Sementara itu, wakil Malaysia turut muncul juara dalam kategori lelaki bawah 17 tahun setelah Khairil Fariz Aqil Mirza Naim mengetepikan rakan senegara, Christopher Erwin Kros 11-9, 11-3, 11-4.
Bagi kategori bawah 15 tahun, Malaysia cemerlang apabila menyapu bersih aksi final lelaki dan perempuan dengan Jayden Tan mengejutkan pilihan pertama, Toma Ikeda dari Jepun 11-8, 11-5,11-8 manakala Chew Niea menewaskan Himari Midorikawa 11-6, 13-11, 11-9.
Untuk kategori bawah perempuan bawah 9 tahun, wakil cilik Malaysia, Maya Louis menyingkirkan Cheng Hiu Tung dari Hong Kong 11-6, 11-6, 10-12, 11-6. – UTUSAN










