KOTA BHARU: Seramai 228 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan setiap hari menerusi operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara sejak Januari hingga 15 Oktober lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras kehadiran warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Katanya, dalam tempoh berkenaan, JIM melaksanakan lebih 11,000 operasi dengan memeriksa kira-kira 146,000 warga asing.
“Daripada jumlah itu, lebih 65,000 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan, dengan majoritinya terdiri daripada rakyat Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.
“Setiap jam, seramai 511 warga asing diperiksa, manakala operasi penguatkuasaan dijalankan secara berterusan bagi mengesan mereka yang melanggar undang-undang imigresen,” katanya semasa sidang media selepas operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di Kubang Kerian di sini hari ini.
Lokman Effendi memberitahu, setakat ini, lebih 45,000 warga asing yang ditahan sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Katanya, kebanyakan warga asing terbabit bekerja dalam sektor pembinaan dan perladangan tanpa memiliki dokumen sah untuk berada di negara ini.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen,” ujarnya.
Dalam operasi di sebuah tapak pembinaan di Kubang Kerian itu, Lokman Effandi berkata, JIM Kelantan menahan 55 daripada 57 warga Myanmar yang diperiksa kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Katanua, siasatan mendapati mereka bekerja di lokasi berkenaan antara dua hari hingga dua tahun.
“Semua yang ditahan dibawa ke lokap JIM di sini untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN











