PARA ibu bapa pasti sangat gusar melihatkan statistik 44,263 remaja hamil direkodkan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun lalu dengan 17,646 kes hamil anak luar nikah.
Ia didedahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada 10 November 2024.
Beliau berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu dan daripada jumlah itu seramai 17,646 remaja tidak berkahwin ketika hamil.
Kekhuatiran tersebut memang berasas. Sebabnya tiada ibu bapa yang boleh menjaga anak masing-masing 100 peratus setiap masa dan hari. Ada anak-anak baik kelakuannya di hadapan mak ayah tetapi bertukar sikapnya apabila mak ayah jauh dari mata.
Dalam masa sama, bilangan kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut meningkat 26.5 peratus pada tahun lalu berbanding tahun 2022.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut mencatatkan rekod sebanyak 1,567 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 1,239 kes.
Berdasarkan statistik anggaran penduduk 2024, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun adalah sebanyak 9.14 juta, iaitu 26.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, 34.06 juta.
Mereka inilah yang akan meneruskan agenda pembangunan negara. Mereka jugalah yang bakal memimpin Malaysia pada masa depan.
Namun, apa akan jadi jika anak-anak yang menjadi harapan bangsa, muda-mudi bakal tiang negara ini rosak akhlaknya dan terlibat dengan zina?
Allah memberi amaran (Surah al-Israk, ayat 32) untuk tidak menghampiri zina kerana ia keji dan membawa kerosakan yang seharusnya menjadi pakaian bagi melindungi diri dan pergaulan.
Antara punca yang membawa kepada berleluasanya masalah ini adalah penularan budaya hedonisme. Ia bukanlah satu fenomena baharu. Bahkan telah lama berkembang di Eropah Barat sekitar kurun ke-14 hingga 15 dan kemudian budaya ini merebak ke seluruh dunia.
Hedonisme antara lain adalah doktrin yang memberi dorongan motivasi kepada seseorang untuk bertindak mencapai keseronokan atau kebahagiaan dan mengelakkan unsur-unsur yang boleh mendatangkan kesedihan.
Sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya budaya hedonistik telah menodai dan merosakkan kehidupan manusia yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai agama dan norma-norma masyarakat.
Doktrin hedonistik yang bersifat materialistik cenderung untuk melahirkan manusia yang dibuai dengan ilusi, kebebasan yang mutlak dan gaya hidup bebas sehingga mengorbankan nilai-nilai akhlak dan moral.
Mereka lupakan batas-batas yang digariskan oleh agama untuk mencapai keseronokan hiburan yang sementara.
Menambah kegusaran kita, sebanyak 23,366 jenayah seksual dicatatkan PDRM dalam empat tahun ini hingga 22 September lalu.
Ini dilihat membimbangkan kerana berlaku peningkatan membabitkan beberapa kesalahan seksual termasuk melibatkan kanak-kanak dan remaja dari tahun ke tahun.
Statistik polis merekodkan sebanyak 6,890 kes melibatkan kesalahan rogol diikuti amang seksual fizikal (5,712 kes), cabul kehormatan (4,333 kes) dan gangguan seksual (2,444 kes).
Selain itu, menurut polis, sebanyak 1,220 kes melibatkan sumbang mahram, seks luar tabie (1,041 kes), rogol berkumpulan (423 kes) dan amang seksual bukan fizikal (347 kes).
HATI-HATI DENGAN ANAK TIDAK SAH TARAF
Kebimbangan yang lebih besar adalah perbuatan zina ini merosakkan nasab keturunan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, makna nasab adalah ‘pertalian keluarga, keturunan (terutama daripada sebelah bapa).
Contohnya, nasab bapa pertalian keluarga di sebelah bapa; nasab ibu pertalian keluarga di sebelah ibu; penasaban hal yang berkaitan dengan nasab: ini berkaitan dengan nasab, pewalian, pewarisan, dan pergaulan dalam keluarga.
Imam Raghib al-Asfahani mendefinisi nasab dan nisbah sebagai persekutuan pada salah seorang ibu atau bapa, sama ada hubungan menegak seperti nasab antara bapa dan anak-anak atau hubungan melintang seperti nasab antara saudara-mara dan bapa-bapa saudara. (Rujuk al-Mufradat fi Gharib al-Quran hal. 801).
Antara kerosakan zina sehingga melahirkan anak tidak sah taraf kerana agama Islam tidak mengiktiraf bapa biologi sebagai bapa yang sah dari sudut perundangan Islam. Oleh sebab status yang dimiliki, pada kelazimannya akan memberi kesan kepada kesejahteraan mental dan emosinya.
Kedudukan anak tidak sah taraf ini juga menyebabkan ia terdedah kepada persepsi negatif masyarakat sekelilingnya. Sedangkan antara matlamat syariah ialah perlindungan diri dan akal.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 (Muzakarah Fatwa Kebangsaan) pada 10 Jun 2003 telah membincangkan Anak Tak Sah Taraf. Keputusannya seperti berikut:
Anak Tak Sah Taraf ialah anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
Anak dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah (saat) mengikut takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).
Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.
Pada zaman Rasulullah, datang seorang lelaki dan berbicara dengan baginda mengenai perihal keinginannya untuk berzina. Sahabat baginda yang lain ingin membunuhnya kerana sangat marah lantaran sikap kurang ajar yang dipamerkan lelaki berkenaan kepada baginda.
Namun, Rasulullah tetap tenang dan bertanya kepada pemuda itu: “Sukakah kamu jika orang berzina dengan ibumu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan adikmu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan isterimu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan anakmu? Pemuda itu marah dan menjawab tidak suka sama sekali.
Rasulullah berkata yang bermaksud: “Begitu jugalah orang yang kamu ingin berzina itu, dia adalah seorang anak, seorang ibu, seorang adik, seorang isteri lalu Nabi letakkan tangannya yang mulia di dada lalu berdoa untuk hamba Allah berkenaan. Pemuda itu sangat terharu dengan nasihat diberikan Rasulullah.
Sebelum itu dia sangat mahu berzina, tetapi sekarang tiada yang lebih yang dibencinya selain daripada perkara terkutuk itu.-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










