DATUK Seri Anwar Ibrahim kini genap dua tahun memimpin Kerajaan Perpaduan, hasil daripada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memastikan kestabilan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ulasan ini mendalami isu-isu asas, cabaran politik dan dinamik masyarakat yang menyelubungi pentadbiran Anwar, dengan tumpuan pada perspektif politik, ekonomi dan sosial.
CABARAN SOKONGAN MELAYU DAN KEKECEWAAN CINA
Walaupun Anwar cuba menonjolkan dirinya sebagai wira Islam dengan kenyataan tegas mengenai isu Palestin dan penekanan kepada integriti, tindakan ini belum cukup untuk mengubah landskap politik. Majoriti Melayu didapati terus memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas. Ini hakikat yang tidak boleh dinafikan berasaskan siapa yang memegang majoriti kerusi majoriti Melayu dari semenanjung Malaysia.
Anwar dilihat cuba memancing undi Melayu dengan menonjolkan isu keagamaan. Namun, persoalannya, adakah strategi ini mampu menarik sokongan Melayu yang setia kepada PN? Sokongan ini bukan sahaja soal agama tetapi juga berkait rapat dengan ideologi PN yang lebih menonjolkan naratif keislaman dan identiti Melayu.
Masyarakat Cina dan DAP memainkan peranan besar dalam memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Anwar. Namun, dua tahun pentadbiran ini tidak membawa perubahan ketara yang diharapkan mereka, terutama dalam isu ekonomi dan reformasi sosial. Kekecewaan ini dirasai, tetapi kebanyakan masyarakat Cina tetap menyokong kerana ketiadaan alternatif yang lebih baik.
KEBERKESANAN KERAJAAN PERPADUAN DAN CABARAN SABAH-SARAWAK
Kerajaan Perpaduan adalah hasil gabungan parti-parti yang berbeza ideologi, menjadikannya rapuh dari segi politik angka. Anwar terpaksa berkompromi untuk mengekalkan kestabilan, tetapi ia sering dilihat sebagai kelemahan dalam membuat keputusan tegas. Setiap komponen gabungan mempunyai agenda tersendiri dan kepercayaan antara komponen masih rendah. Ini menjadikan pentadbiran kelihatan tersepit antara kepentingan parti dan aspirasi nasional.
Sabah dan Sarawak sering menguji kepimpinan beliau. Sabah dan Sarawak menggunakan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai tekanan. Walaupun Anwar menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan isu ini, tindakan beliau dilihat sebagai strategi membeli masa, dan digunakan sebagai isu dalam PRU16. Pemimpin di kedua-dua negeri semakin berani mencabar kepimpinan pusat, mencerminkan kelemahan kerajaan persekutuan dalam menangani isu tempatan.
POLITIK TIDAK MENENTU DAN CABARAN DALAM GABUNGAN
Bersatu dan Pas secara amnya menonjolkan ideologi dan hala tuju yang lebih jelas dan konsisten. Kedua-dua parti ini mewakili suara Melayu-Islam yang lebih terarah, menjadikan mereka lebih mudah difahami oleh pengundi dan rakan gabungan.
Sebaliknya, PKR sering menghadapi kritikan kerana naratif yang tidak konsisten. PKR dan Anwar dilihat sering menyampaikan mesej berbeza kepada audiens yang berlainan. Ini menyebabkan rakyat dan pemimpin lain dalam gabungan mempertikaikan kejelasan dasar dan niat sebenar mereka.
Contohnya, beliau boleh menjanjikan reformasi kepada kumpulan tertentu tetapi memberi isyarat status quo kepada kumpulan lain, menyebabkan kekeliruan.
Gabungan yang dibentuk Anwar adalah Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada parti-parti dengan ideologi berbeza. Situasi ini menyebabkan beberapa isu. Antaranya ialah komponen gabungan mempunyai agenda tersendiri.
Ini mencipta dinamik yang rapuh kerana setiap pihak hanya menyokong Anwar dengan syarat mereka mendapat manfaat tertentu, tetapi janji-janji ini tidak semestinya ditepati selepas PRU16.
Komponen gabungan seperti DAP, UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lebih menumpukan agenda masing-masing kerana ketiadaan garis panduan yang jelas dari kerajaan pusat. Situasi ini menyebabkan ketidaksepakatan dalam dasar dan pelaksanaan, dengan setiap pihak memanfaatkan kelemahan kepimpinan untuk memperjuangkan kepentingan mereka sendiri.
Setiap permintaan yang diterima sering dijawab dengan kenyataan seperti ‘tindakan akan diambil’ tetapi tanpa pelaksanaan konkrit dalam masa terdekat. Pendekatan ini dilihat sebagai taktik bertahan, tetapi ia melemahkan kepercayaan rakyat dan rakan gabungan. Contohnya, isu MA63 dilihat ditangani dengan cara ini, menyebabkan Sabah dan Sarawak berasa kerajaan pusat tidak benar-benar komited.
Pendekatan ini mencetuskan persepsi Kerajaan Perpaduan tidak memiliki strategi menyeluruh untuk membawa negara ke arah hala tuju yang jelas. Politik tidak menentu ini juga memberi peluang kepada pembangkang seperti PN untuk mengukuhkan kedudukan mereka dengan naratif ‘konsisten’ dan ‘jelas’.
Isu-isu ini menggambarkan cabaran besar yang dihadapi Anwar dalam memimpin Kerajaan Perpaduan. Ketiadaan hala tuju jelas, kepercayaan yang rendah dalam gabungan dan pendekatan politik yang dilihat tidak konsisten melemahkan kekuatan pentadbiran beliau.
Untuk memastikan kestabilan jangka panjang, Anwar perlu menetapkan keutamaan dasar yang jelas untuk setiap komponen gabungan dan tegas dalam pelaksanaannya. Janji perlu realistik dan disampaikan dengan konsisten untuk mengelakkan krisis kepercayaan. Kerajaan Perpaduan memerlukan pelan strategik yang dapat dilihat sebagai agenda bersama.
Kegagalan menangani isu-isu ini akan menyebabkan kelemahan dalam pentadbiran Anwar, yang berisiko memberikan kelebihan kepada pembangkang dalam PRU16.-UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Jayum Anak Jawan ialah Felo Akademi Sains Malaysia & Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara.










