Bina panglima perang kuat, jangan ada budaya ‘cai’

Bina panglima perang kuat, jangan ada budaya ‘cai’

MOHD. Redzuan Md. Yusof ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Maisarah Sheikh Rahim dan Aqilah Mior Kamarulbaid di Bangi, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJUANGAN Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DATUK SERI MOHD. REDZUAN MD. YUSOF jelas, hanya mahu parti yang diasaskan bersama 11 yang lain bangkit dan kembali merampas Putrajaya.

Namun itu tidak mungkin berlaku sekiranya MPT yang dianggap panglima perang tidak berani bersuara untuk membawa ujian asid deoksiribonukleik (DNA) Bersatu dalam menyuarakan kebobrokan yang berlaku dalam negara ketika ini. Begitu juga bersuara tentang perkara yang berlaku dalam parti.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta dibantu FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan ahli Parlimen Alor Gajah itu berhasrat mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti kali ini hanya kerana mahu berkongsi pengalaman ketika berada dalam kerajaan selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semata-mata demi memperkuatkan parti.


BERKONGSI PENGALAMAN

Jawatan itu adalah amanah, tanggungjawab. Ia bagi memastikan kelestarian perjuangan dengan kepimpinan mantap untuk memastikan Bersatu sebagai sebuah gerakan politik yang dihormati selain dianggap sebagai alternatif untuk menjadi kerajaan masa depan.

Bila ukur baju di badan sendiri, saya tidak boleh menjadi naib presiden. Hasrat, nafsu memang ada, tinggal lagi terpulang kepada mereka yang menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab. Intinya, apa sahaja perjuangan mesti ada strategi dan barisan panglima perang yang tepat.

Dengan sedikit pengalaman yang ada ketika menumbangkan Barisan Nasional (BN) walaupun ketika itu mentadbir negara dalam masa yang singkat tetapi apa yang dilalui cukup luas untuk saya berkongsi dengan panglima-panglima perang yang akan dipilih sedikit masa lagi.

Maksudnya, hasrat saya cuma mahu berkongsi pengalaman supaya boleh membawa Bersatu lebih jauh lagi kedepan untuk memastikan parti ini boleh menjadi tonggak perjuangan orang Melayu dan bumiputera selain membetulkan keadaan hari ini yang tidak sebaik diharapkan dari sudut reformasi, pengurusan ekonomi, keberadaan negara di peringkat antarabangsa, tentang dasar luar negara, ke mana arah kita? Adakah kita mahu bersama Barat atau menjadi sebuah negara yang neutral atau Dasar Ke Timur, kita tidak nampak jelas.

Kita tengok hari ini pelaburan kebanyakan belum nampak menjadi kenyataan. Mungkin ada perjanjian pelaburan tetapi adakah sudah dimuktamadkan? Kita tidak tahu.

Bersatu dengan barisan pimpinan baharu untuk penggal ketiga ini boleh mengubah dasar yang lebih jelas ke mata masyarakat tentang kekuatan kita sendiri untuk kekal.

Atas sebab ini, saya masih berminat untuk terus bersama dalam barisan panglima perang dengan menawarkan diri sebagai calon MPT. Saya tidak pandang G5. Biarlah ia diisi oleh mereka yang boleh membawa nama parti tetapi saya akan pastikan barisan panglima perang ini sebagai pembuat dasar.

Hari ini jika dilihat, penampilan kita tidak begitu menyerlah, rakyat tidak nampak apa yang kita buat. Jadinya, antara perubahan yang saya berhasrat untuk bawa adalah untuk memastikan rakyat tahu apa yang Bersatu buat, faham apa naratifnya dan siapa kepimpinannya.
Kita mempunyai peluang yang amat besar untuk merampas Putrajaya, sebab itu saya mahu kekalkan jawatan di peringkat MPT.

MASIH KUAT WALAU TANPA DANA

Semasa penggal pertama, kita tiada dana pun, kosong. Kita bergolok-bergadai untuk memastikan boleh mencapai satu tahap yang mana orang boleh memilih parti ini.

Cabaran tanpa dana ini subjektif. Ada pelbagai cara boleh digunakan, pelbagai ‘senjata’ untuk berperang, tidak semestinya duit.

Betul, duit diperlukan tetapi tidak menjadi sesuatu yang mengekang kita daripada bergerak. Ramai lagi yang mahu berjuang tanpa menggunakan wang.

Kita hanya perlukan wang untuk pengurusan. Siapa yang mahu berada di kedudukan untuk membantu parti, maka dia perlu buat pengorbanan dalam bentuk wang ringgit dan sebagainya. Saya membantu untuk membina parti ini dengan wang poket sendiri.

KECELARUAN DALAM BERSATU

Bersatu ini banyak bakat dan kita memerlukan pelapis yang boleh menyandang atau mengambil alih pucuk kepimpinan di masa depan. Bila kita melihat penilaian daripada presiden, beliau juga nampak beberapa bakat. Ia tiada pelan kompromi.

Cumanya pengalaman mendidik saya untuk menghormati hierarki politik yang diketuai presiden. Saya akan meminta nasihat dan pendapat presiden tentang kebolehan saya, bolehkah saya membantu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memperkasakan kepimpinan?

Saya rasa saya boleh membantu tetapi jika orang lain kata dia boleh bantu dengan lebih lagi, kita bagilah ruang dan peluang sepertimana penggal pertama saya beri laluan kepada Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) menjadi timbalan presiden. Saya menarik pencalonan ketika itu. Masa itu, saya masih baharu, tidak tahu jangkaan tentang politik.

Sama seperti hari ini apabila Peja membuat pengorbanan dengan memberi laluan kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden. Ia normal dalam politik.

MISI MENAWAN PUTRAJAYA

Pendapat luar kotak saya, mudah sahaja, kita ada misi untuk menawan Putrajaya kembali. Kita mahu lihat dinamik baharu dalam kerajaan, keberanian baharu dalam kepimpinan serta dari sudut menyerlahkan keberadaan parti kepada bakal pengundi. Banyak orang nampak kelemahan tetapi tidak berani menyatakan kelemahan. Adakah kita ini kuat di akar umbi dan mempunyai cukup jentera untuk membantu menawan kawasan-kawasan yang patut kita menangi?

RAPAT SEMULA DENGAN MEDIA

Orang mungkin kritik saya (bila bercakap begini), bila kita duduk di penggal pertama media mencari kami. Penggal kedua, media sudah tidak lagi berminat. Adakah itu ‘sengaja’ kita tidak mahu bercakap dengan media atau mereka yang tidak berminat?

Media adalah suara kerajaan tetapi setidak-tidaknya media yang neutral mesti mahu tahu apa yang berlaku dalam Bersatu. Ini adalah perkara yang saya akan usulkan supaya kembali merapati media kerana mereka menjadi suara untuk menyampaikan dasar perjuangan Bersatu, sebagaimana kita lakukan semasa penggal pertama. Orang nampak apa Bersatu buat.

Bila ada media yang kita boleh bercakap, maka mesej yang ingin disampaikan panglima perang untuk tujuan menawan Putrajaya sampai ke masyarakat tetapi ia perlu melalui kebijaksaan ketua parti.

PELAPIS

Banyak bakat yang sepatutnya kita cungkil, cuma perlu membuka ruang kepada mereka. Jika mereka setakat mahu memegang jawatan dan menjadi yes man (pak turut), susahlah. Dalam kata lain, awak adalah pengikut, bukan pemimpin.

Sebagai seorang pemimpin, anda tidak boleh mempunyai sikap teragak-agak.

Tengoklah ‘puak sebelah’, seorang pemimpin perlu memiliki kekuatan karakter. Apa yang berlaku kepada dirinya, dia tetap mahu menjadi pemimpin. Itulah ciri-ciri seorang pemimpin.

Dalam Bersatu juga ada pemimpin sebegini sebab itu kita perlu cungkil. Saya nampak banyak di peringkat akar umbi.

Saya tidak mahu budaya ‘cai’ dalam parti kerana ia akan mengekang penampilan orang lain. Saya percaya dalam Bersatu tiada budaya ini, cuma apa yang perlu kita lakukan adalah membina sebuah pasukan yang kuat apabila mahu mengubah dasar atau membawa naratif kepada masyarakat.

BERSATU HANYA PLATFORM KEDUA ORANG MELAYU?

Bukan tiada perjuangan tulen, cuma belum nampak. Sebab itu penampilan kita perlu ditambah baik. Kita ada peluang besar sebagaimana disebut Bersatu sebagai alternatif parti Melayu untuk orang melihat agenda yang dibawa.

UMNO hari ini masih relevan, strukturnya bagus, sama ada mereka boleh kembali, saya tidak tahu tetapi trend nampaknya menurun.

Jadi, kita sebagai ahli Bersatu tidak boleh selasa sebaliknya mencari ruang dan peluang supaya mendapat tarikan atau boleh menarik orang-orang Melayu untuk menyokong Bersatu.

KERAJAAN DALAM KERAJAAN

Saya mahu ulang semula kata-kata saya sebelum ini bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan campuran. Sebenarnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menuruti titah istana untuk wujudkan Kerajaan Perpaduan. Kalau Kerajaan Perpaduan, maknanya Bersatu perlu bersama mereka dan tiada pembangkang.

Bila kerajaan campuran maka wujudlah kerajaan dalam kerajaan. Ini yang berlaku hari ini, yang orang Melayu dan pimpinan Bersatu perlu nampak. UMNO juga perlu nampak sekiranya parti itu masih memperjuangkan orang Melayu.

Antara faktor kita tinggalkan Pakatan Harapan (PH) kerana wujud kerajaan dalam kerajaan yang mahu meruntuhkan institusi dibina oleh orang Melayu, mahu meruntuhkan institusi ekonomi yang begitu sedikit tinggal untuk orang Melayu, pertikaikan kedudukan kita sebagai orang Melayu dalam Perlembagaan, mereka mula bertanya tentang agama. Adakah orang Melayu dan Bersatu nampak perkara ini? Inilah yang wajib diketengahkan kepada masyarakat dan kita memerlukan media untuk ‘besarkan’ perkara ini supaya orang Melayu faham yang kita sudah sampai satu persimpangan.

TERLALU BERGANTUNG KEPADA PAS

Ini strategi sebab ia bergantung pada geopolitik di sesuatu kawasan. Kita perlu bijak menyusun strategi untuk menang. Pilihan raya adalah berkaitan nombor.

Contoh, jika saya bawa bendera Bersatu ke Kelantan, kita akan kalah. Sebab itu, masa ke depan ini, kalau Melayu tidak bersatu padu dan mencari satu formula untuk melestarikan kepimpinan bagi menjaga majoriti penduduk di negara yang tercinta ini, maka Melayu akan hilang.

Kita tidak berselindung dengan Pas sebaliknya memerlukan kekuatan mereka di beberapa kawasan. Kita perlu lengkap melengkapi. Kita ada kelemahan, dia ada kekuatan.

PERSEMPADANAN SEMULA

Saya juga ahli jawatankuasa untuk melihat persempadanan semula di peringkat parti. Dalam kerja-kerja awal kita nampak apabila berlaku persempadanan semula, parti yang dominan untuk membentuk kerajaan adalah DAP.

Dan kerajaan dalam kerajaan akan dilestarikan. Jadi, kesedaran perlu dibawa kepada masyarakat majoriti. Kita bukan bersikap perkauman sebaliknya mahu semua rakyat memahami Perlembagaan, kedaulatan dan Rukun Negara.

Pernah dulu dalam Utusan Malaysia, saya menulis tentang menteri tidak faham tentang Perlembangaan. Ketika itu seorang menteri yang mengetuai DAP tidak bersetuju dengan jawi.

Saya tegur dengan mengatakan dia tidak mengajar bangsanya mengenali mereka sebagai bangsa Malaysia, dia tidak mahu ajar bangsanya tentang Perlembagaan. Bayangkan jika mengajar orang Cina tentang kedudukan mereka mengikut Perlembagaan dan kontrak sosial, mereka akan ada rasa hormat.

Saya tiada masalah dengan kaum Cina dan India tetapi perlu faham kita adalah rakyat Malaysia.

Apabila berlakunya persempadanan semula, suka atau tidak akan wujud kerajaan dalam kerajaan. Inilah bibit-bibit masalah kita, apabila satu kaum diketepikan atau dipinggirkan maka timbul ketidakpuasan hati yang akhirnya berlaku ketegangan hubungan antara kaum. Ini mesti dielakkan. Satu-satunya cara adalah untuk semua masyarakat mendaulatkan negara menerusi Perlembagaan. Jangan pertikaikan.

Kalau mereka ada majoriti dua pertiga, mereka mahu ubah Perlembagaan seperti bahasa Mandarin mesti menjadi bahasa rasmi negara, apa kita boleh buat? Kita akan terpinggir. Kita hilang bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Jadi, 20 daripada 80 calon panglima perang yang akan dipilih nanti perlu diberi ruang untuk mempamerkan visi mereka.

BERSATU LEMAH ‘TACKLE’ ISU

Kita sebenarnya tiada saluran, kita tiada media. Kalau anda sedar, apabila sesuatu keputusan dibuat dalam mesyuarat majlis tertinggi, kenyataan yang dikeluarkan daripada pihak parti terlewat satu atau dua hari berbanding sebelum ini, terus buat kenyataan media.

Ketika itu dianggap zaman kegemilangan Bersatu. walaupun kita kecil tetapi berjaya mendapatkan sokongan daripada pelbagai parti.

BUKAN MELAYU DILUPAKAN

Kita ini baharu. Kalau bandingkan dengan BN atau UMNO, mereka sudah lama. Kita menghadapi pelbagai kekangan. Kita sudah ada sayap Bersekutu. Tiada isu pun sebenarnya jika mahu menarik sokongan bukan Melayu cuma perlu memahami strategi dalam peperangan.

Kita ada panglima perang daripada bangsa lain dan kita saling lengkap melengkapi.

Di Johor tempoh hari, saya terperanjat melihat ramai bangsa lain menyertai Jelajah Solidariti Bersatu. Tiada ketakutan identiti perkauman, mereka nampak sebagai sebuah keluarga. Ini merupakan petunjuk yang bagus cumanya kita perlu bekerja keras lagi.

YANG LANTANG, MAMPU BERBAHAS JADI PILIHAN

Dalam mana-mana parti atau kerajaan sekali pun mahupun Kabinet kita boleh berbeza pendapat dan berbahas. Kita mahukan orang yang mahu bersuara dan berbahas. Dinamik ini wujud dalam penggal pertama.

Kita boleh hentak meja, boleh menjerit, boleh kata ya atau tidak tetapi akhirnya kita menjumpai titik persamaan. Keputusan itulah yang dibawa kepada masyarakat.

Inilah saya mahu kembalikan iaitu orang yang berani bercakap, berbahas supaya kita mendapat keputusan yang kuat. Antara mereka yang memiliki ciri-ciri ini ialah Ketua Bahagian Gopeng, Ipoh Timur, Pontian, Pasir Salak, Tanjung Malim dan Tanah Merah. Begitu juga kita melihat kemampuan Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Dr. Afif Bahardin, Che’gu Bard (Badrul Hisham Shaharin) dan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz. Jika Wanita, mungkin dari Pulai.


SUKA BEKERJA DENGAN PAS

Bagi saya Pas konsisten. Saya suka bekerjasama dengan Pas. Saya membuat satu kaji selidik yang mana mendapati tujuh daripada 10 orang menyukai Pas kerana nilai jati diri parti itu. Pas sebuah parti yang tiada korupsi, disiplin bagus. Meraka suka Pas cuma tidak bersetuju jika parti itu mentadbir negara.

Ketika itu saya cadangkan kepada Bersatu, biarkan Pas menjadi pempengaruh. Jika Bersatu boleh mengetuai nilai itu, maka yang bukan Melayu akan menyokong.

Bukan Melayu ini mahu survive untuk menambah baik ekonomi. Masalahnya apabila ada ketua-ketua parti yang main sentimen. Sejak merdeka, sela-in tragedi 13 Mei, adakah kita ada masalah lain?

UMNO silapnya 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan Datuk Seri Najib Tun Razak, itu sahaja. Dan kita jadikan 1MDB isu untuk jatuhkan beliau dan berjaya.

Sama ada kita berjaya lagi sekali untuk menjadi pergerakan politik yang boleh mengubah kerajaan, inilah yang kita perlu buat sebagai barisan panglima perang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN