KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jemaah Menteri berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah walaupun suhu politik negara sedang panas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, turun naik suhu politik adalah perkara biasa namun ia tidak menjadi sebab untuk Jemaah Menteri mengenepikan isu negara dan rakyat.
Beliau dalam masa yang sama yakin keadaan itu akan kembali reda selepas Pilihan Raya negeri (PRN) Melaka.
“Bila ada pilihan raya, suhunya naik sekejap, kemudian turun balik tapi jika mesyuarat tadi, biasa dan tidak saya kesan apa-apa masalah, selain ketidakhadiran Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) yang sudah meletak jawatan.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof) hadir, Menteri-Menteri hadir dan perbincangan kita fokus mengenai pembangunan dan kemudahan rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Madrasathul Gouthiyyah Brickfields hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai keadaan perjalanan mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dengan mengambil kira ketegangan suhu politik dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dalam pada itu, Anwar masih belum memutuskan sama ada menerima peletakan jawatan Menteri Pengangkutan Anthony Loke atau sebaliknya, meskipun surat rasmi berhubung perkara itu telah diterima.
Beliau berkata, perkara berkenaan memerlukan penelitian terlebih dahulu tanpa membuat keputusan secara tergesa-gesa.
“Surat (peletakan jawatan) saya telah terima dan dia (Loke) kata berkuat kuasa, tetapi saya tentunya akan mengambil masa untuk teliti.
“Tidak ada keperluan untuk kita tergesa-gesa,” katanya. – UTUSAN










