Shawn Mendes bersuara, gesa dunia bantu Palestin - Utusan Malaysia

Shawn Mendes bersuara, gesa dunia bantu Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Penyanyi antarabangsa, Shawn Mendes akhirnya tampil menyuarakan pendiriannya terhadap konflik Palestin-Israel apabila secara terbuka menggesa masyarakat dunia agar tidak terus berdiam diri melihat penderitaan rakyat Gaza.

Mendes atau nama sebenarnya, Shawn Peter Raul Mendes, 28, berkata, penduduk Gaza khususnya kanak-kanak dan keluarga yang tidak berdosa amat memerlukan bantuan masyarakat dunia bagi meringankan penderitaan yang ditanggung mereka.

“Bebaskan Palestin! Genosid sedang berlaku di depan mata kita. Pembunuhan tidak berperikemanusiaan di Gaza mesti dihentikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kanak-kanak dan keluarga di Palestin sudah terlalu lama menanggung penderitaan dan mereka memerlukan bantuan kita,” katanya menerusi hantaran di Instagram (IG).

Pelantun lagu I Can Treat You Better itu turut mengakui masih berusaha mendalami konflik Israel-Palestin bagi memahami isu berkenaan dengan lebih menyeluruh, selain mencari ruang untuk menggunakan pengaruhnya dalam membawa perubahan.

Penyanyi kelahiran Kanada itu juga menyeru orang ramai agar menghulurkan bantuan kepada golongan terjejas serta berani menggunakan suara masing-masing untuk menentang sebarang bentuk penindasan.

“Secara peribadi, saya sedang berusaha memperluas pengetahuan dan mendalami isu ini sedalam mungkin supaya lebih memahami di mana dan bagaimana saya boleh memainkan peranan untuk membawa perubahan. Saya juga menyeru anda melakukan perkara sama.

“Kepada sahabat dan rakan seperjuangan dalam industri seni, saya faham bukan mudah untuk bersuara. Ada kalanya, kita berasa takut untuk menyatakan pendirian secara terbuka.

“Saya sendiri merasai perkara itu ketika menaip hantaran ini. Namun, pada masa sama, saya juga merasakan perlu melakukan sesuatu untuk membantu.

“Semakin ramai antara kita menggunakan suara dan platform yang dimiliki untuk menyuarakan perkara ini, semakin dekat kita kepada perubahan.

“Kanak-kanak di Palestin sudah terlalu lama dipaksa untuk menjadi tabah dan berani dalam menghadapi penderitaan. Kini, tiba giliran kita untuk melakukan perkara sama,” tulisnya.

Hantaran berkenaan turut mendapat perhatian pengikut Mendes yang kini memiliki 68.4 juta pengikut di Instagram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini