TANGGAL 16 Oktober 2024 pastinya menjadi tarikh yang tidak dapat dilupakan oleh pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Anwary Syuhaily Rosly. Masakan tidak, ia adalah tarikh Anwary yang juga merupakan pelajar saya mempertahankan laporan akhir tesis PhDnya atau lebih dikenali sebagai viva.
Setelah tiga tahun memperuntukkan segala usaha, tenaga dan masa untuk menjalankan penyelidikan, akhirnya Anwary berjaya mempertahankan laporan akhir tesisnya.
Alhamdulillah, Anwary lulus viva dengan pindaan kecil. Dia bergraduasi pada tahun hadapan, seterusnya dikategorikan sebagai pelajar PhD yang berjaya menamatkan pengajian mengikut tempoh lazim (GOT).
Saya boleh kategorikan Anwary sebagai pelajar yang sangat komited, rajin, sabar, tabah dan kental serta mendengar kata penyelianya. Di awal tempoh pembelajaran PhD, Anwary diuji dengan dugaan apabila arwah ibunya sakit teruk dan perlu jagaan rapi. Namun, ini tidak sama sekali mematahkan semangat dan tidak langsung menjejaskan fokusnya untuk menghabiskan pengajiannya.
Anwary bukanlah satu-satunya pelajar PhD saya yang lulus sesi viva. Sejak 2020 sehingga kini, seramai tujuh orang pelajar PhD di bawah seliaan saya lulus dan bergraduasi. Yang terkini, adalah pelajar berasal dari Yaman yang bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen ke-37 Universiti Utara Malaysia (UUM), pada 11 November lalu.
Kini, pelajar PhD berkenaan bergelar pensyarah kanan di sebuah universiti awam di negara ini. Sebagai penyelia, tiada apa yang menggembirakan saya kecuali melihat pelajar-pelajar gembira meraikan kejayaan menamatkan pengajian dalam majlis konvokesyen.
Umum mengetahui bahawa PhD adalah pengajian peringkat tertinggi seseorang di universiti. Namun, acap kali dimomok-momokkan kisah dan cerita negatif tentang menuntut pengajian di peringkat ini. Kononnya PhD ini sukar untuk lulus.
Usah terkejut, pandangan toksik sebegini bukanlah hanya datang daripada mereka yang tidak terpelajar, tetapi juga mereka yang terpelajar dan memiliki ijazah sarjana yang cuba menakut-nakutkan orang lain untuk belajar sehingga ke peringkat PhD.
Sememangnya dalam proses pencarian ilmu, pelbagai dugaan dan cabaran bakal dihadapi. Setiap individu yang menuntut ilmu di peringkat PhD akan menghadapi cabaran yang unik, namun itu lumrah dalam mencari apa jua ilmu pengetahuan. Hanya mereka yang benar-benar jujur dan ikhlas dalam pencarian ilmu, Insya-Allah akan dibantu Allah SWT untuk menghabiskan pembelajarannya dengan jayanya.
Dengan memiliki PhD, seseorang itu boleh meletakkan gelaran Dr. di depan namanya. Jika seseorang itu bercita-cita ingin memiliki PhD hanya semata-mata kerana gelaran, maka ini adalah satu sikap yang sangat terpesong sama sekali. Hakikat sebenar, PhD adalah proses pembelajaran dalam mencari ilmu di sekeliling kita.
Sayugia diingatkan bahawa semua ilmu dicipta oleh Allah SWT. Sebagai manusia yang merupakan khalifah di muka bumi ini, maka kita perlu sentiasa mencari ilmu.
Dengan melalui semua proses pembelajaran sepanjang menjalankan penyelidikan PhD, seseorang graduan akan mengetahui cara mencari ilmu secara sistematik. Bermula dengan mencari idea dan topik, seterusnya melalui proses pembelajaran yang lain seperti sesi mempertahankan kertas cadangan, pengumpulan data, analisis data sehinggalah ke peringkat penulisan laporan akhir dan penulisan artikel untuk diterbitkan dalam jurnal-jurnal akademik. Semuanya ini merupakan proses pembelajaran.
DEKAT DENGAN PENCIPTA
Sepatutnya proses pembelajaran sepanjang menuntut ilmu di peringkat ini akan mendekatkan diri kita dengan Allah SWT tentang betapa kerdilnya kita di sisi-Nya. Ilmu yang dicari sepanjang menuntut ilmu umpama mencelup jari di dalam lautan yang sangat luas. Menuntut ilmu di peringkat PhD sewajarnya menginsafkan seseorang tentang ilmu pengetahuan yang berada di sekelilingnya.
Jadi, sesiapa yang menggunakan gelaran doktor falsafah tidak sewajarnya berasa bangga atau berlagak dengan gelaran yang dimilikinya. Apalah sangat setakat ilmu yang sangat sedikit berbanding ilmu Allah SWT. Malah, seseorang yang memiliki ilmu yang tinggi sewajarnya mengikut resmi padi, makin berisi makin tunduk.
Bukan setakat resmi padi, ilmuwan perlu sentiasa berkongsi dan mengajar serta menyebarluaskan ilmunya kepada orang lain tanpa sebarang syarat. Lebih luas penyebaran ilmunya, lebih banyak manfaat diberikan kepada masyarakat. Inilah sewajarnya ditekankan dalam falsafah ilmu pengetahuan.
Maka, dalam konteks ini, menuntut ilmu di peringkat PhD amat dialu-alukan. Kerajaan perlu meningkatkan jumlah rakyat yang menuntut ilmu di peringkat ini. Lebih-lebih lagi, mereka yang berada di dalam industri.
Golongan ini lebih mudah untuk menyebarluaskan ilmu dan kepakaran bukan setakat kepada organisasi yang mereka bekerja tetapi juga kepada masyarakat dan negara. Jika kena gayanya, impak gabungan pengalaman dalam industri dan proses pembelajaran akan melahirkan generasi yang benar-benar mencintai ilmu pengetahuan untuk disebarkan dan dihayati serta diamalkan segala ilmu yang dipelajarinya.
Justeru, di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada seluruh graduan UUM yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen UUM ke-37. Teruslah mencari ilmu tidak kira di mana jua berada meskipun selepas bergelar graduan PhD.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Rohami Shafie ialah Pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Sa naz (TISSA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia (UUM).










