KEPENTINGAN penggunaan teknologi terbaharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan data raya dalam bidang kesihatan terhadap pengguna akhir atau rakyat biasa pada era digital tidak dapat disangkal.
Ini termasuklah celik kesihatan yang merupakan aspek penting melibatkan kemampuan individu untuk memahami dan menggunakan maklumat dengan efektif.
Penggunaan AI dan data raya dilihat dapat dimanfaatkan untuk membantu kempen celik kesihatan dalam kalangan pemegang taruh secara kendiri dengan tahap kesihatan seperti pengguna akhir dapat dikawal serta dipantau supaya berada pada tahap cemerlang, gemilang dan terbilang.
Selain itu, telefon dan jam tangan pintar dapat dijadikan alat sokongan terutamannya bagi membuat perancangan secara strategik, mengurus serta memantau aktiviti kesihatan secara kendiri.
Alatan ini dapat membantu pengguna membuat perancangan, memantau penggunaan dan pengambilan gula secara individu untuk mengawal penyakit diabetes selain meramal serta mencadangkan tindakan yang perlu dilakukan supaya tahap kesihatan sentiasa berada di tahap memuaskan sama ada secara berkala atau berterusan.
Melalui teknologi ini, kita dapat memperkasakan program celik kesihatan komuniti sama ada secara setempat atau sejagat.
Antaranya ialah dengan berbantukan teknologi AI dan data raya, pengguna dapat merancang, merekod dan menganalisis data peribadi mereka melalui sistem maklumat kesihatan pintar (SMKP) yang dibangunkan bagi tujuan berkenaan.
Sebagai contoh, bagi tujuan pemantauan penyakit diabetes, data yang berkaitan dengan penyakit tersebut boleh diambil oleh mereka sendiri yang dapat dicerap secara harian atau mingguan. Semuanya ini untuk membantu mereka memantau kadar pengambilan gula dalam makanan masing-masing.
Selain dari itu, penggunaan AI dan data raya yang diaktifkan dalam sistem SMKP juga dapat membantu pihak bertanggungjawab atau berwajib membuat perancangan, pemantauan serta peramalan berasaskan lokaliti mahupun kawasan setempat tertentu bagi mencegah penyakit tersebut. Selain itu ia juga boleh dikaitkan sebagai kawasan panas bagi menggambarkan situasi penyakit yang amat berleluasa dan sebaliknya.
Dengan yang demikian, proses pencegahan awalan dapat dilakukan melalui program intervansi seperti program kesedaran atau celik kesihatan dan segala aktiviti yang berkaitan dengannya.
Pun begitu, salah satu isu utama dalam penggunaan teknologi ini adalah privasi dan keselamatan data. Pengumpulan dan analisis data kesihatan dalam skala besar melibatkan maklumat peribadi yang sangat sensitif.
Risiko pelanggaran data boleh berlaku, maklumat perubatan individu mungkin diakses pihak tidak berhak yang boleh menjejaskan kepercayaan komuniti terhadap teknologi serta program kesihatan.
Oleh itu, pihak berkaitan perlu memastikan langkah-langkah keselamatan yang ketat dilaksanakan seperti penyulitan data dan dasar perlindungan privasi bagi melindungi maklumat peribadi pengguna daripada ancaman siber.
Cabaran lain yang signifikan ialah ketidaksamaan akses kepada teknologi, terutamanya dalam kalangan golongan yang kurang berkemampuan atau mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Program celik kesihatan mungkin tidak dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada golongan yang tidak mempunyai akses peranti digital atau internet.
Ketidaksamaan digital ini boleh mewujudkan jurang dalam penyampaian maklumat kesihatan, yang mana hanya segelintir komuniti akan mendapat faedah. Untuk mengatasi masalah ini, infrastruktur digital lebih inklusif serta program literasi digital yang menyeluruh perlu diwujudkan untuk memastikan semua lapisan komuniti dapat terlibat dalam program ini secara adil.
Teknologi AI dan data raya sangat bergantung pada kualiti data yang dikumpulkan.
Sekiranya data yang diperoleh tidak tepat atau tidak lengkap, keputusan atau saranan kesihatan yang dihasilkan mungkin tidak relevan atau berat sebelah. Ini boleh mengakibatkan masalah klinikal seperti salah diagnosis atau rawatan yang tidak sesuai.
Selain itu, algoritma AI yang digunakan mesti dipantau dan disemak secara berterusan untuk memastikan keputusan yang dihasilkan adil dan tidak diskriminatif terhadap kumpulan minoriti. Pemantauan dan penambahbaikan berterusan terhadap data dan algoritma penting bagi memastikan teknologi ini memberikan impak yang positif dan menyeluruh kepada semua.
Penggunaan teknologi ini memerlukan tenaga pakar yang mahir dalam kedua-dua bidang teknologi dan kesihatan. Walau bagaimanapun, terdapat kekurangan tenaga pakar yang mempunyai kepakaran dalam menggabungkan teknologi AI dengan keperluan kesihatan.
Di samping itu, golongan profesional kesihatan mungkin menghadapi cabaran dalam menguasai teknologi baharu ini menyebabkan wujud keperluan untuk latihan dan pendidikan yang berterusan.
Kekurangan kemahiran teknologi ini boleh menghalang keberkesanan program dan tanpa pelaburan dalam latihan tenaga kerja, potensi penuh teknologi mungkin tidak dapat direalisasikan.
ETIKA
Selain daripada cabaran teknikal, AI membuat keputusan berdasarkan analisis data yang meluas, namun ia mungkin tidak mengambil kira elemen-elemen penting seperti konteks sosial dan faktor manusia yang lebih subjektif.
Persoalan tentang tanggungjawab juga timbul sekiranya berlaku kesilapan dalam diagnosis atau rawatan. Ini menuntut garis panduan etika yang jelas untuk memastikan teknologi ini digunakan secara bertanggungjawab dan selari dengan prinsip kemanusiaan serta keadilan.
Akhir sekali, penggunaan teknologi ini memerlukan pelaburan yang besar dari segi infrastruktur, sistem dan penambahbaikan teknologi secara berterusan.
Kos ini mungkin menjadi halangan bagi negara-negara yang sedang membangun atau mempunyai kekangan kewangan. Selain itu, integrasi teknologi baharu ini ke dalam sistem kesihatan yang sedia ada juga memerlukan pelaburan yang signifikan.
Oleh itu, pihak bertanggungjwab perlu merancang strategi pembiayaan yang mampan agar teknologi ini dapat diterapkan secara meluas tanpa membebankan sistem kesihatan negara atau pesakit.
Secara keseluruhannya, integrasi teknologi AI dan data raya dalam program celik kesihatan mampu membawa transformasi besar kepada kesihatan awam.
Penggunaan teknologi ini merupakan langkah penting dalam mencapai matlamat kesihatan sejagat yang lebih baik dan mampan.-UTUSAN
DR. Rusli Abdullah ialah Profesor di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahli Pemikir di Institut Pengajian Sosial (IPSAS), UPM dan Timbalan Pengerusi Kluster Teknologi Maklumat (ICT), Majlis Profesor Negara (MPN).










