MINGGU ini penting buat banyak universiti awam kerana pelajar baharu memulakan minggu orientasi.
Kelompok pelajar ini merupakan generasi pelapis yang berperanan penting dalam mengisi keperluan negara dan dunia terhadap perubahan semasa, iaitu era yang menyaksikan kepesatan pembangunan teknologi digital, khasnya kecerdasan buatan (AI).
Kelompok pelajar ini adalah daripada Generasi Z, iaitu generasi yang lahir selepas 1995 hingga 2009. Generasi ini mempunyai ciri yang berbeza daripada generasi sebelumnya, Generasi Y dan Generasi X.
Generasi Z gemarkan satu bentuk pembelajaran yang lebih menyeronokkan, lebih santai sifatnya, boleh belajar di mana-mana tempat dan pada bila-bila waktu, komunikasi yang tidak terlalu formal, selain pembelajaran yang berciri adunan tetapan bersemuka dengan digital atau berciri hibrid.
Perubahan generasi pelajar menuntut institusi pendidikan tinggi (IPT) merekayasa iklim pembelajaran yang responsif kepada generasi baharu ini. Generasi Z amnya mahukan agar pembelajaran di universiti dapat memenuhi cita rasa mereka, terutamanya dalam melalui pembelajaran hibrid dan fleksibel.
Pembelajaran hibrid adalah adunan antara pembelajaran dalam bentuk pertemuan fizikal seperti yang lazim terjadi, dengan pembelajaran dalam medium digital seperti pembelajaran melalui video rakaman, pertemuan segerak atau pembelajaran kendiri berbantukan bahan teknologi seperti AI.
Pembelajaran fleksibel pula membawa maksud pembelajaran yang boleh berlaku tanpa masa yang khusus, sebaliknya dilaksanakan pada bila-bila waktu dan di mana-mana lokasi.
Perubahan generasi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) memberikan cabaran buat generasi ahli akademik masa kini yang rata-ratanya adalah daripada Generasi Y dan Generasi X.
Generasi ini sedang beradaptasi dengan keperluan Generasi Z, terutamanya dengan sikap tolak-ansur, memahami cita rasa generasi baharu dan bersikap terbuka kepada cara baharu untuk menyampaikan pengajaran dalam bilik kuliah, makmal atau di luar kampus.
Pendekatan komunikasi misalnya, tidak lagi terlalu formal sifatnya. Dengan generasi baharu di IPT ini, pendekatan berkomunikasi menjadi lebih mesra, lenggok bahasa juga selaras dengan lenggok generasi ini dan komunikasi menjadi lebih interaktif atau dua hala berbanding sehala.
HYFLEX
Pihak universiti menyedari keperluan untuk melaksanakan transformasi kepada iklim pembelajaran di IPT. Bagi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), gagasan HyFlex iaitu adunan pembelajaran hibrid dan fleksible telah dan sedang dilaksanakan.
Gagasan HyFlex menyediakan satu pembelajaran kontemporari yang menepati cita rasa Generasi Z. Gagasan ini merupakan buah fikiran warga UTM dalam membawakan pengalaman pembelajaran di universiti yang dapat melahirkan graduan berkualiti tinggi berorientasikan masa hadapan.
Graduan dengan ciri demikian dapat dilahirkan jika kurikulum pendidikan tinggi adalah cocok dengan perkembangan dunia semasa, khasnya kurikulum merentas pelbagai bidang.
Kurikulum merentas bidang ini menjadi salah satu komponen penting gagasan HyFlex.
Kurikulum sedemikian dirangka dalam memastikan pelajar memperoleh set pengetahuan, kemahiran dan nilai yang memenuhi keperluan semasa serta akan datang.
Pendekatan rentas bidang ini dapat menciptakan iklim pembelajaran transformatif yang membawa perubahan kepada generasi baharu pelajar melalui pengajaran berkualiti tinggi yang dipacu oleh ahli akademik berwibawa, yang berkepakaran dalam teknologi masa kini, di samping penguasaan ahli akademik terbabit dalam bidang kepakarannya sendiri.
Misalnya, semua program akademik di UTM kini diterapkan dengan unsur penggunaan teknologi AI.
Sama ada program terbabit adalah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan bahkan Sains Sosial dan Kemanusiaan, unsur teknologi AI membolehkan semua pelajar mendapat pendedahan yang secukupnya dalam perkembangan teknologi begini.
Pelajar bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan sebagai contoh, dapat melihat teknologi ini daripada perspektif etika serta peranan manusia dalam membangun teknologi AI yang bertanggungjawab serta menjulang nilai manusiawi.
usteru, komponen teknologi AI tidak hanya untuk kelompok pelajar bidang tertentu, sebaliknya menjadi unsur rentas disiplin yang dapat dipelajari oleh semua kelompok pelajar. Ini merupakan ciri pembelajaran inklusif yang tidak mengecualikan sesiapa.
UTM merasa bertuah kerana menjadi universiti yang dipilih oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) yang pertama di Malaysia.
Alhamdulillah, FAI telahpun dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 10 Mei lalu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
UTM akan terus komited dalam memastikan graduan yang dilahirkan adalah memenuhi keperluan negara dan dunia. Pada 2023, tahap Kebolehpasaran Graduan (GE) untuk UTM ialah 100 peratus untuk warga negara.
Angka 100 peratus ini adalah satu cerminan keberhasilan tahap tertinggi yang telah UTM capai dalam memastikan graduan yang hasilkan dapat memenuhi keperluan majikan.
Melalui gagasan HyFlex, UTM akan terus menyerlahkan peranan sebagai sebuah universiti penyelidikan berteraskan sains, teknologi, dan kejuruteraan yang menjadi peneraju agenda melahirkan graduan berkualiti tinggi berorientasikan masa hadapan.
Gagasan HyFlex ini akan kekal menjadi kompas yang memandu pembangunan ekosistem pendidikan tinggi yang responsif, inklusif dan transformatif kepada kelompok generasi pelajar masa kini, Generasi Z. Insya-Allah.-UTUSAN
PROFESOR Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).











