“ISLAM datang menghapuskan taksub dan membanggakan persukuan dan kaum sendiri. Islam menyerukan bahawa seluruh manusia sama harganya, yang tinggi hanyalah yang lebih takwa kepada Allah.” – Buya Hamka.
Pembongkaran, penyiasatan dan akhirnya pertuduhan terhadap kumpulan, berciri kultus, Global Ikhwan Services & Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) mendedahkan sisi gelap yang amat menjijikkan tentang kesan ketaksuban yang menular dalam sesuatu komuniti apabila melibatkan agama.
Meskipun pada asalnya yang ditawarkan adalah cara hidup menyeluruh berteraskan prinsip Islam, namun akhirnya setiap prinsip itu dicemari sehingga kini mendatangkan fitnah kepada agama suci ini.
Maqasid Syariah menekankan pemeliharaan terhadap nasab atau keturunan kerana kesucian keturunan menjaga kelangsungan umat. Bayangkan sahaja jika agama tidak dipasakkan kepada penjagaan keturunan lalu seorang abang dibenarkan mengahwini adik perempuan kandungnya sendiri atau mak saudara dibenarkan menikahi anak saudara, apa akan jadi dengan genetik keturunan ini? Sedangkan kajian genetik manusia sudah semakin banyak yang menyebut tentang padah sumbang mahram.
Hampir tidak terjangkau dek akal memikirkan bagaimana dalam zaman serba moden, dengan imej kopiah, jubah dan serban mengaburi mata, satu kumpulan besar boleh melahirkan beratus-ratus orang anak yang tidak diketahui salasilah keluarganya. Lebih kejam, ibu ayah berhati kaldu sanggup membiarkan anak membesar dengan kepercayaan bahawa mereka kononnya anak yatim piatu tanpa perlindungan ahli keluarga. Tegar hati seorang ibu menitipkan anak ke pusat-pusat jagaan tanpa diberitahu kepada anak itu siapa bapanya, mana asal-usulnya.
Saya mensyukuri hakikat pihak berkuasa bertindak berani dengan menyelamatkan 572 orang kanak-kanak yang ditemui di beberapa buah rumah jagaan di seluruh Malaysia dan langsung menempatkan mereka dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Namun amat memilukan apabila ada ibu bapa yang tidak datang menuntut anak mereka. Apa akan jadi kepada anak-anak ini?
Minggu ini Menteri Kesihatan menyatakan kementeriannya akan membantu mangsa kanak-kanak yang diselamatkan dengan memberikan mereka penilaian kesihatan mental. Ini bagi membolehkan bantuan yang sewajarnya diberikan terus kepada mangsa yang memerlukan. Sokongan sosiopsikologi amat penting bagi memastikan kanak-kanak ini dapat menghadapi trauma yang mereka lalui.
Dalam masa yang sama, Menteri Agama pula menyatakan keperluan menyiasat dengan lebih teratur pernikahan dalam kalangan ahli-ahli GISBH.
Kenyataan ini melahirkan perdebatan hebat dalam kalangan warga maya yang membicarakan pula status pendaftaran sivil dan pemilikan dokumen pengenalan diri mangsa kanak-kanak yang diselamatkan. Tanpa maklumat lengkap bapa mereka, anak-anak ini dinasabkan dengan bin atau binti Abdullah.
Sefaham saya, meskipun tanpa ayah yang mahu memperakui anak-anak ini, sudah tentu setiap mereka boleh diikatkan kepada pertaliannya dengan si ibu. Pun begitu, pelik dan menyedihkan apabila ada pula yang membangkitkan kemungkinan anak-anak ini tidak dapat ditentusahkan ibu mereka. Maka bukan saja mereka tergapai tanpa leluhur yang mampu melindungi mereka, kini mereka dibebani pula dengan kemungkinan permasalahan kewarganegaraan yang serius.
Walaupun pindaan terkini terhadap Bab III Perlembagaan Persekutuan sudah dilihat mampu memberikan perlindungan yang lebih baik kepada kanak-kanak tetapi harus diingatkan bahawa pindaan ini bukanlah menghilangkan terus peraturan pendaftaran kelahiran dan prosedur permohonan kewarganegaraan yang terpakai dalam negara.
Sikap ahli-ahli GISBH yang seolah-olah tidak peduli dengan undang-undang negara sungguh memualkan. Dalam pada mereka mendapat perlindungan negara, memanipulasi keamanan yang diraikan bersama, bahkan memperoleh keuntungan yang bukan sedikit melalui cabang perniagaan, kumpulan ini langsung biadab terhadap peraturan yang ditetapkan negara.
Kes ini bukan saja melibatkan undang-undang tentang akidah dan moraliti, tetapi juga terkait dalam hal perkahwinan, kelahiran dan penjagaan anak serta peraturan mengenai cukai dan perlindungan para pekerja, bahkan jenayah berat. Kesemua peraturan yang ada diinjak tanpa rasa segan.
SOSMA
Meskipun dengan jelas GISBH beroperasi di luar kekangan undang-undang, namun masih ada yang membela entiti ini sehinggakan ada yang menolak pemakaian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam penyiasatan orang-orang yang terlibat. Bagi saya, hujahan yang kononnya SOSMA menindas maka langsung tidak patut diguna pakai adalah hujahan bebal yang dangkal.
Analogi yang kita patut tengok adalah dalam penggunaan pisau dapur. Hanya kerana pisau dapur boleh digunakan sebagai senjata berbahaya, tidak bererti ia sepatutnya diharamkan sepenuhnya dan penggunaan pisau dapur terus dikatakan menindas.
Janganlah hanya kerana perjuangan liberal yang mendesak-desak hal kebebasan sehinggakan kita lupa peranan institusi kehakiman juga berfungsi memelihara hak mangsa-mangsa untuk mendapatkan pampasan dan melihat penindasan terhadap mereka dibela.
Sudah terang, jelas lagi nyata operasi GISBH mampu menjejaskan keselamatan dan keamanan negara. Maka, SOSMA adalah senjata yang efektif dalam mengendalikan penyiasatan terhadap pengoperasian entiti itu.
Sebagai seorang yang meletakkan kedaulatan undang-undang sebagai prinsip yang utama, saya merasakan pembelaan terhadap mangsa GISBH bukan sahaja membolehkan senjata tajam seperti SOSMA diguna sepenuhnya. Malah, lebih daripada itu lagi. Apa sahaja senjata yang ada patut dimanfaatkan agar nasib mangsa-mangsa GISBH dibela, lebih-lebih lagi mengambil kira mangsa kanak-kanak yang ramai jumlahnya.
Mereka lebih berhak terhadap perlindungan undang-undang yang ada berbanding pemangsa bertopeng manusia yang menindas mereka.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










