PERHIMPUNAN Agung MIC (PAM) kali ke-78 berlangsung dengan jayanya di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor pada 15 September lalu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ucapan Ahmad Zahid bukan sahaja diterima baik dengan tepukan gemuruh para perwakilan malah berjaya menutup segala persepsi kurang senang sejak akhir-akhir ini berkaitan kepimpinan beliau.
Meskipun PAM pada kali ini diuar-uarkan akan mengulangi peristiwa perhimpunan agung parti itu yang kelapan di Prai, Pulau Pinang pada 1954, dengan perwakilan membuat keputusan terhadap jajaran baharu iaitu MIC keluar daripada pakatan politik dengan Parti Malaya Merdeka (IMP) dan menyertai pakatan sedia wujud antara UMNO dengan MCA. Tetapi tidak berlaku sedemikian kerana MIC tetap setia menjalin kerjasama di bawah payung BN.
Di sebalik perbahasan perwakilan yang lebih tertumpu permasalahan dan isu semasa yang lebih mendesak, Ucapan Dasar Presiden MIC, Tan Sri Dr. SA.Vigneswaran pula berbeza daripada sebelum ini kerana beliau lebih memberi fokus terhadap hal-hal yang membangkitkan perasaan tidak puas hati, menimbulkan pelbagai tanggapan mahupun persoalan dalam kalangan komuniti India.
Vigneswaan dengan diplomasi dan gaya tersendiri menyelitkan isu-isu seperti sijil halal, pelaksanaan undang-undang Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan peluang pendidikan di Kolej Tafe.
Ucapan balas Ahmad Zahid terhadap persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh Vigneswaran didapati menyerlah selain beliau nampak prihatin terhadap permasalahan dan kepincangan yang dihadapi bukan sahaja oleh komuniti India bahkan kaum lain bukan Islam.
Dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid bukan sahaja mengakui wujudnya kepincangan dalam golongan pelajar yang tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M) malah mendedahkan hampir 10,177 pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Pada hari tersebut, beliau juga mengumumkan Kabinet sudah meluluskan pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu hingga dua sebagai sijil, sementara tahap tiga dan empat sebagai diploma. Manakala tahap enam hingga lapan setaraf dengan ijazah sarjana muda.
Beliau juga menyentuh tentang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dipengerusikan Ahmad Zahid sendiri melalui kerjasama dengan Kolej Tafe.
Dalam masa sama, beliau juga mengumumkan sebahagian dana TVET yang berjumlah RM200 juta keseluruhan akan diagihkan kepada Kolej Tafe, yang diuruskan MIC dan kolej yang diuruskan oleh MCA.
Malah beliau juga mengumumkan Kabinet telah meluluskan kelulusan tahap enam, tujuh dan lapan Kolej Tafe yang bertaraf ijazah. Beliau juga berjanji akan membawa soal peruntukan bagi pembangunan Kolej Tafe kepada pertimbangan kerajaan. Pengumuman beliau terhadap Kolej Tafe mendapat sambutan dan tepukan gemuruh (standing ovation) daripada para perwakilan.
Sementara itu, Vigneswaran juga membangkitkan secara terus terang perkara-perkara berkaitan dengan status MIC dalam gabungan BN, kekuatan dan kelemahan serta hala tuju masa depan parti.
GRAF SOKONGAN MENINGKAT
Umum mengetahui sokongan komuniti India terhadap MIC merosot sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), namun sejak kebelakangan ini kita nampak graf sokongan rakyat terhadap parti ini semakin pulih, malah meningkat saban hari. Dan kerana ini, Vigneswaran terus menyuntik semangat kepada para perwakilan supaya turun padang mendampingi orang India untuk mengekalkan momentum peningkatan sokongan terhadap MIC di peringkat akar umbi.
Pada keseluruhannya, meskipun para perwakilan kurang menyentuh perkara-perkara berkaitan ekonomi makro melibatkan komuniti India dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ,apa ntah lagi RMK13, namun mereka masih sepakat meluluskan pindaan resolusi berkaitan beberapa perkara dalam perlembagaan MIC. Antaranya adalah membatalkan tempoh jawatan presiden yang menghadkan tiga penggal (Perkara Sek VII. 58.2(A)) dan meminda tempoh jawatan ketua bahagian MIC (Perkara Sek.V. 34.4).
Apa pun, PAM kali ini menggambarkan keterampilan dan kebijaksanaan serta ketokohan Vigneswaran memudi MIC malah mendapat sokongan hebat daripada para perwakilan. Ini ekoran beliau berjaya dalam usaha menjadikan MIC terus relevan dan kuat malah membolehkan parti ini berdiri dengan sendiri walaupun tiada jawatan dalam kerajaan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berjaya menawan hati dan minda perwakilan dengan ucapan dan pelbagai pengumuman berkait kepentingan kaum India.-UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial politik.










