APAKAH tujuan pendidikan? Adakah untuk mengembangkan pengetahuan atau adakah bagi meningkatkan kecerdasan minda? Mungkinkah ia dilihat sebagai cara meraih sijil agar dapat bergaji besar semata-mata?
Inilah antara soalan yang saya ajukan setiap kali mengendali sesi bicara mengenai pendidikan mampan bersama pelajar luar negara ketika mengikuti lawatan ke Pusat Sejahtera Untuk Kemampanan dan Kemanusiaan di universiti kami. Kami sering menerima lawatan pelajar khasnya dari Indonesia, Jepun dan Korea Selatan bagi menerokai cara kita menerapkan pendidikan mampan dalam pendidikan tinggi.
Menariknya, apabila ditanya soalan ini, ramai yang mengambil masa untuk memikirkan jawapannya. Soalannya mungkin dilihat mudah, namun pada masa sama ia tidak senang untuk dijawab. Pendidikan sudah menjadi perihal yang begitu asasi sehinggakan kita tidak pernah lagi terfikir untuk bertanyakan soalan sebegini. Oleh kerana sikap ambil mudah inilah, secara umumnya gaya pendidikan kita tidak boleh berubah daripada berkiblatkan sistem menghafal untuk peperiksaan sejak sekian lama.
Sebenarnya, banyak usaha-usaha baik dibuat untuk meningkatkan mutu pendidikan. Ini termasuklah usaha membina pemikiran kritis dalam kalangan murid melalui sistem Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan sebagainya, seharusnya mampu mengasah elemen penaakulan yang perlu dikuasai oleh murid.
Namun begitu, sebagai seorang pelajar yang melalui peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi silibus Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan turut membantu pelajar asas Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), secara asasnya saya rasakan cara KBAT yang dilaksanakan di lapangan telah mengurangkan keberkesanannya.
Walaupun KBAT mensyaratkan murid menjawab soalan berdasarkan penaakulan sendiri akan sesuatu perkara yang tidak disebut di dalam buku teks, tetapi malangnya, di lapangan kita tetap mengikatnya kepada sistem skema dan format jawapan. Akhirnya, jawapan berdasarkan ‘berpemikiran kritis’ juga pada hakikatnya terpaksa tertakluk kepada format tertentu bagi menjamin markah tinggi.
Menghafal lazimnya menjadi cara kita belajar. Malah, sekiranya kita dapat menghafal seluruh buku teks dan mematuhi skema jawapan dikehendaki, insya-Allah kita boleh meraih A+. Sehinggakan di universiti pun, perkara ini masih mempengaruhi pemahaman kita dalam mentafsir kaedah pendidikan, dengan penekanan yang berat diberikan kepada peperiksaan, dengan sebahagian besarnya berasaskan penghafalan.
Adakah ini tujuan pendidikan? Adakah pendidikan semata-mata untuk meningkatkan ruang storan otak pelajar kita? Jika bukan, maka apakah tujuannya menekan begitu banyak perkara untuk dihafal oleh mereka?
Persoalan seterusnya ialah, setakat manakah apa yang dihafal kekal dalam ingatan pelajar dan boleh mereka manfaatkan di luar dewan peperiksaan?
Ketika bertanya, ramai pelajar-pelajar menjawab bahawa mereka sudah lupa sebahagian besar daripada kandungan pelajaran yang dihafal bagi menjawab peperiksaan penting seperti SPM.
Ada yang lupa selepas memasuki alam pendidikan tinggi. Ada juga yang lupa hanya beberapa bulan atau minggu selepas tamat peperiksaan.
Jika begini, kaedah diguna pakai kini bukan pun dapat meningkatkan hafalan, tetapi ia hanya untuk lulus peperiksaan semata-mata. Kita harus menerokai sistem pendidikan yang lebih mampan seperti dipraktikkan di sesetengah negara maju. Sampai bila kita mahu terikat dengan kaedah, menambah lebih banyak peperiksaan agar pelajar dapat dipaksa menghafal lebih banyak perkara, sebagai cara terbaik bagi meningkatkan mutu pendidikan negara?
Pada era masalah buta huruf lagi sepatutnya sudah dapat ditangani. Pelajar sepatutnya mula menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) hasil pendidikan holistik di rumah sebelum melangkah ke alam persekolahan. Justeru, amat malang jika ahli keluarga dan guru terlepas pandang kegagalan pelajar sekolah menguasai kemahiran asas ini setelah beberapa tahun bersekolah.
Peperiksaan bukanlah cara bagi menyelesaikan masalah penguasaan 3M. Setiap masalah harus dirungkai berdasarkan puncanya. Sebagai contoh, bagi anak-anak yang mempunyai masalah pembelajaran, hal ini harus segera ditangani melalui kaedah yang betul bagi memastikan potensi keupayaan mereka dapat dimaksimumkan.
Pendidikan di sekolah bukannya proses menghafal fakta semata-mata. Ia harus bersifat menyeluruh, menyeronokkan dan menanam minat mencari ilmu ke dalam diri pelajar. Pelajar sepatutnya digalakkan untuk meneroka kelompongan minda, berfikiran kritis, mampu berfikir di luar kotak serta mencari idea baharu bagi menyelesaikan masalah semasa.

BEBASKAN SISTEM PENDIDIKAN
Apakah hasil yang diharapkan daripada sistem pendidikan kita? Jika mahu melahirkan pemikir dan pereka, kita harus membebaskan minda pelajar daripada terperangkap dalam kitaran dunia menghafal, menghafal dan menghafal.
Kita perlu melangkah keluar daripada kerangka lama. Dunia pendidikan harus dimerdekakan daripada konsep berorientasikan peperiksaan. Pelajar harus didedahkan kepada pendidikan bersifat holistik yang memberi ruang luas untuk mereka berfikir dan meneroka pelbagai bidang yang diminati.
Tenaga pengajar harus cekap dalam memastikan setiap pelajar tidak hanya menghafal tetapi mampu menaakul ilmu yang diajar.
Peperiksaan seharusnya untuk menilai tahap penguasaan ilmu secara kritikal dan bukan tahap pematuhan kepada skema yang ketat. Markah yang tinggi hasil menghafal fakta semata-mata bukan jaminan pelajar memahami konsep yang diajar dan boleh menggunapakainya di alam nyata.
Ibu bapa memainkan peranan sangat besar dalam memastikan anak-anak belajar dengan baik di sekolah dan memahami apa yang mereka pelajari. Mereka harus menyelami masalah anak-anak. Jangan bersikap lepas tangan hanya kerana anak-anak sudah dihantar ke sekolah, pusat tuisyen serta pelbagai kelas tambahan yang lain.
Pendidikan teras pembangunan negara. Kaedah pendidikan harus bergerak selari dengan kemajuan zaman.
Jangan sekali-kali kita mengekang ilmu. Proses pendidikan harus memartabatkan pengembangan ilmu dan berlandaskan kebijaksanaan. Penyepaduan ilmu begitu penting bagi kita untuk melangkah keluar dari kekangan pendidikan lapuk yang membelah bahagiakan bidang ilmu.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










