Diplomasipolitik Prabowoeratkan hubungan Indonesia-Malaysia

Diplomasi politik Prabowo eratkan hubungan Indonesia-Malaysia

PRABOWO Subianto melakukan pertemuan dengan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu. – FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA hal menarik di awal September ini, terkait diplomasi politik Indonesia-Malaysia. Menteri Pertahanan Republik Indonesia (RI), Prabowo Subianto melakukan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu.

Pertemuan kedua pihak itu bertujuan untuk membahas seputar penguatan kerjasama pertahanan dan pelbagai isu strategik lainnya yang akan terus lestari antara Indonesia dan Malaysia. Prabowo dalam kesempatan ini juga menyampaikan penghargaannya kepada Sultan Ibrahim kerana sambutan serta kemudahan yang diberikan kepada Indonesia sebagai negara sahabat dan memiliki hubungan yang erat antara kedua-dua negara.

Dalam muat naik akaun Facebook, Sultan Ibrahim menyebutkan persahabatannya dengan Prabowo sudah terjalin lebih dari 40 tahun, saat keduanya menjalani latihan tentera di Fort Bragg, Amerika Syarikat (AS). Dalam pertemuan yang berlangsung hampir satu jam itu, Sultan Ibrahim dan Prabowo bertukar pandangan mengenai pelbagai isu tempatan dan antarabangsa terkini.

Di samping menemui Sultan Ibrahim, Prabowo juga menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam pertemuan tersebut, Prabowo dan Anwar berbincang mengenai komitmen kerjasama bilateral kedua negara yang akan terus berjalan dengan baik selaras penguatan hubungan RI-Malaysia di pelbagai bidang.

Anwar Ibrahim, sebagai seorang pemimpin yang dihormati di peringkat antarabangsa, menunjukkan keterbukaan dan ketegasan dalam memperkukuh hubungan Malaysia dengan negara jiran serumpun. Di bawah kepemimpinan Anwar, Malaysia tidak hanya berusaha memajukan kepentingan ekonomi dan pertahanan, tetapi juga meletakkan asas kukuh dalam mempererat hubungan diplomatik yang lebih inklusif dan strategik.

Kepimpinan Anwar yang berdedikasi dalam mempromosikan keamanan serantau serta kestabilan diplomatik menjadi elemen penting dalam memastikan hubungan antara Malaysia dan Indonesia terus berkembang dengan positif. Anwar dilihat bukan sekadar seorang Perdana Menteri, tetapi juga seorang tokoh reformasi yang mengerti pentingnya membina jaringan diplomasi yang kuat dan saling menghormati antara negara-negara jiran.

Pada kesempatan ini, Prabowo juga menyatakan Kementerian Pertahanan RI optimistis pasca penandatanganan perjanjian persefahaman (MoU) bidang pertahanan RI-Malaysia pada 9 Ogos 2022. Kerjasama pertahanan kedua-dua negara akan semakin signifikan, baik di bidang industri pertahanan, pendidikan, operasi dan latihan selain kerjasama lainnya.

Sebagai dua negara serumpun yang memiliki hubungan yang khas dalam bidang pertahanan, Kementerian Pertahanan RI komited untuk menggali potensi kerjasama kedua-dua negara khasnya dalam bidang pertahanan serta mengharapkan perbincangan yang konstruktif pada pertemuan kali ini.

DIPLOMASI POLITIK PRABOWO
Pertemuan tersebut tentu sahaja akan dipersoalkan, apakah ia merupakan pertemuan diplomasi atau pertemuan politik? Apakah ke hadapannya akan memberikan peluang yang baik? Ini mengingatkan kedua-dua negara, Indonesia mahupun Malaysia memiliki kepentingan diplomasi dan politik tersendiri sekali gus juga ada riak masalah terutama dari sisi dan isu wilayah dan pertahanan.

Kita memahami bahawa diplomasi sering kali disajikan sebagai sesuatu yang ‘tunduk’ pada politik, seolah-olah diplomasi hanya menerima ‘masukan’ yang dikehendaki secara politik untuk menghasilkan ‘keluaran’ yang terstruktur secara politik.

Akan tetapi, diplomasi sering kali menyimpang dari arahan politik. Diplomasi bahkan dapat beroperasi hampir tanpa pertimbangan politik apa pun. Pengamatan ini menimbulkan kesan bahawa politik dan diplomasi beroperasi sebagai dua sistem terpisah yang saling bergantung dan pada saat yang sama berdikari antara satu sama lain

Merujuk pada Teori Sistem Moden (terutama Parsons dan Luhmann) yang menyebutkan bahawa politik dan diplomasi terlibat dalam pertukaran ganda iaitu keduanya saling merangsang melalui premis untuk tindakan seperti ‘tujuan kebijakan luar negeri’ dan saling mengimplementasikan sehingga kejadian diplomatik dapat dicatat sebagai keberhasilan politik serta sebaliknya.

Pandangan ini boleh diterima sebab mereka menunjukkan bagaimana diplomat mengikuti rasionaliti yang berbeza dari ahli politik (Putnam, 1988: 460), bagaimana mereka mengikuti idea-idea latar belakang yang harus dibezakan dari pandangan usahawan kebijakan (Kornprobst, 2019), bagaimana mereka mengikuti bukan raison d’état tetapi raison de système (Sharp, 2009: 10).

Diplomat, bagaimanapun juga, memiliki tanggungjawab terhadap perintah antarabangsa secara keseluruhan serta terhadap negara-negara tertentu yang mereka berkhidmat (Sharp, 1995: 829).

Pada pandangan saya, Prabowo yang akan dilantik menjadi Presiden Indonesia menggantikan Joko Widodo (Jokowi), Oktober ini melakukan diplomasi dan juga praktik politik.

Sebagai diplomat, Prabowo mewakili Indonesia menjalankan tugasnya menjalin hubungan Indonesia-Malaysia. Ia menyuarakan isu dan persoalan pertahanan serantau dan serumpun, dalam konteks kepentingan nasional Indonesia terhadap Malaysia.

Sedangkan dari sisi politik, Prabowo menyampaikan pesan politik bahawa mereka yang memimpin Indonesia dan memiliki kekuasaan penuh untuk menjalin hubungan Indonesia dengan Malaysia.

Terkait dengan kekuasaannya ini, pesan politiknya, sebagai seorang dengan kepakaran dan pengalaman tentera yang kuat, Prabowo ingin menyampaikan bahawa Indonesia memiliki kekuatan tentera yang akan menjaga wilayahnya, jangan sampai hilang direbut negara lain, termasuk Malaysia.

Saya berpandangan dengan praktik diplomasi dan politik, Indonesia melalui Prabowo akan membuka peluang diplomasi dan politik yang lebih baik ke hadapan dengan Malaysia. Mengapa?

Sebabnya ialah Prabowo disokong dengan jalinan persahabatan peribadi yang baik dengan Sultan Ibrahim dan Anwar yang memiliki komitmen bersama untuk memajukan negara serumpun Indonesia-Malaysia.

Anwar, melalui kepemimpinannya yang inklusif dan visi reformasi yang jelas, telah meletakkan asas yang kukuh untuk kerjasama serantau yang lebih baik, menjadikan hubungan Malaysia-Indonesia sebagai model bagaimana negara-negara serumpun boleh bekerja bersama dalam mencapai kesejahteraan bersama.-UTUSAN

DR. Warjio ialah Pensyarah Politik di Universitas Sumatera Utara (USU), Medan, Indonesia dan Pengarah Pusat Jaringan Analisis Politik Malaysia-Indonesia (CPAMIN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN