TERDAPAT penelitian dilakukan pihak tertentu untuk memperlihat realiti murid bukan Cina, khususnya dari etnik Melayu yang belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC). Dapatannya ialah rata-ratanya bukan sahaja mereka gembira sekali, juga memperoleh banyak manfaat sewaktu di sana.
Ia sudah tentu tentang penguasaan bahasa Mandarin yang amat berjaya, selain peluasan pengetahuan mereka tentang khazanah budaya Cina yang dikatakan kaya itu.
Sehubungan penelitian ini, banyak perkara baik lagi cemerlang dinarasikan untuk mengangkat naratif tentang SJKC yang kesemuanya positif belaka pada murid bukan Cina. Dalam pada ini, beberapa pengakuan daripada etnik Melayu yang menghadiri SJKC dan seterusnya sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) yang terus menawarkan bahasa Mandarin sebagai mata pelajaran sahaja, turut disertakan untuk menyakinkan khalayak tentang kebenaran narasi dan naratif itu.
Sebenarnya narasi dan naratif itu bukan sesekali ceritera penuh tentang dua institusi itu. Ini kerana kisah benar pada murid Cina langsung tidak disentuh walaupun yang positif, apatah lagi yang negatif. Dalam hal ini, sudah pasti yang positifnya ialah murid Cina didapati lebih baik bahasa Mandarin mereka setelah mempelajarinya secara formal. Ikut diperoleh ialah penghayatan lebih mendalam terhadap tradisi Cina yang dianggap etnik Cina sebagai lebih superior daripada yang lain-lain.
Yang negatifnya ialah murid Cina rata-ratanya hanya menguasai bahasa ibunda mereka dan tidak pun mempunyai pengetahuan sederhana, apatah lagi yang baik terhadap bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang diajar bersekali. Secara umumnya hal ini didapati bukan sahaja berlanjutan selepas alam persekolahan. Ia juga menjadi identiti lepasan SJKC dan SMJK.
Sehubungan gejala ini, ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana dalam dasar bahasa di negara ini, bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara adalah bahasa paling penting sekali. Ia diikuti bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa bagi kita. Selepas kedua-dua bahasa ini, baharulah terletak bahasa Mandarin dan lain-lain dengan kedudukan kepentingannya yang jauh lebih rendah di negara ini.
Dalam hal ini apabila terdapat warganegara yang hanya menguasai bahasa Mandarin, sudah tentu bukan sahaja banyak yang tidak kenanya dari segi identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat. Ia juga membabitkan persoalan patriotisme, terutamanya dalam konteks semangat kebangsaan dan kebangaan nasional pada negara ini sebagai tanah air mereka.
Inilah realiti pada sebahagian besar, malah hampir kesemua murid Cina di SJKC yang tidak mahu disentuh langsung oleh pihak tertentu itu. Inilah juga yang dititah oleh Ketua Negara kita tentang adanya lagi generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa negara walaupun setelah sekian lama tertubuhnya negara ini.
Pelbagai dalil diberikan oleh etnik Cina tentang hal ini, antaranya ialah beban belajar tiga bahasa pada usia yang begitu muda seawal darjah satu. Apa-apa jua muslihatnya, perkara ini tidak boleh lagi dibiarkan berterusan.
Sehubungan ini, etnik Cina wajib mencari jalan agar penguasaan bahasa negara yang baik oleh warganegara dari etnik Cina bukan sahaja menjadi keutamaan mulai sekarang. Ia juga adalah kewajipan sebagai warganegara yang baik.
Untuk ini, etnik Cina hendaklah menerima saranan kerajaan bukan sahaja dengan hati terbuka, yakni sepenuhnya dan secara ikhlas pula. Juga tanpa apa-apa perasaan curiga, iaitu tidak sangsi langsung akan hasrat murni kerajaan yang semata-mata dipasang atas pertimbangan pendidikan untuk kebaikan semua pihak.
Seperkara lain tentang realiti pada murid Cina di SJKC ialah mereka rata-ratanya tidak mengetahui budaya etnik lain. Gejala ini juga dititahkan apabila Ketua Negara kita mendapati masih adanya generasi hari ini yang tidak memahami cara hidup etnik lain setelah lebih 60 tahun kita menubuhkan negara ini.
Walaupun sudah untuk sekian lama SJKC mempunyai enrolmen murid bukan Cina yang agak tinggi, dengan etnik Melayu sebagai kelompok terbesar, integrasi, khususnya ke dalam struktur sosial Melayu tidak banyak berlaku. Malah ia langsung tidak berlaku kerana SJKC adalah institusi pendidikan Cina.
Dengan ini, sosialisasi di SJKC ialah proses pembudayaan warisan Cina kepada semua murid dari segi sikap, nilai, norma, dorongan, kemahiran, tingkah laku dan yang seumpamanya.
KONSERVATIF
Sehubungan ini, interaksi di SJKC antaranya adalah bagi membolehkan setiap murid berfungsi dengan baik dalam budaya Cina untuk perkembangannya sepanjang di sana.
Bagasi budaya Cina, iaitu sikap, pemikiran, pertimbangan dan lain-lain yang kuat tersemadi dalam warisan Cina, sesungguhnya adalah indoktrinasi yang berlaku di SJKC, sama ada secara sedar mahu sebaliknya.
Dalam hal ini, ia sesuatu yang benar lagi berjaya. Ia dapat dilihat apabila lepasan SJKC mencemuh tahap dan kadar kecinaan yang didapati amat cair, malah kekadang tiada langsung pada etnik Cina yang belajar di sekolah kebangsaan (SK).
Jadi realiti pada murid Cina di SJKC ialah mereka bukan sahaja sangat menghayati, juga amat menghargai warisan budaya Cina. Dengan ini, secara umumnya murid Cina di SJKC, juga lepasannya didapati amat kuat sikap konservatif Cina mereka.
Malah kebanyakan mereka boleh dikategorikan sebagai cauvinis, iaitu memiliki sikap yang terlalu agresif dan juga yang amat tidak munasabah tentang etnisiti dan warisan Cina, untuk diangkat di negara ini yang tuannya adalah Melayu-Islam.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).











