Perkaya komunikasi dengan peribahasa

Perkaya komunikasi dengan peribahasa

BANYAK peribahasa tradisional berkaitan telur yang tetap relevan dengan situasi sosiopolitik di negara kita-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA topik yang mendapat perhatian orang ramai pada minggu ini ialah penurunan harga runcit telur gred A, B dan C sebanyak tiga sen sebiji yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin, lalu.

Saya pula teringat satu peribahasa yang diajar Cikgu Mokhtar sewaktu di Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Darul Ridwan, Taiping. Pada mulanya, saya menyebut ‘sesangkar’ tetapi beliau membetulkan. 

Perkataan ‘sangkak’ yang disebut ‘seron’ dalam loghat Kedah merujuk tempat ayam bertelur dan mengeram. 

Peribahasa ‘ibarat telur sesangkak, pecah satu pecah semua’ terus melekat dalam minda saya. 

Maknanya sama dengan slogan ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’ yang lebih dikenali umum.

Satu lagi peribahasa dengan makna sama ialah ‘seperti telur dua sebandung, pecah satu pecah keduanya’. Kita tentu biasa dengan air sirap bandung tetapi ‘bandung’ dalam peribahasa ini bermakna ‘kembar’. Maknanya, dua biji telur bercantum. Jika sebiji pecah, maka sebiji lagi juga akan pecah.

Sekiranya difikirkan, ada begitu banyak peribahasa Melayu yang semakin kurang digunakan. Mungkin kita pernah gunakan semasa menulis karangan di sekolah dahulu tetapi sudah semakin hilang dari ingatan sekarang.

Sebenarnya, rata-rata peribahasa tradisional tetap relevan dengan situasi sosiopolitik di negara kita. Misalnya, sering kali situasi ‘seperti telur di hujung tanduk’ berlaku dalam parti politik.

Orang ramai pula teruja mengikuti perkembangan untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya kepada politikus terbabit yang berada dalam keadaan genting.

Misalnya sewaktu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keputusan mahu memecat ahli Parlimen parti itu yang menyokong kepimpinan Anwar. 

Satu lagi peribahasa Melayu yang bukan hanya sesuai dengan senario politik tetapi juga dapat dikaitkan dengan situasi masyarakat umum ialah ‘telur mengatakan lepang tak pandai duduk’.

Apabila media sosial milik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaparkan peribahasa ini pada Disember 2021, ramai anak muda Melayu menulis komen dan bertanya apakah makna ‘lepang’.

Zulkharshah Yaakub menjelaskan lepang berbentuk bujur macam bola manakala Al Mawaddah dan Mohd Kamirul berkongsi foto buah berkenaan dari internet. Pemilik akaun Facebook bernama NurFz Wonder Land pula ingin tahu sama ada perkataan ‘lepang’ disebut dengan ‘e pepet’ atau ‘e taling’.

“Peribahasa ini perlu dibaiki kerana penggunaan perkataan yang kurang tepat. Saya tidak tahu apa itu lepang. Yang saya tahu, ‘leka’ diperbuat daripada kulit pokok buluh. Gunanya untuk meletakkan kuali atau periuk yang masih panas,” komen Anua Rahman pula seperti tikus membaiki labu.

Orang kita mungkin lebih mengenali peribahasa Inggeris ‘pot calling the kettle black’ (periuk menggelar cerek hitam legam) berbanding ‘telur mengatakan lepang tak pandai duduk’ dan ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih’.

Pengguna bernama Tan Tan dari Indonesia mengatakan, “Kalau bahasa kampung saya, lepang itu ialah buah timun.” Beberapa pengguna tampil memberikan makna dan penjelasan lanjut bagi peribahasa itu.

Saya melihat hal ini sebagai sesuatu yang positif. Walaupun di satu pihak, ramai orang sudah tidak mengenal pelbagai peribahasa tradisional, di pihak satu lagi, masih ramai sudi tampil memberi penjelasan.

Satu lagi peribahasa Melayu yang sudah tidak kedengaran dalam perbualan ialah ‘tua-tua telur ayam’. Masyarakat kita memang sentiasa merendah diri dalam pergaulan dan perbualan.

Katakan misalnya seseorang memuji kita sebagai orang yang sudah banyak pengalaman atau sudah banyak makan garam. Lalu, kita mahu merendah diri dengan mengatakan diri kita tidaklah terlalu hebat berbanding orang itu. Maka, kita menggunakan peribahasa tadi.

Ada beberapa lagi peribahasa lama berkaitan telur yang menarik perhatian saya kerana makna simbolik dan mendalam terkandung di dalamnya.

Contohnya, ‘ayam bertelur di atas padi’ mungkin sukar difahami generasi muda yang tidak pernah membela ayam atau pergi ke sawah. Bayangkan seekor ayam betina bertelur dan mengeram di tempat yang ada banyak padi. Tentulah ia tiada masalah mencari makan. Peribahasa ini merujuk orang yang hidup mewah dan senang-lenang.

Berbeza pula dengan peribahasa ‘ayam bertelur di atas padi, mati kelaparan’ atau ‘ayam di kepuk mati kelaparan’. Kepuk ialah tempat menyimpan padi. Jadi, tentulah pelik dan amat malang jika ayam yang ada bekalan makanan tetap mati kebuluran.

Peribahasa di atas dituju kepada orang yang mungkin ada kerja dengan gaji besar tetapi masih hidup menderita atau tidak tenang. Begitu juga orang yang berkahwin dengan individu kaya-raya tetapi tidak berpeluang menikmati kemewahan dan kebahagiaan.

Pada 1 April 2014,  sebuah portal menyiarkan berita bertajuk DAP ibarat ayam bertelur sebiji riuh sekampung. Generasi muda yang tinggal di bandar mungkin sukar memahami konsep yang terkandung dalam peribahasa ini.

Bagi orang yang memelihara ayam, pasti tahu apa yang dimaksudkan. Setiap hari, ayam betina hanya bertelur sebiji tetapi akan berketak (berbunyi) bagi tempoh lama sehingga semua orang tahu ia bertelur.

Tentulah peribahasa ini boleh digunakan secara sinis atau menyindir mana-mana pihak terbabit. 

Malah, peribahasa ini amat popular di media sosial sejak Isnin lalu.

Satu lagi sindiran pedas melibatkan ayam dan telur muncul menerusi peribahasa ‘berketak ayam mandul; orang berketak ia berketak, orang bertelur ia tidak’.

Gambaran dalam peribahasa ini amat jelas. Misalnya, katakan ada individu yang bising dan heboh kononnya mahu melakukan sesuatu untuk membantu mengatasi masalah dihadapi penduduk.

Akan tetapi, sementara orang lain yang tampil berusaha membantu, individu itu pula tidak menunjukkan apa-apa hasil.

Peribahasa lama wajar dipelajari dan digunakan untuk menggambarkan situasi semasa, termasuk komentar di media sosial.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN