WEIMAR: Pengendali England, Gareth Southgate perlu memerah otak mengatur strategi terbaik untuk memerangkap Denmark dalam aksi kedua dalam kempen Euro 2024.
Anak buah Southgate turun dengan misi untuk meraih kemenangan kedua, namun mereka berdepan tugas berat kerana Denmark turut memasang impian yang sama.
Dalam perlawanan pertama England sekadar menang 1-0 ke atas Serbia hasil jaringan Jude Bellingham, manakala Denmark terikat 1-1 dengan Slovenia dalam Kumpulan C.
Ketika ini juga, England mahu meredakan tekanan terhadap mereka selaku pasukan pilihan di Euro 2024 apabila mahu meraih kemenangan bergaya bertemu Denmark esok.
“Kami mahu menang dalam perlawanan kedua, pemain juga bersemangat selepas keputusan positif dalam aksi pembukaan. Kita akan lihat strategi terbaik untuk memerangkap Denmark.
“Pasukan ini masih mencari persefahaman. Semua orang mengharapkan kami melaluinya dengan mudah. Masih banyak kerja keras kelak,” kata Southgate.
Sementara itu, Denmark berkesempatan untuk membalas dendam terhadap England dalam perlawanan ini selepas mereka tewas 1-2 pada peringkat separuh akhir Euro 2020.
Dalam aksi pertama, Denmark mengharungi perlawanan penuh emosi berikutan kepulangan pemain berpengalaman Christian Eriksen yang juga penjaring gol dalam aksi menentang Slovenia,
Tiga tahun lalu, Eriksen terkena serangan jantung ketika beraksi pada kejohanan terakhirnya dan ramai menjangkakan beliau tidak akan terlibat dalam bola sepak lagi, namun semua andaian meleset dengan dia kembali bangkit.
Sementara itu, selepas musim yang cemerlang di Real Madrid, Bellingham yang berusia 20 tahun membuktikan bahawa dia bersedia untuk memikul tanggungjawab besar untuk England.
Southgate berkata, tanpa berselindung menyatakan rasa gembira dan puas hati terhadap impak yang diberikan pemain muda itu.
England bernasib baik apabila permulaan kempen Euro 2024 dengan memperoleh kemenangan namun penyokong pasukan itu belum cukup berpuas hati terhadap barisan pemain.
Sekiranya menang ke atas Denmark. skuad The Three Lions berpeluang untuk layak lebih awal ke peringkat kalah mati dan akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Slovenia. – AGENSI/UTUSAN
ENGLAND
Jurulatih: Gareth Southgate
Formasi: 4-2-3-1
PENJAGA GOL: Jordan Pickford
PERTAHANAN: Luke Shaw, John Stones, Harry Maguire, Kyle Walker
TENGAH: Kobbie Mainoo, Declan Rice
SERANGAN: Phil Foden, Jude Belingham, Bukayo Saka
PENYERANG: Harry Kane
DENMARK
Jurulatih: Kasper Hjulmand
Formasi: 4-3-3
Penjaga Gol: Kasper Schmeichel
Pertahanan: Joachim Andersen, Andreas Christensen, Jannik Vestergaard, Rasmus Kristensen
Tengah: Christian Norgaard, Pierre-Emile Hojbjerg, Christian Eriksen,
Penyerang: Rasmus Hojlund, Jacob Bruun Larsen, Anders Dreyer










