GELSENKIRCHEN: Sepanyol sekali lagi menagih sentuhan menakjubkan Fabian Ruiz untuk menjadi pemangkin ketika membenam Croatia menjelang kempen menentang Itali dalam Euro, esok.
Pertemuan antara penyandang juara dan juara tiga kali Kejohanan Eropah itu dianggap pertemuan buku dengan ruas Kumpulan B sejak kempen Euro 2024 membuka tirai minggu lalu.
Itali bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Albania 2-1 manakala Sepanyol dengan sentuhan Ruiz membenam Croatia yang juga semi finalis Piala Dunia 2022, 3-0.
Ruiz, 28 yang bermain dengan kelab Paris Saint-Germain mewujudkan peluang kepada Alvaro Morata menjaringkan gol, sebelum dia sendiri menyumbat gol kedua dengan gerakan menarik melepasi pertahanan Croatia termasuk kapten pasukan lawan, Luka Modric.
Peranan Ruiz membuktikan dia pemain hebat di bawah kendalian Luis de la Fuente walaupun disisihkan daripada kempen Piala Dunia semasa dibimbing Luis Enrique.
“Apa lagi yang saya perlu ceritakan tentang Fabian Ruiz? Dia pemain hebat yang kini di tangga teratas dunia. Daripada persembahannya sebelum ini menunjukkan dia pemain hebat dengan teknik permainan tersendiri. Kita patut menghargainya. Dia mempunyai impian besar,” kata De la Fuente. – AFP/UTUSAN










