LEIPZIG: Didier Deschamps memberitahu adalah tidak berbaloi jika beliau terburu-buru meletakkan risiko kepada Kylian Mbappe bermain menentang Belanda yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan saingan Euro pagi ini.
Mbappe hanya menyaksikan perlawanan tadi dari bangku simpanan dengan beberapa peluang dibazirkan di depan gawang lawan sekali gus menangguh langkah Les Bleus ke saingan kalah mati berbekalkan baki satu perlawanan lagi.
Deschamps sebelum ini telah dapat menjangka keputusannya itu akan menjejaskan peluang lebih awal ke saingan 16 akhir tetapi berharap Mbappe akan pulih untuk perlawanan terakhir mereka menentang Poland pada Selasa ini.
“Setiap hari dia semakin baik. Andai perlawanan tadi adalah penentu, saya mungkin berfikir dua kali sama ada mahu membenarkan dia bermain atau sebaliknya. Kami mengambil keputusan untuk kebaikan dia. Selepas apa yang berlaku (patah hidung) kami mengambil keputusan yang tepat untuk merehatkannya di bangku simpanan,” kata Deschamps.
Dalam aksi pagi ini Antoine Griezmann melepaskan dua peluang yang terhidang, malah Perancis masih kekal dengan jumlah satu gol setakat ini selepas melalui dua perlawanan.
“Saya telah cuba mewujudkan keseimbangan dalam pasukan. Cuma saya kesal mereka tidak cukup efisien. Kami mendapat lima atau enam peluang menjaringkan gol tetapi pemain gagal menyempurnakannya” katanya. – AFP/UTUSAN










