Terengganu FC tingkat kawalan keselamatan pemain, pegawai

Terengganu FC tingkat kawalan keselamatan pemain, pegawai

AKHYAR RASHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pihak pengurusan Terengganu FC (TFC) akan meningkatkan kawalan keselamatan pemain dan pegawai pasukan susulan insiden jenayah menimpa Akhyar Rashid dan Faisal Abdul Halim.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Sabri Abas berkata, langkah itu melibatkan aspek kawalan keselamatan di pusat latihan dan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada hari perlawanan.

Menurutnya, antara tindakan yang diambil adalah mengenakan larangan kehadiran penyokong ke sesi latihan pasukan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus yang akan diadakan secara tertutup selepas ini.

Mohd. Sabri memberitahu, langkah perlu itu dibuat bagi menjamin tahap keselamatan pemain dan pegawai TFC meskipun percaya kejadian menimpa Akhyar dan Faisal tidak didalangi peminat bola sepak.

“Hasil perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), tahap kawalan keselamatan pemain dan pegawai pasukan akan ditingkatkan untuk tempoh satu atau dua minggu ini.

“Itu adalah keutamaan kerana isu ini bukan saja menjejaskan moral dan emosi pemain TFC bahkan pemain kelab lain dalam Liga Malaysia (Liga M),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Sabri berkata, Akhyar, 25, yang merupakan pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) kini dalam keadaan stabil dan semakin pulih namun masih trauma setelah disamun dan dipukul, Khamis lalu.

Beliau menjelaskan, pihaknya juga akan terus memberi sokongan moral kepada Akhyar dan rakan-sepasukan bagi menghadapi sepak mula Liga M bertemu Perak, 11 Mei ini.

“Ketika melawat Akhyar, keadaan fizikalnya sudah beransur baik tetapi kami akan terus memantau dan memulihkan semula semangatnya untuk kembali berakdi di atas padang,” ujarnya.

Dalam kejadian Khamis lalu, Akhyar terpaksa menerima enam jahitan di bahagian kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun dan pukul di pekarangan kediamannya di bandar raya ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN