Tangani isu sekolah vernakular cara Islam

Tangani isu sekolah vernakular cara Islam

KINI wujud pembelaan dari etnik Melayu yang cuba menjelaskan keberadaan sekolah vernakular selari dengan ajaran Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKOLAH vernakular dalam sistem pendidikan kita yang diputuskan mahkamah sebagai tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, akan terus wujud di negara ini. Walaupun begitu, ia masih didakwa, malah memang pun didapati tidak selari dengan aspirasi negara dalam beberapa perkara.

Antara yang genting adalah lepasannya yang rata-ratanya didapati kurang, malah ada yang tidak nasional langsung. Dalam hal ini, mereka ini memang tidak boleh berbahasa Melayu yang merupakan bahasa negara, selain terlalu cauvinis kecinaannya sehingga tidak banyak, bahkan langsung tidak mahu memahami budaya etnik lain, termasuklah Melayu selaku tuan rumah.

Pun begitu, dari semasa ke semasa, terdapat pembelaan terhadap kewujudan sekolah vernakular, khususnya dari etnik bukan Melayu itu sendiri. Ia wujud antaranya dalam naratif hak asasi mereka untuk mempelajari bahasa ibunda sendiri.

Kini mula wujud satu pembelaan dari etnik Melayu yang cuba menjelaskan keberadaan sekolah vernakular adalah selari dengan ajaran Islam, khususnya dalam al-Quran. Untuk ini, etnik Melayu ini memetik Surah 30 Al-Rum, ayat 22, iaitu “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah akan kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan”.

Untuk ini juga, diguna pakai Surah 49 Al-Hujurat, ayat 13, iaitu “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah mencipta kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

Inilah adalah antara pendekatan terkini daripada sesetengah pihak dalam kalangan etnik Melayu untuk menangani isu sekolah vernakular yang rata-ratanya ditanggapi secara negatif. Sehubungan pendekatan ini, ia diyakini oleh pihak terbabit itu untuk membuahkan hasil positifnya dalam waktu terdekat, apatah lagi dalam jangka masa panjang.

Dalam pada ini, seluruh rakyat dipohon meyakini prakarsa ini, iaitu usaha dan ikhtiar yang pada kali ini didekati dari segi Islam, iaitu agama persekutuan kita. Ini kerana nawaitunya tidak lain tidak bukan ialah untuk solidariti sosial yang utuh dalam sebuah negara Melayu-Islam yang turut dihuni bersama-sama oleh pelbagai etnik lain.

Semoga ia bukan sahaja prakarsa biasa, tetapi tiwikarma, iaitu usaha sedaya upaya agar tercapai tujuannya. Ini penting sekali kerana nawaitu semulia ini hendaklah bukan sahaja disokong semua pihak, lebih-lebih lagi etnik bukan Melayu. Juga ia wajib dipastikan berjaya untuk pembentukan negara bangsa yang mantap dari segi nasionaliti Malaysia dan lain-lain.

Seperkara penting ialah jangan pula prakarsa dan tiwikarma ini yang berlandaskan ajaran Islam ditolak habis-habisan kerana faktor Islamofobia, iaitu buruk sangka terhadap agama dan umat Islam. Hal ini pernah berlaku sebelum ini apabila pendekatan sebegini ditentang sekuat-kuatnya oleh etnik bukan Melayu dan Islam yang mendakwanya sebagai antara langkah pengislaman.

Sebenarnya permasalahan utama dengan sekolah vernakular, khususnya aliran Cina ialah lepasannya pada puratanya amat lemah penguasaan bahasa Melayu. Selain ini, mereka juga didapati tiada langsung pemahaman tentang budaya etnik lain, khususnya warisan Melayu yang merupakan tunjang utama Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).

Semoga pendekatan untuk menguna pakai ajaran Islam ini mampu mengubah keadaan agar perkenalan antara etnik dapat dipermudah bagi tujuan peningkatan. Dengan ini, didoakan anak Cina dari sekolah vernakular misalnya, bukan sahaja tidak lagi mempunyai buruk sangka terhadap etnik lain, khususnya Melayu tetapi akan bersama-sama dengan etnik lain untuk memperlihat jati diri kebangsaan kental lagi dibanggai.

Dengan ini, mereka didoakan mampu berbahasa Melayu dengan amat baik. Juga mereka memahami budaya etnik lain dengan baik sekali, khususnya amalan dan tradisi Melayu.

SELARI TITAH AGONG
Inilah yang sebenarnya dititahkan oleh Ketua Negara semasa Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15. Dalam titah itu, Baginda memerintahkan peningkatan perpaduan negara yang masih belum sempurna walaupun setelah sekian lama tertubuhnya negara.

Ini dikaitkan dengan masih terdapatnya generasi kini yang gagal menguasai bahasa negara, selain tidak memahami amalan hidup etnik lain. Oleh itu, Baginda menyeru agar kerajaan mencari jalan dalam bentuk dasar yang dapat melahirkan generasi masa hadapan yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain.

Barangkali penggunaan ajaran Islam merupakan dasar yang diseru dirangkakan pada titah itu. Semoga pendekatan Islam ini berjaya memupuk perkenalan tulen antara satu etnik dengan yang lain secara optimum mulai sekarang. Dengan ini, anak bangsa kita juga pasti akan memahami budaya etnik lain dengan baik.

Sesungguhnya dasar ini adalah penyelesaian praktikal yang terbaik dengan menggembleng Islam. Ini kerana al-Quran senantiasa relevan kepada kehidupan semua manusia dalam apa-apa jua keadaan pada sepanjang masa.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×