PETALING JAYA: Liga Malaysia (Liga M) atau Liga Colombia?
Itu yang menjadi persoalan tentang tahap keselamatan pemain-pemain Liga M ketika ini selepas berlaku tiga serangan terhadap pemain dalam masa terdekat yang menimbulkan persoalan di sebalik motif kejadian.
Selepas pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid disamun dan dipukul, arena sukan negara dikejutkan dengan kejadian, Faisal Abdul Halim disimbah Asid dan terbaharu cermin kereta bekas kapten negara, Safiq Rahim dipecahkan.
Paling tragis pastinya kes melibatkan Faisal yang juga pemain sayap Harimau Malaya dan Selangor FC, apabila beliau melecur tahap empat selepas disimbah asid dan berisiko menamatkan karier lebih awal dalam bola sepak
Penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Shahul Hamid berkata, pelbagai andaian boleh dikatakan tentang kejadian itu termasuk unsur ‘bookie’ kerana kerana semua tahu perjudian boleh berlaku dalam bola sepak.
“Sekarang semua pemain kena berwaspada, saya jangka ancaman ini akan berterusan. Memang motif sebenar kita tidak tahu lagi. Tetapi, ada kemungkinan kerja-kerja ‘bookie atau soal peribadi, balas dendam atau cemburu.
“Kita tunggu polis siasat motif sebenar kerana liga kita sekarang sudah macam Liga Colombia. Kita tidak mahu lagi perkara seumpama ini berlaku, kita boleh kata liga kita sekarang sudah terancam. Jadi kena berwaspada.
“Dalam masa yang sama, pasukan juga perlu meningkatkan tahap kawalan keselamatan pemain untuk elak perkara luar jangka. Yang ada kewangan lebih, boleh ‘pasang’ pengawal keselamatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Berdasarkan sejarah dunia bola sepak, pemain Colombia, Andres Escobar dibunuh selepas dia menjaringkan gol sendiri ketika menentang Amerika Syarikat (AS) dalam aksi Piala Dunia 1994.
Dalam pada itu katanya, pemain yang menerima sebarang ancaman atau ugutan perlu segera membuat laporan bagi memastikan tahap keselamatan mereka terjamin dan tidak menjadi mangsa seterusnya.
Kes melibatkan pemain bola sepak Malaysia
10 Mac 2015
⦁ Rumah bekas kapten Pahang, Mohd Razman Roslan ditembak menyebabkan cermin belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya pecah dalam kejadian di Kuantan Pahang.
⦁
⦁ 2 Mei 2024.
⦁ Pemain pinjaman Terengganu FC, Akhyar Rashid dirompak di Kuala Terengganu, Terengganu. Dalam kejadian itu, Akhyar dipukul menggunakan cota di kepala sehingga menerima enam jahitan.
⦁
⦁ 5 Mei 2024
⦁ Pemain Selangor FC dan juga tonggak utama Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim disimbah asid ketika beliau bersama keluarganya di sebuah pusat beli belah terkemuka di Damansara.
⦁
⦁ 7 Mei 2024.
⦁ Cermin belakang kereta bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim dipecahkan dengan menggunakan tukul besi di pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT). – UTUSAN










