MENURUT Persatuan Pelancongan Makanan Dunia (WFTA), pelancongan makanan bermaksud satu pengembaraan untuk menikmati dan merasai makanan dan minuman sesuatu tempat yang dikunjungi tersebut.
Kata persatuan itu lagi, sekitar 10 tahun lalu, pelancongan makanan ini mula mendapat perhatian selepas ia dipromosikan di media sosial dan rancangan televisyen.
Pelancongan makanan pada ketika itu termasuklah pengalaman seseorang itu untuk menyertai kelas-kelas memasak, melawat kilang dan juga menikmati makanan jalanan (street food).
Bagaimanapun, sejak 2018, didapati makanan telah menjadi perkara utama buat pelancong untuk memilih ke sesuatu destinasi pelancongan.
Pelancong didapati mula menghabiskan lebih banyak masa dan wang untuk pengalaman makanan dan minuman yang unik.
Baru-baru ini heboh diperbincangkan mengenai rakyat Malaysia yang berpusu-pusu mengunjungi wilayah Hatyai di Thailand.
Secara peribadi, saya belum pernah ke situ namun ramai keluarga, saudara-mara serta telah ke sana malahan kerap dan berulang kali. Mereka kata di sana banyak makanan enak dan harga pula murah. Itulah antara faktor yang menarik ramai rakyat Malaysia mengunjungi dan berbelanja di wilayah Muslim itu.
Hari ini, ramai yang sanggup mengeluarkan belanja demi untuk menikmati sesuatu makanan dan ia tidak hanya ke Hatyai semata-mata. Keadaan di dalam negara juga begitu.
Ada yang sanggup menempuh perjalanan jauh hanya untuk merasai ikan patin masak tempoyak di Temerloh, Pahang. Tidak kurang yang ke Melaka untuk menikmati masakan asam pedas, nasi kandar di Pulau Pinang dan masak lemak cili api di Negeri Sembilan.
Di Seremban ada banyak restoran yang pada waktu tengah hari khususnya pada hujung minggu dipenuhi dengan orang ramai.
Mereka mahu menikmati sajian lauk pauk autentik Negeri Sembilan, mereka datang bukan hanya dari negeri ini sahaja malah dari kawasan berjiran seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.
Jika sebelum ini banyak restoran ataupun gerai makan muncul yang didorong daya tarikan produk pelancongan yang lain seperti pantai peranginan ataupun air terjun namun kebelakangan ini sebaliknya pula berlaku.
Banyak kedai makan mendapat sambutan ramai terutama selepas dibantu ledakan media sosial termasuk TikTok. Pengusahanya boleh menarik kehadiran pelanggan yang ramai walaupun lokasinya terletak di hujung kampung sekali pun.
Apa yang penting, kedai makan tersebut menyediakan masakan yang sedap, kawasan yang bersih dan selesa. Itu sudah cukup berbaloi buat pelanggan walaupun mereka terpaksa beratur penjang menunggu giliran menjamu selera di kedai berkenaan.
PELANCONGAN GASTRONOMI
Ramai yang memberitahu Negeri Sembilan tidak punya banyak produk pelancongan terutama di ibu negerinya, iaitu Seremban. Sebagai anak jati dan membesar di daerah ini, memang sukar untuk saya menafikan.
Bagaimanapun, saya melihat sambutan ramai terhadap restoran dan kedai makan yang ada di bandar dan negeri ini, ia merupakan peluang yang perlu diambil, kerajaan Negeri Sembilan mesti meneroka sepenuhnya potensi pelancongan makanan ataupun ketika ini sering disebut sebagai pelancongan gastronomi.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon ada berkata, faktor harga barangan mentah menjadi perbezaan antara Hatyai dan lokasi pelancongan di negara ini termasuk di Negeri Sembilan.
“Mengapa dekat Hatyai kita boleh makan bufet dengan harga RM40 sahaja, mengapa di sini tidak boleh?
“Ini kerana ikan dan makanan laut mereka (Hatyai) semuanya diternak dan tidak diimport, kita boleh adakan produk hiliran di mana pengusaha boleh buat dan ada iltizam untuk buat, kita kena pastikan ramai pengunjung datang, jangan tunggu lagi,” katanya.
Saya baru-baru ini berkesempatan bertemu Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong dalam satu majlis. Saya bertanyakan, hasil maklum balas daripada ‘road show’ yang diadakan di luar negara, apakah daya tarikan utama pelancong asing untuk ke negara ini.
Menurutnya selain faktor cuaca, ekopelancongan, warisan dan budaya, faktor makanan juga menjadi penyebab utama mereka memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka.
Oleh itu, Negeri Sembilan tidak lagi boleh tunggu lagi dan hanya tertumpu kepada produk pantai peranginannya iaitu di Port Dickson semata-mata.
Enam daerahnya yang lain juga perlu sama mendapat limpahan ekonomi daripada sektor pelancongan dan salah satu langkah dengan meneroka peluang sepenuhnya dalam pelancongan gastronomi ini.-UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Negeri Sembilan.










