Bantuan kemanusiaan ketika ini tidak menyelesaikan krisis Gaza

Bantuan kemanusiaan ketika ini tidak menyelesaikan krisis Gaza

TANPA memulihkan ketenteraman dan penguatkuasaan undang-undang di Gaza, maka, menyampaikan bantuan kepada penduduk akan kekal sebagai cabaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA menghadapi situasi kemanusiaan yang semakin teruk. Kira-kira 80 peratus penduduk telah kehilangan tempat tinggal, makanan dan ubat-ubatan pula semakin berkurang.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 576,000 orang berada di ambang kebuluran dan Program Makanan Sedunia menyimpulkan kira-kira 70 peratus penduduk Gaza Utara menghadapi bencana kebuluran.

Untuk memastikan bantuan sampai kepada penduduk, Jordan dan negara-negara lain kini beralih kepada langkah yang semakin kreatif, termasuk bantuan melalui payung terjun udara dan dermaga terapung di luar pantai Gaza. Langkah penyelesaian jangka pendek yang rumit untuk masalah asas tragedi kemanusiaan, iaitu mendapatkan bantuan ke Gaza melalui darat.

Sebelum perang, kira-kira 500 trak masuk ke Gaza setiap hari dari sempadan yang dikawal rejim Israel dan pihak berkuasa Mesir. Kini, menurut data PBB, jumlah itu merudum sehingga kepada 150 trak sahaja.

Pada Februari, semasa kemuncak pertempuran di Khan Younis, yang disifatkan oleh tentera rejim Israel sebagai kubu kuat Hamas, jumlah muatan trak menjadi perlahan dan lesu. Untuk beberapa hari, kurang daripada 10 trak berjaya masuk ke dalam sempadan wilayah Gaza.

Kumpulan bantuan kemanusiaan, serta pelbagai kerajaan di seluruh dunia, mendakwa bantuan trak yang perlahan dan lesu di Gaza disebabkan oleh pemeriksaan sewenang-wenang dan memakan masa oleh rejim Israel yang mengawal sempadan.

Selain lintasan Kerem Shalom di sempadan Israel dengan selatan Gaza, beberapa bantuan juga dialirkan merentasi sempadan Mesir-Gaza di Rafah, tetapi ini tidak mencukupi untuk membekalkan keperluan Gaza.

Dakwaan Israel kononnya tidak semua 500 trak sebelum perang harian itu dipenuhi dengan bekalan kemanusiaan menyukarkan lagi proses agihan bantuan. Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB untuk Palestin (UNRWA), yang menyelia banyak pengagihan bantuan, memberi kenyataan iaitu, hanya purata 100 muatan trak sehari sebelum konflik bermula.

Dengan beberapa langkah dan pendekatan yang berbeza, bantuan kemanusiaan ke Gaza sebenarnya telah meningkat daripada tahap sebelum perang. Kebanyakan malapetaka kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza pada masa ini, adalah disebabkan rejim Israel mengalihkan makanan dan bekalan lain yang dibawa masuk dan bukannya mengagihkan barangan ini kepada penduduk awam.

Namun, apabila diteliti lebih dekat, aspek utama naratif terpesong rejim Israel juga mula berantakan. Walaupun konvoi bantuan meningkat dari tahap sebelum perang, permintaan dan keperluan juga turut meningkat dengan lebih banyak.
Dengan lebih 35,000 penduduk Gaza terbunuh dan 79,000 lagi cedera, keperluan untuk bekalan perubatan sahaja meningkat secara mendadak berbanding masa aman.

Pertempuran juga telah memusnahkan gudang dan bangunan kedai, serta melenyapkan kebanyakan stok makanan sedia ada. Sekurang-kurangnya tiga per empat daripada bangunan dan perumahan di Gaza juga rosak atau musnah.
Keengganan rejim Israel untuk membuka ruang untuk memindahkan bantuan ke Gaza nampaknya kurang didorong oleh faktor strategik berbanding dengan alasan politik.

Sebelum serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, beberapa dekad sekatan sempadan oleh rejim Israel tidak menghalang Hamas daripada memasang beribu-ribu roket dan membina ratusan terowong batu.

Lebih merumitkan lagi, Gaza adalah tempat yang kecil dengan bilangan lintasan sempadan yang terhad. Sekurang-kurangnya separuh jalan rayanya telah rosak selepas hampir enam bulan perang, menurut Bank Dunia.

Kekurangan aspek keselamatan turut menghalang bantuan kemanusiaan dengan cara yang lain. Kaedah Fizik semata-mata dengan pelepasan bantuan melalui payung terjun daripada kapal terbang yang bergerak bermakna mempunyai peluang yang rendah untuk sampai terus kepada penduduk Gaza, terutamanya jika zon jatuh tidak dilindungi di darat.

Mengedarkan bantuan juga memerlukan gudang untuk menyimpan bekalan ini, tetapi UNRWA melaporkan bahawa lebih daripada 150 kemudahannya telah rosak atau dan dimusnahkan rejim Israel.

Tanpa memulihkan ketenteraman dan penguatkuasaan undang-undang di Gaza, maka, menyampaikan bantuan kepada penduduk yang paling terdedah akan kekal sebagai cabaran, walaupun Jordan dan masyarakat antarabangsa meningkatkan jumlah bantuan yang memasuki kawasan tersebut. Keberkesanan bantuan akan membuktikan isu yang lebih sukar untuk diselesaikan.

Sebagai alternatif, Jordan dan masyarakat antarabangsa boleh beralih kepada faktor luar untuk melindungi pengagihan bantuan. Dengan pengaruh dan sentimen sedia ada, wilayah Gaza amat memerlukan pasukan pengaman.

Manakala rakyat Palestin dan penyokong di seluruh dunia, harus memulakan gerakan untuk merealisasikan agar pasukan pengaman yang dianggotai majoriti negara Islam ditempatkan di wilayah Gaza.

Dan pada masa yang sama, pasukan pengaman akan mempastikan sebarang bantuan kemanusiaan adalah melalui pasukan tersebut.

PASUKAN PENGAMAN
Dan ini, seterusnya, membawa kepada satu lagi kebenaran asas. Walaupun terdapat beberapa masalah yang rumit di Timur Tengah, tetapi masih terdapat sedikit penyelesaian yang mudah.

Dalam kes ini, jika masyarakat antarabangsa ingin menyelesaikan masalah kemanusiaan di Gaza, kita perlu melangkaui pemikiran isu logistik itu secara lebih kritikal iaitu bukan sekadar dari segi trak, jalan raya dan dermaga terapung.

Ia sebaliknya perlu memilih antara satu siri pilihan yang lebih menyeluruh iaitu dengan menawarkan penempatan pasukan pengaman, menuntut rejim Israel berundur ke sempadan asal Gaza ataupun tidak melakukan apa-apa dan membiarkan bantuan jatuh ke tangan rejim Israel yang zalim.-UTUSAN

MUHAMMAD Ehsan Kamil Mohamad Radzi ialah Pengurus Operasi Penerbangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Alumni Fakulti Sains Pentadbiran Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN