SERANGAN seorang individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April lalu yang menyaksikan seorang pengawal peribadi ditembak dan mengalami cedera parah menarik perhatian masyarakat Malaysia, jiran serantau dan antarabangsa terhadap senario tahap keselamatan di lapangan terbang antarabangsa yang terkenal di Asia.
Walaupun kejadian serangan ini bersifat peribadi dan tidak dikaitkan dengan kumpulan pengganas, namun tindakan melepaskan tembakan dalam cubaan membunuh adalah satu tindakan ganas. Pelbagai terma yang digunakan untuk menterjemahkan kejadian yang bersifat peribadi ini seperti ‘amuk’ dan ‘lone wolf’, namun yang jelas adalah ia merupakan perbuatan ganas.
Imej KLIA sebelum ini pernah menjadi tumpuan berikutan penahanan seorang ejen Israel yang memasuki Malaysia dan ditahan pada 27 Mac lalu dengan enam pucuk senjata senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sih Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru. Ejen Mossad ini memiliki pasport Israel dan Perancis. Senario ini memberikan imej yang buruk kepada sistem keselamatan dan kawalan di pintu masuk ke negara Malaysia.
Pintu masuk ke Malaysia melalui KLIA merupakan aset strategik utama negara yang dikategorikan sebagai sasaran penting atau soft target kepada kerajaan dalam konteks lokasi atau infrastruktur utama negara.
Kebimbangan mengenai tahap keselamatan di KLIA mula tercetus dengan kes pembunuhan Kim Jong Nam yang merupakan abang kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong Un pada 13 Februari 2017. Malah tragedi pembunuhan yang menggunakan kaedah senjata kimia ejen saraf VX juga menarik perhatian dunia terhadap tahap keselamatan KLIA.
Selain itu, pada 8 Mac 2014 dunia dikejutkan dengan kehilangan sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) iaitu MH370. Sebanyak 239 penumpang yang bertolak daripada KLIA ke Beijing China hilang dari kawalan dan tidak dapat dikesan sehingga hari ini. Kehilangan pesawat ini menimbulkan persoalan kepada Malaysia dan seluruh dunia sekali lagi mengenai kawalan dan tahap keselamatan lapangan terbang itu.
MAS dan KLIA sekali lagi mencuri perhatian antarabangsa apabila sebuah pesawat MH17 daripada Amsterdam yang dijadualkan mendarat di KLIA ditembak dan mengorbankan 295 penumpang dan krew pesawat pada 17 Julai 2014. Senario ini menimbulkan kebimbangan mengenai kemampuan dan sistem keselamatan yang dilaksanakan.
Justeru apakah cadangan yang dapat membantu memperkukuhkan tahap kawalan dan keselamatan KLIA yang merupakan pintu masuk ke Malaysia? Apakah kaedah kawalan dan pengawasan yang lebih berkesan yang memiliki kos rendah, mudah, praktikal, ringkas, mobiliti, mudah diatur gerak dan tidak memberi bebanan kepada kerajaan dalam mengawal soft target negara ini?
Antara cadangan yang dapat diutarakan dalam meningkatkan keberkesanan keselamatan negara dan tidak memberikan bebanan kos serta kaedah ialah sistem perimeter keselamatan di pintu masuk negara. Sistem ini akan mewujudkan beberapa zon sebagai contoh perimeter kawasan (zon) pertama dikawal oleh polis bantuan dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela).
Sementara di perimeter kawasan kedua dikawal oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Rela. Perimeter kawasan ketiga dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rela sementara di perimeter kawasan keempat dikawal oleh pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan PDRM dan perimeter kawasan kelima dalaman kompleks KLIA dikawal secara bersama iaitu MAHB, PDRM, ATM dan agensi risikan keselamatan yang lain.
Setiap perimeter ini dibuat pemeriksaan, sekatan jalan atau rondaan bagi ‘menampakkan kehadiran’ badan keselamatan termasuk meletakan pengimbas untuk masuk ke kompleks KLIA yang memberikan kesan psikologi serta menjejaskan perancangan penjenayah.
CONTOHI THAILAND
Sekiranya kejadian tembakan berlaku di KLIA maka pihak berkuasa di sana dapat menutup kelima pintu keluar di perimeter zon keselamatan yang wujud. Kaedah ini telah diamalkan di Thailand semenjak 2004 dalam mengawal serangan secara individu, berkumpulan atau ancaman asymmetric.
Sebarang serangan di mana-mana kawasan di selatan Thailand akan membolehkan pihak berkuasa menutup semua kawasan dan memburu penjenayah dan pengganas. Kaedah ini memberikan kesan keyakinan kepada rakyat, pelancong, pengguna kemudahan KLIA dan pintu masuk ke negara dengan sistem keselamatan yang ada.
KLIA adalah pintu masuk ke Malaysia yang merupakan salah satu aset yang perlu diperkukuhkan kerana ia juga adalah soft target kepada penjenayah antarabangsa.
KLIA adalah pintu masuk ke Malaysia walaupun tidak memiliki sempadan dengan negara jiran.
Elemen pintu masuk sempadan menunjukan KLIA merupakan sasaran penting aset dan infrastrukur utama negara sama seperti semua pintu masuk sempadan ke Malaysia darat dan laut yang perlu diletakan dalam kategori soft target negara.
Dengan hanya menumpukan pintu masuk ke Malaysia melalui jalan udara iaitu KLIA, senario ini akan menyebabkan kerajaan terlepas pandang mengenai kepentingan untuk menjaga dan mengawal pintu masuk ke Malaysia melalui sempadan darat dan laut negara yang lebih memiliki impak kepada kestabilan dan keselamatan negara. Ini kerana jalan pengangkutan darat dan laut ke Malaysia akan membabitkan mobiliti barangan, dadah, senjata, penyeludupan, kontena, manusia, haiwan dan sebagainya dalam konteks yang besar.
Justeru, semua pintu masuk sempadan ke Malaysia perlu diberikan perhatian dan diletakan sebagai infrastruktur utama negara dan soft target kepada pihak kerajaan dan penjenayah.
Peranan Agensi Pintu Masuk Dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang diketuai oleh Datuk Seri Hazani Ghazali dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang dilantik sebagai Ketua Pengarah MCBA pertama pada 31 Januari 2024 bagi menggantikan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) perlu diperluaskan membabitkan pintu masuk ke Malaysia termasuk KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa lain di Malaysia dan tidak hanya tertumpu di sempadan darat dan laut.
Dengan peranan dan kepakaran pegawai dalam pengurusan kawalan keselamatan serta keluar masuk ke pintu sempadan ke Malaysia ia dapat membantu pengurusan keselamatan dengan lebih efisien dan berkesan di lapangan terbang antarabangsa termasuk KLIA.
Ia merupakan satu strategi yang memaksimumkan kepakaran dan tenaga kerja dalam menjamin keselamatan negara agar dapat dikawal dengan lebih berkesan.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Strategik dan Keselamatan Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Kolej Pengajian Undang-Undang dan Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).










