Sudah tiba masa angkat ‘darjat’ keselamatan dan kesihatan pekerjaan

Sudah tiba masa angkat ‘darjat’ keselamatan dan kesihatan pekerjaan

PIHAK industri perlu mempertimbangkan tentang bagaimana perubahan alam sekitar mempengaruhi aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTUBUHAN Buruh Antarabangsa (ILO) meraikan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia (OSH), pada 28 April setiap tahun. Matlamat utama sambutan ini sebagai platform untuk mengenang kembali dan menghargai pekerja yang terlibat dengan kemalangan dan penyakit pekerjaan serta mempromosi budaya berkaitan OSH.

Tema sambutan pada tahun ini ialah Kesan Perubahan Iklim Terhadap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Dewasa ini, rata-rata membincangkan isu perubahan iklim dunia dan kini sudah tiba masanya pihak industri mempertimbangkan bagaimana perubahan alam sekitar akan mempengaruhi aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Fenomena perubahan iklim berlaku akibat aktiviti manusia seperti pembakaran bahan api fosil, penebangan hutan dan kegiatan perindustrian yang membawa kepada peningkatan gas rumah hijau di atmosfera.

Gas-gas ini memerangkap haba dan mengakibatkan pemanasan global dan menyebabkan pelbagai impak, termasuklah peningkatan paras laut, kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap, perubahan dalam ekosistem dan ancaman kepada kesihatan dan mata pencarian manusia.

Perubahan iklim juga menimbulkan pelbagai risiko OSH kepada pekerja di dalam industri, mendedahkan mereka kepada bahaya seperti haba yang berlebihan, sinaran ultraungu (UV), kejadian cuaca ekstrem, pencemaran udara, penyakit bawaan vektor dan bahan kimia daripada aktiviti pertanian.

Peningkatan suhu akibat perubahan iklim boleh menyebabkan tekanan haba dan penyakit berkaitan haba dalam kalangan pekerja, terutamanya mereka yang bekerja di kawasan terbuka seperti di tapak bina atau pekerja-pekerja lapangan.

Langkah kawalan yang boleh disarankan termasuk menyediakan kawasan rehat yang berbumbung serta berdekatan dengan kawasan kerja, menjalankan kaedah kawalan pentadbiran dengan memperuntukkan masa rehat yang kerap berbanding biasa, akses kepada air minuman yang sejuk serta penggunaan alat pelindung kepala serta berbaju lengan panjang atau jaket.

Peningkatan pendedahan kepada sinaran UV boleh mengakibatkan kerosakan kulit dan peningkatan risiko kanser kulit. Majikan boleh melaksanakan langkah-langkah seperti menyediakan pakaian pelindung matahari, topi keselamatan dan pelindung matahari untuk pekerja di kawasan terbuka.

Keadaan cuaca yang teruk dan ekstrem akan mengakibatkan terjadinya bencana alam seperti ribut, banjir dan kebakaran hutan selain boleh menimbulkan risiko kepada keselamatan pekerja.

Membangunkan pelan tindakan kecemasan dan menjalankan latihan drill kecemasan boleh membantu mengurangkan risiko yang berkaitan dengan peristiwa ini. Majikan juga boleh mengadakan alat-alat bantuan kecemasan seperti jaket keselamatan, pelampung keselamatan, kotak kecemasan dan bot kecemasan di tempat-tempat yang berpotensi untuk berlaku bencana alam ini.

Kualiti udara yang akibat perubahan iklim boleh menyebabkan masalah pernafasan dan komplikasi kesihatan lain. Majikan perlu melaksanakan sistem pengudaraan yang betul di kawasan kerja yang berisiko untuk terdedah kepada penurunan kualiti udara serta membuat pemantauan kualiti udara secara berkala.

Penggunaan peralatan pelindung diri yang sesuai seperti topeng muka boleh juga diberikan kepada pekerja bagi mengurangkan pendedahan kepada bahan pencemar.

PENYAKIT
Dari sudut lain, perubahan iklim juga menyumbang kepada penyebaran penyakit bawaan vektor seperti malaria, demam denggi dan virus Zika.

Majikan boleh melaksanakan langkah kawalan perosak, menyediakan penghalau serangga dan memberi kesedaran serta latihan kepada pekerja tentang penyakit bawaan vektor ini serta pencegahan penyakit tersebut. Kempen secara berterusan juga amat efektif bagi mengekang penularan penyakit bawaan vektor ini.

Perubahan iklim juga memberi kesan kepada industri pertanian. Aktiviti pertanian yang berskala besar mengakibatkan peningkatan penggunaan bahan kimia pertanian yang boleh menimbulkan risiko kepada pekerja ladang.

Penggunaan bahan kimia seperti baja dan racun secara berlebihan dan tanpa kawalan mendedahkan kepada pekerja sektor pertanian risiko kesihatan seperti keracunan makanan kepada, komplikasi kepada kulit, saraf dan sistem badan manusia selain memudaratkan alam sekitar dengan mencemari sumber air bersih dan udara.

Penggunaan racun makhluk perosak yang tidak selamat dari segi kaedah dan pengendalian, kepekatan dos, kekerapan dan masa semburan adalah antara yang sering terjadi di tempat kerja.

Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia hendaklah disediakan di tempat penyimpanan bahan kimia serta menjadi rujukan bagi menentukan langkah kawalan yang sesuai.

Melaksanakan prosedur pengendalian yang betul, latihan tentang keselamatan bahan kimia, dan menggunakan peralatan perlindungan boleh membantu mengurangkan pendedahan kepada bahan berbahaya.
Pematuhan kepada peruntukan undang-undang seperti Akta Racun Makhluk Perosak 1974 serta Peraturan-Peraturan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan Dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013 harus dipastikan kepatuhannya di dalam daftar perundangan sesebuah syarikat.

Dengan melaksanakan langkah kawalan yang berkesan dan menggalakkan budaya keselamatan di tempat kerja, majikan boleh mengurangkan risiko berkaitan perubahan persekitaran dan memastikan persekitaran kerja yang lebih sihat dan selamat.

Penilaian risiko berterusan di tempat kerja bermanfaat memastikan langkah kawalan yang diadakan sentiasa relevan dan mencerminkan keadaan semasa.

Garis Panduan Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko 2008 (HIRARC)dibangunkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan boleh digunakan oleh industri apabila membangunkan penilaian risiko di tempat kerja.

Di samping meraikan dan memperingati Hari OSH Sedunia, marilah kita menegaskan komitmen untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam menghadapi cabaran alam sekitar yang semakin berkembang.

Kerjasama dari pelbagai pihak terutamanya kerajaan, swasta dan pekerja itu sendiri dapat mencipta persekitaran tempat kerja yang lebih selamat dan sihat serta selari dengan perubahan iklim dunia yang semakin agresif.-UTUSAN

ABD. Mutalib Abd. Gapar ialah pengamal profesional keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta Pengerusi Anugerah Kebangsaan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN