SETIAP kali menjelang pilihan raya, pasti akan muncul parti mahupun gabungan baharu untuk meraih lebih banyak sokongan pengundi.
Jangkaan tiada parti politik tunggal mampu meraih majoriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang mendorong parti-parti politik cuba mencari ‘pasangan’ yang dilihat sehaluan dengan perjuangan mereka.
Bagi Barisan Nasional (BN), kerjasama yang terjalin pada PRN lepas menjadi pengajaran untuk lebih berhati-hati dalam memilih rakan bagi membentuk gabungan.
Pada PRN 2020, BN bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bagi menumbangkan parti kerajaan yang diterajui Parti Warisan (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).
Namun, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu meninggalkan parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Disember 2022.
Kemudian berlaku pergolakan politik yang mendorong BN menarik diri daripada menyokong kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Itu situasi yang berlaku sejak PRN lalu. Menjelang PRN yang dijangka diadakan pada tahun depan, corak politik di Sabah mungkin sedikit berbeza.
Kerjasama Warisan-BN antara gabungan baharu yang dijangka berlaku pada PRN akan datang. Kedua-dua parti itu mempunyai kekuatan dan penyokong tersendiri.
Menurut Penyelidik Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Ag. Ahmad, gabungan politik diibaratkan seperti seni tempur secara taktikal dan bukan setakat bergantung kepada populariti sesebuah parti sama ada ia parti dalam blok kerajaan mahupun pembangkang.
Apa yang penting, mereka harus bijak membuat percaturan untuk menang dan mendapat mandat bagi membentuk kerajaan.
Beliau berpendapat Warisan, BN dan Gagasan Rakyat sebagai entiti dominan di pentas politik Sabah perlu akur dengan situasi semasa dan suhu politik partisan di semua peringkat kepimpinan parti sehingga kepada penyokong-penyokong parti ini dalam kalangan rakyat.
“Harus diingat gabungan politik di negeri ini boleh berubah sekelip mata dan ia berupaya bertukar-tukar dari sudut konteks, dimensi dan tujuan untuk memenangi sesebuah kerusi DUN.
“Sebagai contoh, isu yang diketengahkan akan menjadi pertimbangan akar umbi dan pengundi. Cara pemimpin tempatan untuk mengetengah dan seterusnya menjuarai isu mahupun pemimpin lokal dalam parti nasional yang mampu membuktikan bahawa ia dapat diselesaikan dengan cara berlainan, mampu meraih sokongan pengundi,” katanya.
Pensyarah Kanan UMS itu melihat kerjasama Warisan-BN adalah contoh gandingan parti yang dapat merealisasikan hasrat tersebut dengan jaminan bahawa, kerjasama erat antara negeri-Persekutuan adalah kunci kepada kejayaan mendapat lebih banyak peruntukan mengurus dan membangunkan negeri.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri secara terbuka menunjukkan pendirian beliau tentang cara persekutuan memperaku sekali gus ‘memberikan muka’ kepada kerajaan negeri sekiranya mahu bekerjasama secara menang-menang.
ANALISA
Kata Syahruddin, apa yang perlu dilakukan oleh parti-parti politik di Sabah adalah untuk mula membuat analisa serta membaca corak pemikiran yakni tentang apa yang bermain dalam fikiran pengundi.
Selepas itu baharulah pemimpin-pemimpin parti politik mendapat gambaran serta petunjuk tentang sikap serta tingkah laku pengundi terhadap parti masing-masing sama ada BN, Warisan mahupun GRS.
Kita dapat melihat GRS sering kali memainkan sentimen parti tempatan namun, itu bukan jaminan gabungan tersebut akan mendapat sokongan majoriti rakyat Sabah.
Harus diingat corak politik di negeri ini tidak sama dengan Sarawak yang sejak dahulu lagi cukup padu dalam menolak kemasukan parti nasional.
Di Sabah, parti nasional yang dianggotai pemimpin tempatan sudah cukup sebati dengan corak politik di negeri ini.
Apa yang penting sekarang adalah pemimpin tempatan dalam parti nasional diberi autonomi dalam membuat keputusan mengenai rakan kerjasama mahupun calon yang ingin diketengahkan pada PRN akan datang.
Jika ingin menjuarai isu-isu tempatan, parti nasional harus memberi kepercayaan kepada pemimpin tempatan untuk mencorakkan adunan politik mereka sendiri.
Cukup sekadar memberi garis panduan dan memantau percaturan yang ingin dibuat agar adunan politik yang ingin dicorakkan tidak menyimpang jauh daripada perjuangan parti.
Pada masa ini, kedudukan kerusi blok kerajaan begitu selesa dengan 51 kerusi iaitu 38 kerusi milik GRS dan tujuh kerusi PH serta empat kerusi ADUN dilantik.
Bagi blok pembangkang pula, Warisan memiliki 14 kerusi, BN mempunyai 12 kerusi termasuk dua ADUN dilantik manakala Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) memiliki dua kerusi.
Berdasarkan kedudukan kerusi semasa, boleh dilihat GRS-PH menguasai lebih separuh daripada 79 kerusi DUN Sabah.-UTUSAN










