Saat indah julang Piala Malaysia masih segar dalam ingatan botak

Saat indah julang Piala Malaysia masih segar dalam ingatan Botak

MUHAMAD Kaironnisam Shahabudin Hussein kembali semula ke Stadium Tuanku Syed Putra yang menjadi gelanggang keramat di zaman kegemilangan Singa Utara dahulu di Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 4 Disember 2004 menjadi detik paling bersejarah buat bola sepak Perlis apabila buat pertama kali berjaya menjulang Piala Malaysia dalam tempoh 83 tahun.

Meskipun sudah 20 tahun berlalu, suasana sorakan gemuruh puluhan ribu penyokong Singa Utara dalam Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tersebut dan detik menjulang Piala Malaysia sebagai ketua pasukan Perlis masih segar dalam ingatan Muhamad Kaironnisam Shahabudin Hussein sehingga ke saat ini.

Pada malam tersebut, Perlis sunyi sepi dengan sebahagian besar rakyatnya memenuhi Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur manakala selebihnya menyaksikan detik indah itu di kaca tele­visyen.

Muhamad Kaironnisam atau lebih dikenali sebagai botak yang menyarung jersi keramat biru kuning dari tahun 1998 sehingga 2005 itu merupakan antara tonggak penting Singa Utara di zaman kegemilangan tersebut dan turut membantu Perlis menjuarai Liga Super iaitu setahun selepas mendakap Piala Malaysia itu.

Selain membantu Perlis menjuarai Piala Malaysia dan Liga Super, Muhamad Kaironnisam juga mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa dan telah mewakili pasukan kebangsaan dengan 61 kaps dengan pencapaian terbaik dia mewakili Malaysia ialah pingat Perak Sukan SEA 2001 dan tempat ketiga Piala Tiger 2004 (kini Piala Suzuki AFF).

Mengimbau semula detik ketika menjulang Piala Malaysia buat kali pertama bersama Perlis, Muhamad Kaironnisam yang juga kapten Malaysia dari tahun 2003 sehingga 2007 itu berkata, kemenangan 1-0 menentang Kedah dalam aksi final tersebut merupakan kenangan paling manis dalam hidupnya.

Katanya, yang berasal dari Flat Mergong, Alor Setar, Kedah dan kini menetap di Padang Be­hor di sini, dia masih ingat setiap detik pada malam tersebut meskipun sudah 20 tahun berlalu.

Ujarnya, nikmat tersebut sukar digambarkan dengan kata-kata selain cukup bangga apabila berjaya merealisasikan impian dan harapan rakyat Perlis untuk melihat Singa Utara membawa pulang Piala Malaysia buat kali pertama kali selepas 83 tahun.

“Zaman itu seronok, kita lawan betul-betul untuk mencapai kemenangan sehingga digelar giant killer dengan me­numpaskan pasukan-pasukan besar ketika itu.

Barisan pemain Perlis pada masa itu juga cukup kuat dengan dibantu pemain-pemain import yang berkualiti.

“Perlis pada masa itu juga se­ring kali mendapatkan pemain-pemain import bagus antaranya seperti Phillemon Chipeta yang menjadi ‘mesin gol’ Singa Utara.

“Kami juga bermain dengan sepenuh hati dan apabila Perlis mula jatuh pada tahun 2011 sehingga kini, saya rasa sangat sedih dan kecewa apabila barisan dan pengurusan lama menaikkan nama Singa Utara namun gagal dipertahankan sehingga nama bola sepak Perlis semakin dilupakan generasi kini,” kata­nya.

Sementara itu, Muhamad Kaironnisam yang sudah menjengah usia 45 tahun berkata, seperti rakyat Perlis yang lain, dia juga sangat merindui untuk melihat Singa Utara kembali digeruni dalam arena bola sepak negara.

Bagi mengubati kerinduan berkenaan, bapa kepada tiga orang anak berusia 19 hingga 24 tahun itu juga sering kali memutarkan lagu keramat Singa Utara yang membangkitkan semangat serta mengembalikan nostalgia di zaman kegemilangan bola sepak Perlis dahulu.

Melalui perkembangan terbaharu yang dikhabarkan Perlis United FC (PUFC) bakal kembali beraksi dalam Liga Super, dia sangat berharap pasukan berke­naan lebih ‘mengaum’ sekali gus dapat mengubati kerinduan rakyat Perlis untuk kembali memenuhi stadium.

“Saya berharap Perlis United mempunyai pengurusan yang baik dan pemain-pemain yang berkualiti untuk beraksi di pentas utama bola sepak negara itu. Dari segi pembayaran gaji pula biarlah mengikut kemampuan dan mengikut kualiti pemain itu.

“Kita mahu melihat perjalanan Perlis United itu sentiasa konsisten di dalam liga bukan bertahan satu atau dua musim sahaja. Rakyat Perlis sangat mengharapkan kembali kebangkitan Singa Utara dan diharap tidak disia-siakan,” katanya yang bersara pada tahun 2014.

Dalam pada itu, Muhamad Kaironnisam memberitahu, anak keduanya, Muhammad Firdaus turut mengikut jejak langkahnya sebagai pemain bola sepak.

Katanya, Muhammad Firdaus yang beraksi di posisi tengah dan bersama pasukan Kedah bawah 23 pada tahun lalu mempunyai bakat dan kebolehan namun perlu berusaha keras lagi dan memberi komitmen sepenuhnya.

“Sebagai bapa saya memberi sokongan penuh kepada dia dalam sukan bola sepak ini,” katanya turut pernah menyarung jersi pasukan MPPJ, My Team, Johor FC dan Felda United.

Ketika ini, legenda bola sepak Perlis itu terlibat dalam bidang kontraktor selain turut terjun dalam bidang kejurulatihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN