KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mahu pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong lebih bermotivasi untuk menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.
Rexy berkata, pemain nombor 15 dunia itu mudah untuk layak ke acara berprestij itu jika meletakkan satu misi dalam dirinya.
“Sebagai seorang pemain, dengan keadaannya sekarang dia merasakan dia tak jauh dalam memburu mata dan kini dia cuma perlu ada motivasi dalam dirinya untuk capai.
“Self motivation itu yang perlu, bukan daripada apa yang kita rasa. Jika dia paksa diri dia untuk capai slot tersebut, saya rasa dia akan berjaya.
‘’Orang di luar sana melihat pemain nombor 15 dunia juga ada keinginan mahu main di Olimpik. Kalau dia gunakan kelebihan yang dia ada sekarang, tidak mustahil untuk dia bermain Sukan Olimpik nanti,” katanya.
Tze Yong sebelum ini mengalami kecederaan belakang pada pusingan pertama pertama Terbuka Malaysia awal bulan lalu, sehingga terpaksa menarik diri daripada tiga lagi kejohanan, Terbuka India, Masters Indonesia dan Masters Thailand.
Mengulas lanjut, Rexy berkata, Tze Yong yang semakin aktif dan pulih beraksi dalam gelanggang ketika latihan telah mengubat rasa kerisauannya.
Menurutnya, Tze Yong semasa latihan tidak cergas seperti sebelum ini namun tidak memberi masalah kepadanya kerana pemain perseorangan itu memaklumkan bahawa dia hampir pulih sepenuhnya.
“Seperti saya lihat dengan kembalinya Tze Yong menarik nafas lega buat saya,” kata Rexy. – UTUSAN











