Tidak pernah paksa Dhabitah terjun tiga acara - Bryan

Tidak pernah paksa Dhabitah terjun tiga acara – Bryan

NUR Dhabitah Sabri akan menggalas cabaran negara di Terbuka Malaysia 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Nor Dhabitah Sabri tidak pernah dipaksa untuk beraksi dalam tiga acara di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha minggu lalu sehingga atlet berkenaan tidak boleh memberi tumpuan dan gagal meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebelum ini, Dhabitah mengakui terbeban apabila diberi tanggungjawab beraksi dalam tiga acara ketika di Doha, antaranya 10 meter (m) platform seirama bersama Pandelela, 3m papan anjal seirama bersama Wendy Ng serta 3m papan anjal individu wanita.

Pengarah Teknikal Terjun, Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas berkata, biarpun kem terjun kekurangan penerjun berpengalaman, Dhabitah tidak pernah dipaksa beraksi dalam tiga acara sekiranya penerjun itu enggan berbuat demikian.

“Sebelum ini kita sudah lalui pelbagai proses dan buat perbincangan, bukan main order sahaja. Atlet (Dhabitah) rasa dia nak (masuk tiga acara), kita juga tak nak dia lompat kalau terpaksa. Perkara ini juga juga dibincangkan sebelum sesi latihan di China.

“Saya akui, dia (Dhabitah) penerjun versatil dan kita tiada pelapis sepertinya, kalau dia tak ambil bahagian, memang tak ada wakil. Selepas ini, kita akan susun dengan lebih baik, biar ada percubaan dahulu dan atlet betul-betul terbaik sahaja akan pergi (kejohanan)

“Lepas ini, tiada isu lagi atlet yang tiada percubaan tidak akan masuk untuk 10m. Maknanya, pembahagian acara akan lebih tersusun bagi mengelak atlet rasa terbeban apabila menyertai kejohanan akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ditanya mengenai pendedahan yang dibuat Datuk Pandelela Rinong, Bryan berkata, beliau percaya kenyataan ratu terjun negara itu mungkin disalah tafsir sehingga menimbulkan spekulasi ada gangguan dalam pasukan tersebut.

Bryan yang juga bekas atlet terjun negara menganggap perkara yang menjadi gangguan bukanlah melibatkan individu, sebaliknya ia hanya melibatkan sesuatu berkait latihan dan persiapan.

Beliau berkata, sepanjang bersama skuad terjun negara semasa kem latihan di China dan Kejohanan Akuatik Dunia di Qatar, tidak ada sebarang petanda bahawa ada ‘tangan ghaib’ cuba mengganggu ketenteraman pasukan.

“Terus-terang saya cakap, memang ada fikir mengenai perkara ini (tangan ghaib) tetapi pada pemahaman saya, dia (Pandelela) cakap ada benda yang boleh dikawal dan tidak boleh dikawal bukannya merujuk orang ketiga.

“Mungkin ia bermaksud latihan serta kecederaan yang pernah dialami (Nur) Dhabitah sehingga menyebabkan mereka tidak dapat berlatih bersama untuk acara seirama (10m platform).

“Sepanjang saya bersama mereka di China dan Doha (Qatar), memang saya tidak ada lihat atau dengar apa-apa perkara pelik kecuali apa yang saya cakap (kecederaan). Bagi saya, ia tidak berkait individu,” katanya.

Tambah Bryan, beliau akan berjumpa dengan Pandelela dalam masa terdekat bagi mendengar sendiri apa yang dimaksudkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berhubung kenyataan tersebut.

“Saya perlu dengar daripada dia sendiri, jadi akan berjumpa dengannya dalam masa terdekat. Sekarang bagi dia masa untuk berehat dahulu, saya harap tidak ada orang ketiga kerana sekiranya benar, saya juga mahu tahu siapakah orangnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN