PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong akan bertemu dengan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bagi menjelaskan dakwaannya berhubung kemelut dalaman yang timbul dalam skuad terjun negara.
Penerjun berusia 30 tahun itu yang gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 berkata, apa yang disuarakannya belum dijelaskan secara terperinci kerana dia mahu pihak yang berkaitan mengetahuinya terlebih dahulu.
“Saya sangat kecewa kerana saya tidak memberi alasan pun atas kekalahan kali ini tetapi dah media tanya, saya terpaksa jawab namun tidak beri penjelasan secara terperinci berhubung perkara berkenaan.
“Saya katakan ada sesuatu berlaku kepada pasukan yang memberi kesan besar kepada kami penerjun senior dan junior dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Saya belum memberi penjelasan terperinci lagi kerana mahu pihak yang berkaitan mengetahuinya dahulu.
“Saya belum lagi berjumpa persatuan untuk berbincang tentang masalah yang dihadapi dan saya sangat sedih artikel (berkaitan kemelut dalaman) ini dikeluarkan dahulu,” katanya menerusi hantaran di Instastory miliknya, semalam.
Hantaran Pandelela itu dipercayai merujuk kepada laporan mengenai kenyataan Setiausaha Agung MAS, Andy Low yang menyifatkan penerjun negara itu hanya memberi alasan bagi menutup kegagalannya di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha baru-baru ini.
Andy berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan Pandelela sebelum itu yang mendedahkan ada kemelut dalaman yang berlaku dalam kem terjun negara, sekali gus menjadi punca terhadap prestasi hambar penerjun negara di Doha.
Selain itu, Andy turut menafikan bahawa adanya ‘tangan ghaib’ yang mengganggu skuad terjun negara sehingga menjejaskan prestasi penerjun negara di Doha dan MAS juga tidak dimaklumkan sebarang masalah sebelum atlet menyertai kejohanan itu.
Sebelum ini skuad terjun mempamerkan aksi hambar di Doha yang menyaksikan dua penerjun harapan negara yang juga atlet Road to Gold (RTG) iaitu Pandelela dan Nor Dhabitah Sabri gagal mendapatkan tiket ke Sukan Olimpik Paris.
Susulan kemelut yang melanda kem terjun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan mengaturkan pertemuan dengan atlet terbabit bagi mendengar sendiri permasalahan yang timbul sehingga ia menjejaskan prestasi. – UTUSAN










