PETALING JAYA: Kegagalan beberapa atlet terjun elit negara di Kejohanan Akuatik Dunia untuk meraih slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 menyaksikan sukan itu memerlukan perubahan menyeluruh bagi mengembalikan semula kegemilangannya.
Paling mengecewakan, Datuk Pandelela Rinong yang diletakkan sebagai prospek untuk meraih pingat di Paris menerusi penyenaraian dalam program elit Road to Gold (RTG) gagal mempamerkan aksi memberangsangkan.
Ratu terjun negara itu bukan sahaja terkandas awal dalam acara 10 meter (m) platform individu, malah turut berputih mata dalam acara seirama bersama Nur Dhabitah Sabri apabila hanya meraih kedudukan ke-12 keseluruhan.
Antara faktor kegagalan skuad terjun kali ini juga didorong oleh umur Pandelela yang kini sudah pun berusia 30 tahun, berbanding kebanyakan lawannya yang berusia lebih muda, misalnya juara dari China, Quan Hongchan yang baru berusia 16 tahun.
Begitupun Pengarah Teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas menjelaskan sejak dia dilantik September tahun lalu, usaha untuk mencungkil bakat baharu di negeri sudah digerakkan semula, namun untuk barisan atlet elit, Pandelela, Dhabitah serta Wendy Ng merupakan yang antara terbaik dimiliki negara ketika ini.
“Buat masa sekarang, ini sahaja (atlet) yang kita ada sekarang. Kita boleh untuk kembali menjadi antara pasukan yang disegani, cuma ia memerlukan sedikit masa serta perancangan yang betul.
“Kita memerlukan lebih ramai atlet pelapis yang mampu bersaing. Mungkin perlu ada dua atau tiga orang atlet dalam acara sama selain memiliki kemampuan hampir serupa. Setiap kali pertandingan utama, perlu buat pemilihan siapa yang layak,” jelas Bryan.
Sukan terjun di Malaysia sudah pun bertapak di Malaysia sejak lebih 30 tahun lalu, apabila program pertama diusahakan oleh mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad pada 1992 menerusi pengenalan Jaya 98′ untuk menghadapi Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.
Kini selepas tiga dekad, skuad terjun mungkin terpaksa bergantung kepada atlet muda seperti Betrand Rhodict Lises yang akan membuat penampilan sulung di temasya itu nanti. – UTUSAN










