PETALING JAYA: Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri masih mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut pengarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas, kegagalan menempah tiket bersama Datuk Pandelela Rinong ke sukan berprestij itu tidak mematahkan semangat Dhabitah untuk terus melayakkan dirinya.
Bryan berkata, Dhabitah masih mempunyai peluang untuk mendapatkan tiket ke Olimpik melalui dua acara lagi, iaitu 3m papan anjal dan 3m papan anjal seirama bersama Wendy Ng dan tidak mahu memikirkan tentang kegagalan ratu terjun negara itu.
“Sekarang ni kita fokus kepada mereka (Dhabitah-Wendy) sahaja dan tidak fokus apa yang jadi semalam untuk kebaikan mereka berdua.
“Kami mengharapkan prestasi yang lebih baik, tetapi ada sedikit halangan kerana Dhabitah mengalami kecederaan triseps dan proses pemulihannya sebenarnya berada di landasan yang betul,” katanya.
Terdahulu, Dhabitah-Pandelela terlepas tiket untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas hanya menamatkan saingan acara 10 meter (m) platform seirama di kedudukan ke-12 di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, kelmarin.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low berkata, sudah tiba masanya Pandelela berfikir untuk bersara dan berehat daripada dunia akuatik.
Menurutnya, mengikut mata ranking Pandelela sudah meleburkan impiannya untuk beraksi di sukan berprestij itu.
“Kalau mahu beraksi lagi, pastikan berlatih dengan lebih kuat dan kalau tidak mahu, boleh bersara.
“Untuk Dhabitah, saya nampak peluang dia masih cerah dengan berbaki dua acara untuknya,” katanya.
Sehingga kini, Bertrand Rhodict Lises merupakan penerjun satu-satunya yang layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024. – UTUSAN










