DOHA: Kegagalan penerjun negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi acara 10 meter platform wanita seirama menunjukkan sudah sampainya Malaysia mengasah bakat baharu dalam sukan itu.
Pandelela yang sebelum itu gagal dalam acara 10m platform individu di tempat ke-29 terus dihambat kekecewaan apabila gandingan dia dan Nur Dhabitah menghabiskan rutin di tempat ke-12 dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, kelmarin.
Pandelela dan Nur Dhabitah perlu berada dalam kelompok empat terbaik bagi mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai Julai ini.
Mereka gagal menampilkan prestasi terbaik menduduki kedudukan tersebut daripada 16 gandingan dengan mengutip 240.6 mata keseluruhan dalam acara berkenaan.
Pandelela yang meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 terlepas tiketnya ke Paris dalam acara kegemarannya 10m platform individu kelmarin selepas menamatkan saingan di tempat ke-29 sekali gus menyekatnya daripada beraksi di separuh akhir.
Terdahulu, dua penerjun lelaki negara, Ooi Tza Lian dan Muhammad Syafiq Puteh tersingkir di pusingan kelayakan 3m papan anjal individu lelaki selepas masing-masing menduduki tempat ke-23 dengan mengutip 352.10 mata dan 45 dengan 296.35 mata. – UTUSAN










