MUKADIMAH
Pelbagai cabaran dihadapi rakyat pada masa ini dalam menangani isu kos sara hidup.
Di sebalik pelancaran kempen Jualan Rahmah awal tahun lalu, isu kenaikan harga barang muncul satu persatu terutamanya melibatkan harga ayam, telur dan beras.
Tahun ini, rakyat berdepan pula dengan tarif air baharu, pelarasan tarif elektrik serta pengenalan beberapa cukai baharu dan kenaikan peratusan cukai.
Wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN menemu ramah Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), DATUK SERI DR. JACOB GEORGE bagi mendapatkan pandangan beliau.
UTUSAN MALAYSIA: Sejak bergerak aktif sebagai pejuang kepada hak pengguna terutama apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diperkenalkan pada 1990 dan kini dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, bagaimana Datuk Seri melihat keadaan semasa ketika ini?
JACOB GEORGE : Keadaan pengguna ketika ini seperti naik kereta api yang melalui terowong tanpa sebarang lampu atau cahaya di hadapan. Tangan kanan kata menolong, tangan kiri pun kata menolong, tapi tidak ada siapa yang benar-benar tolong.
Kita ada lebih 30 undang-undang yang melindungi pengguna, tetapi siapa yang jaga hak pengguna sebenarnya? Selama 49 tahun saya perjuangkan hak pengguna, tetapi apa yang berlaku ketika ini seolah-olah satu lakonan.
Kita ada banyak persatuan pengguna, kita sudah ada kementerian, dasar dan pengalaman tetapi apa hasilnya?
Ia menunjukkan seolah-olah kita tidak cukup kepakaran, tidak cukup turun padang, tidak cukup berdialog dengan rakyat.
Apa yang menjadi kebimbangan utama ketika ini?
Keterjaminan makanan. Saya baru kembali dari melawat Thailand, Kemboja dan Laos. Saya dapati mereka ada kertas kerja untuk memantau harga makanan. Mereka juga turun padang dan memberi keutamaan kepada petani dan nelayan oleh agensi-agensi kerajaan mereka.
Kita pula nak tolong semua golongan B40 tetapi jika kenaikan tarif dan cukai memberi impak kepada kenaikan harga, bukan B40 sahaja yang terkesan, M40 juga sama.
Oleh sebab itu, tindakan semasa tidak mencerminkan apa yang sebenarnya sedang berlaku, hanya apabila ada isu hangat sahaja ia ditangani. Jadi, kita perlu bersikap jujur di hati dan perlu ada ketelusan. Kita perlu beberapa perancangan untuk atasi perkara ini.
Kita perlu tanya adakah kempen Rahmah ini benar-benar memberi kesan kepada rakyat? Adakah kita ada kertas putih untuk pengguna dan adakah pelantikan mereka yang menguruskan perkara ini mempunyai pengalaman sewajarnya?
Apa yang diperlukan adalah penasihat, peruntukan dan mencabar dasar sedia ada. Perlu ingat, kita akan menempuh Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi, pastinya akan ada kesan kepada harga semasa.
Adakah dasar pengguna sedia ada mencukupi?
Kita sudah ada dasar dan ekosistem makanan yang mencukupi untuk membela hak-hak pengguna tetapi rata-rata undang-undang ini tidak dikuatkuasa.
Kita juga sudah ada data yang mencukupi tetapi kita tidak cukup sumber manusia walaupun kerajaan ada banyak kakitangan. Kita perlu bergerak segera untuk mengatasi cabaran akan datang.
Bagaimana dengan kos sara hidup di negara ketika ini?
Saya pergi ke Thailand dan bertemu dengan ramai penduduk dari Perlis, Kedah dan Kelantan. Mereka pergi ke sana membeli barang seperti sayur, ikan dan telur.
Saya tanya kepada mereka, kenapa datang ke Hatyai? Sebab di sana lebih murah, bersih dan bermutu untuk bekalan rumah mereka.
Maknanya, perancangan kita sudah gagal. Rakyat sendiri tidak suka membeli di negara sendiri dan ini mesti dibincangkan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Apa yang perlu dilakukan?
Perlu lebih banyak kerjasama dengan pelbagai pihak pada tahun ini, tahun hadapan dan seterusnya. Jika tidak, kita akan jatuh lebih teruk dari sebelum dan semasa Covid-19.
Berapa banyak projek yang perlu dilakukan, wujudkan kertas putih dan mengadakan perbincangan dengan akar umbi iaitu pengguna sendiri untuk mengatasi masalah ini.
Kita juga perlukan pakar yang berpengalaman, bukan lantik ikut geng. Saya tidak suka masuk geng dan tidak mahu membodek tapi yang membodek yang dapat projek. Saya sentiasa melindungi agensi kerajaan tapi kali ini saya tidak boleh hold back lagi, sebab prestasi mereka sudah merosot.
Negara ASEAN lain sudah bawa masuk pakar berpengalaman dan bermerit untuk tangani masalah pengguna. Mereka juga adakan perbincangan kertas putih dan tidak berpura-pura untuk selesaikan masalah.
Apa saranan Datuk Seri dalam menangani isu pengguna dan kos sara hidup?
Bagi saya, walaupun banyak soalan yang susah kerajaan nak jawab tapi ia mesti ditanya.
Pemimpin agensi kerajaan mesti terus komited. Tidak boleh berhenti bekerja dan turun padang.
Mereka perlu pertimbangkan penukaran dasar. Audit dasar-dasar lama dan kalau boleh adakan lawatan semula ke negara-negara jiran seperti Vietnam, Kemboja, Laos, Filipina dan Indonesia, kaji bagaimana mereka menangani isu pengguna.-UTUSAN










