Jangan pandang enteng subjek muzik di sekolah

Jangan pandang enteng subjek muzik di sekolah

PENDIDIKAN muzik tidak hanya memberikan pengalaman artistik, tetapi juga berguna bagi perkembangan holistik pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN muzik di sekolah bukan sekadar satu mata pelajaran tetapi merupakan wadah yang memainkan peranan penting dalam membentuk budaya pembelajaran holistik. 

Dalam era ketidakpastian global, kepentingan untuk mengekalkan dan memperkasakan pendidikan muzik di sekolah seharusnya menjadi keutamaan.

Salah satu kepentingan utamanya adalah kemampuan untuk mengekalkan dan menggalakkan kreativiti dalam kalangan pelajar. Kreativiti adalah ciri penting dalam pembangunan minda yang inovatif dan dapat memberi kelebihan kepada individu di masa hadapan. Melalui pembelajaran muzik, pelajar diajar untuk mencipta, mengeksplorasi bunyi, bermain instrumen muzik dan menggambarkan emosi melalui medium seni yang unik. 

Menurut kajian  Vuust (2022) yang diterbitkan dalam jurnal Nature Review Neuroscience, penglibatan dalam aktiviti muzikal dapat merangsang bahagian otak yang berkaitan dengan kreativiti dan kemahiran penyelesaian masalah. Ini memberi kesan positif terhadap perkembangan kognitif dan kreativiti.

Kajian menunjukkan penglibatan dalam pendidikan muzik boleh memberi impak positif terhadap prestasi akademik. Menurut Guhn, Emerson, dan Gouzouasis (2020) dalam Journal of Educational Psychology, pelajar yang terlibat dalam latihan muzik memperoleh peningkatan  kemahiran matematik dan sains berbanding dengan pelajar yang tidak terlibat.

Pembelajaran muzik melibatkan pemahaman terhadap unsur-unsur matematik seperti tempo, irama dan struktur melodi. Ini memberikan asas yang kukuh untuk pemahaman konsep matematik dan secara tidak langsung, melibatkan pemikiran logik yang diperlukan dalam pembelajaran sains.

Bahkan, ia juga dapat membentuk karakter yang positif dan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar. Seni muzik membuka peluang untuk menerapkan nilai seperti kerjasama, disiplin dan daya tahan dalam mencapai prestasi. Selain itu, muzik sering menjadi medium yang mampu menyampaikan mesej moral dan emosi serta membentuk perspektif etika pelajar. 

Kajian lepas mengaitkan muzik dengan prinsip-prinsip moral seperti bijaksana, sederhana, adil, perpaduan, kehidupan, empati, kasih, ketulusan, saling menghormati, kebebasan, tanggung jawab dan sebagainya.

Bahkan, menurut kajian Roziah, Azmul, dan Jailani (2021) terapi muzik digunakan di hospital-hospital abad pertengahan tamadun Islam seperti Hospital Fez di Morroco, Hospital cAdudi di Baghdad, Hospital al-Mansuri di Kaherah, Hospital Nuri di Damshiq, Hospital al-Arghuni di Allepo, Hospital Gevher Nesibe dan Sekolah Perubatan Giyaseddin Keyhusrev di Kayseri. 

Ilmu muzik pada pandangan cendiakawan Islam seperti Al-Kindi ialah ‘sains pertengahan’ (alc ilm al-awsat) yang meletakkan kepentingannya sebaris dengan ilmu aritmetik, geometri dan astronomi. Kewujudannya adalah sebagai perantara yang menghubungkan antara ‘sains bawahan’ (sains tabii/semulajadi) dan ‘sains atasan’ (sains luar tabii/metafizik).

Pembelajaran muzik seperti permainan rekoder dan kompang melibatkan pergerakan tangan, jari dan koordinasi antara tangan kanan dan kiri. Ini dapat membantu perkembangan dan meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak. 

Belajar membaca notasi muzik dan memainkan alat muzik menajamkan fokus serta membantu memperkaya pengalaman kognitif. Pelajar belajar mengenali simbol, membaca muzik dan mengembangkan pemahaman tentang konsep muzik. Anak-anak yang mempunyai bakat terpendam dapat menyerlahkan bakat dalam aktiviti-aktiviti muzikal yang diadakan di dalam kelas atau di peringkat sekolah.

Pendedahan aktiviti nyanyian pula menyediakan pelajar pengalaman pembelajaran nyanyian yang lebih sistematik seterusnya membantu menajamkan kemahiran aural atau pendengaran muzik. Mereka belajar untuk mendengar dengan cermat, mengenal pasti nada, irama dan harmoni. 

Melalui nyanyian, pelajar belajar kosa kata baharu, struktur ayat dan intonasi bahasa. Ini membantu meningkatkan keterampilan bahasa, baik dalam bahasa ibunda mahupun bahasa asing jika mereka menyanyikan lagu-lagu dari pelbagai budaya. Ketika menyanyi dalam kumpulan seperti koir, pelajar belajar pembahagian peranan, kerja sama dan menyokong satu sama lain. Ini membantu membangun kemahiran sosial termasuk kemampuan berkomunikasi dan berkolaborasi.

Belajar memain kibod, gitar, piano, rekoder, violin dan sebagainya memerlukan disiplin dan ketekunan. Ia membantu pelajarmengasah pendengaran muzik, membantu mereka mengenal pasti nada, irama, ekspresi, dan harmoni. Pelajar berpeluang untuk belajar mencipta lagu, mengimprovisasi atau membuat gubahan lagu yang merangsang kreativiti mereka. 

Bermain alat muzik sering kali melibatkan koordinasi sesama pemuzik, baik dalam bentuk ensembel, orkestra, atau kumpulan muzik sekali gus membantu membangun keterampilan sosial pelajar, seperti kerja berpasukan, komunikasi dan toleransi. Jika seseorang pelajar itu mempunyai bakat atau minat yang mendalam dalam permainan alat muzik, mereka boleh meneruskan pembelajaran di sekolah-sekolah seni seterusnya menceburi kerjaya baik sebagai pemuzik profesional, guru muzik, komposer, usahawan muzik, jurutera audio, juruterapi muzik, pensyarah, dan sebagainya.

RASIONAL

Walau bagaimanapun, seringkali kedengaran rungutan sesetengah pihak yang mempersoalkan  rasional pembelajaran muzik sekiranya pelajar tidak menceburi bidang ini selepas tamat sekolah. Sebenarnya, pembelajaran muzik yang disediakan di peringkat sekolah dapat meningkatkan kemampuan kognitif seperti penyelesaian masalah, penaakulan dan pemahaman abstrak. Keterampilan ini dapat diterapkan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk dalam kerjaya bukan muzik. 

Selain itu, pembelajaran muzik merangsang kreativiti dan pemikiran lateral. Walaupun pelajar tidak meneruskan minat dalam muzik secara langsung, kreativiti yang dikembangkan dapat diterapkan dalam banyak aspek kehidupan, termasuk dalam penyelesaian masalah dan inovasi di pelbagai bidang.

Tambahan lagi, berlatih muzik secara teratur memerlukan disiplin dan pengurusan masa yang baik.  Mereka belajar untuk mengatur jadual latihan dan menghargai pentingnya konsistensi dalam mencapai tujuan yang merupakan nilai penting dalam aspek kehidupan, termasuk dalam kerjaya dan kegiatan seharian.

Meskipun pelajar mungkin tidak meneruskan minat dalam bidang muzik setelah tamat belajar, namun manfaat jangka panjang tetap memberikan sumbangan positif terhadap perkembangan peribadi dan profesional mereka di masa depan.

Justeru, perlu dipastikan guru-guru muzik mendapat latihan yang mencukupi dan pengiktirafan yang setimpal atas sumbangan mereka. Guru yang berkualiti adalah kunci keberkesanan pendidikan muzik.

Selain itu, pastikan subjek ini tidak dianggap terpencil, tetapi diintegrasikan dengan kurikulum sedia ada untuk memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dalam konteks yang lebih luas.

Pihak sekolah juga boleh mewujudkan peluang untuk pelajar terlibat dalam aktiviti muzik di luar kawasan sekolah seperti kem muzik, konsert komuniti atau kerjasama dengan institusi seni tempatan.

Jangan pandang enteng terhadap pendidikan muzik di sekolah kerana pembelajaran tersebut tidak hanya memberikan pengalaman artistik, tetapi juga memberikan manfaat yang luas dan berguna bagi perkembangan holistik pelajar.-UTUSAN

Md. Jais Ismail ialah Koordinator Bidang Pendidikan Seni Muzik dan Perniagaan Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×