PETALING JAYA: Faktor usia berkemungkinan menjadi punca ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong gagal mempamerkan aksi terbaik di Kejohanan Akuatik Dunia Doha, sekali gus terlepas slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Untuk rekod, atlet kelahiran Sarawak itu berumur 31 tahun pada tahun ini dan dia juga sudah beraksi dalam beberapa kitaran sukan Olimpik dengan kejayaan terbesar ialah meraih perak bersama Cheong Jun Hoong di Olimpik Rio pada 2016.
Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin berkata, skuad terjun sebenarnya sudah membuat persediaan sangat baik sebelum menyertai Kejohanan Akuatik Dunia Doha, termasuk berkampung di China selama 55 hari untuk kem latihan.
“Selain itu, Pandelela dan Dhabitah (Nur Dhabitah Sabri) juga sudah dapat sokongan penuh daripada ISN (Institut Sukan Negara), apa sahaja yang mereka (Pandelela-Dhabitah) perlukan termasuk pakar urut dan ‘rehab’ dah diberikan.
“Namun, cuma persembahan mereka tidak baik dan ini kita kena dapatkan penjelasan Pengarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas. Markah 231 yang dicatatkan Pandelela juga jauh berbeza dengan masa dia menang gangsa di kejohanan dunia lalu.
“Ini (markah) pun kena tengok kenapa turun banyak berbanding pemenang di Doha yang catat 421 oleh atlet China. Jadi, kita kena dapatkan laporan penuh daripada Bryan. tetapi pada masa sama, kita tahu Pandelela ini faktor usia main peranan dan sebagainya.
“Jadi, memang ada terganggu juga. Sekarang, kita serahkan kepada jawatankuasa RTG (Road to Gold) untuk tentukan nasib dia dan untuk Program Podium pula, kalau dia tiada dalam RTG kita akan kekalkan kerana kontraknya tamat pada Sukan SEA 2025,” kata Jefri.
Impian rakyat Malaysia untuk melihat Pandelela beraksi di pentas Olimpik Paris kali ini lebur apabila gagal meraih peluang terakhir untuk acara 10 meter platform seirama bersama Dhabitah selain turut gagal dalam acara individu.
Ditanya kitaran masa untuk melihat atlet terjun lain yang mampu beraksi di pentas Olimpik dan mencabar pingat, Jefri berkata, masa empat tahun diperlukan untuk tujuan itu kerana Malaysia mempunyai masa depan cerah dalam sukan itu.
“Kita sudah diminta untuk cari bakat baharu dalam sukan ini selain kita juga sudah melantik jurulatih baharu untuk skuad pelapis. Kita akan berikan tumpuan dalam masa empat tahun sebelum boleh lahirkan atlet yang layak dan mampu bersaing pingat di Olimpik.
“Sekarang kita ada Kimberly Bong dan Elisha Rania serta kumpulan baharu. Sukan ini kita ada masa depan yang dengan adanya jurulatih yang baik, selain itu, taraf kita juga tinggi dalam sukan ini berbanding negara lain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Persekutuan Renang Malaysia (MS) Andy Low mengesahkan bahawa peluang Pandelela layak ke Olimpik Paris bagi acara 10m platform individu tertutup rapat, namun bagi 10m platform seirama, masih memiliki harapan tipis.
“Untuk 10m seirama peluang amat tipis. Jika masih ada kuota kosong negara yang sudah layak mungkin senarai nama penerjun yang belum layak akan naik ke atas, tetapi peluang amat tipis. Apapun, keputusan itu boleh diketahui dalam tempoh seminggu lagi,” kata Andy. – UTUSAN










