Beregu Indonesia bantu tingkat prestasi Pearly, Thinaah

Beregu Indonesia bantu tingkat prestasi Pearly, Thinaah

Pearly Tan dan M. Thinaah akan mendapat rakan pelatih dari Indonesia bagi meningkatkan lagi prestasi mereka terutama dalam mencari tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu utama wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah akan mendapat dua rakan pelatih dari Indonesia yang dibawa untuk memantapkan lagi permainan mereka.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, mereka merupakan bekas pemain kebangsaan Indonesia, Ade Yusuf Santoso, 31, dan Gerardo Rizqullah Hafidz, 21, yang mula berlatih bersama kem badminton Malaysia, semalam.

Rexy berkata, dia membawa pasangan itu susulan mesyuarat Road To Gold (RTG) sebelum ini yang mempersoalkan prestasi gandingan 12 dunia itu kurang memuaskan.

“Ini membuahkan saya satu idea daripada kritikan tersebut untuk membawa bekas pemain Indonesia ini untuk berkongsi pengalaman dan latihan kepada pasangan Malaysia itu.

“Saya berpendapat dengan menggunakan pemain dari Indonesia kerana corak permainannya berbeza dengan Malaysia.

“Lebih mudah lagi untuk saya bawa pemain Indonesia kerana terlalu banyak bekas pemain di sana. Kebanyakan semua tidak berumur malah ada yang muda akibat dibuang dari akademi,” katanya.

Ade Yusuf sebelum ini pernah menewaskan beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada final Terbuka Thailand 2015 manakala Gerardo merupakan anak saudara legenda badminton Indonesia, Markis Kido.

Mengulas lanjut, Rexy optimis dengan pasangan itu mampu capai misinya untuk meningkatkan agresif Pearly dan Thinaah dalam gelanggang semasa permainan.

Rexy memaklumkan dengan isu kecederaan belakang Pearly sebelum ini, mungkin akan membuat anak buahnya kurang tangkas beraksi dalam gelanggang.

“Saya mahu mengasah semula tahap agresif mereka (Pearly-Thinaah) semasa perlawanan kerana saya lihat bahawa ini merupakan satu kelebihan dalam diri mereka.

“Saya yakin dengan kelebihan yang mereka (Pearly-Thinaah) ada dapat gunakan akan membuat mereka lebih yakin dan bermotivasi dalam gelanggang,” katanya.

Ade Yusuf dan Gerardo beregu bersama Pearly dan Thinaah sepanjang latihan sebelum berlepas eropah untuk Kejohanan Badminton Terbuka Perancis dan All England, Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN