Transformasi peranan ‘kami’ dalam kejayaan IPT

Transformasi peranan ‘kami’ dalam kejayaan IPT

KEJAYAAN sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) bukan hanya milik individu tetapi hasil kebersamaan dan pertukaran idea yang tidak terhingga di alam pendidikan tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM perjalanan kehidupan, kadangkala kita menemui detik-detik kejayaan yang sebahagian besarnya menjurus kepada kejayaan peribadi berdasarkan kekuatan tunggal saya atau ‘I’ yakni merujuk kepada kejayaan individu.

Sedar atau tidak, hakikatnya, dalam persekitaran pendidikan tinggi yang semakin kompleks dan mencabar, elemen kebersamaan yang diwakili oleh kata ganti diri kami atau ‘we’ sebenarnya memainkan peranan lebih penting – jauh merentasi titik kecemerlangan individu.

Namun, untuk melangkah dengan lebih jauh, penyelidikan tadi masih memerlukan elemen kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, industri, kerajaan dan ini juga termasuk penyelidikan bersama serta pengkomersialan untuk memajukan lagi sektor pendidikan mahupun industri.

Justeru, hasrat yang dizahirkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam amanatnya secara tidak langsung menyedarkan kita semua bahawa elemen kebersamaan itu sebenarnya merentangkan wawasan, memberikan pengalaman berkarya yang melampaui batas perseorangan.

Ia juga adalah landasan yang membuka minda kita untuk memahami bahawa kejayaan bukanlah hanya milik individu tetapi hasil kebersamaan dan pertukaran idea yang tidak terhingga di alam pendidikan tinggi.

Sebagai nahkoda utama universiti, saya percaya langkah pertama dalam perubahan ini adalah menetapkan landasan asas bersama yang melibatkan seluruh komuniti universiti. Keperluan untuk berpaling daripada pendekatan individu ‘I’ kepada pendekatan berpasukan ‘We’ menjadi kunci untuk mencipta suasana kerjasama dan kesatuan yang kukuh.

Seperti yang dizahirkan oleh menteri, antara yang perlu digerakkan segera ialah yang pertamanya, budaya kolaborasi dan kebersamaan. Pentingnya untuk kita mengilhamkan budaya kolaborasi dan kesatuan sebagai teras dalam membentuk perubahan yang diinginkan.

Budaya ilmu dan kebebasan akademik perlu menjadi unsur asas dalam semua lapisan pentadbiran, memastikan persekitaran yang dinamik dan berkualiti tinggi. Ini melibatkan pemacuan nilai-nilai kritis-hormat, kemerdekaan berfikir dan sikap terbuka terhadap wacana ilmiah.

Seterusnya, tanggungjawab bersama melalui kolaborasi memandangkan universiti mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap masyarakat dan penerapan tanggungjawab ini harus dilakukan melalui kerjasama dan kolaborasi yang erat.

Dalam usaha untuk membangunkan kualiti pelajar dan mahasiswa, penerapan Modal Pendidikan Tinggi (HEDCAP) dianggap sebagai langkah strategik. Ini membawa kepada pembelajaran yang lebih mendalam, responsif terhadap ilmu baharu dan pembelajaran yang kritis.

Perkara ketiga adalah berkaitan hubungan harmoni dan tradisi intelektual yang mana nilai-nilai hormat, kasih sayang dan cinta ilmu menjadi pendorong utama dalam setiap langkah.

Pasti hebat sesebuah universiti andainya semua orang yang bekerja mempunyai mentaliti seperti ini. Pendekatan ini mencerminkan satu langkah ke arah budaya yang lebih inklusif dan berorientasikan pasukan serta menekankan bahawa pencapaian sesebuah organisasi adalah secara kolektif, bukannya secara individu. Hal ini seterusnya boleh membantu universiti membentuk pasukannya ke arah satu matlamat yang sama, malah, menggalakkan rasa kebersamaan dan kekitaan dalam memacu pertumbuhan universiti.

Pemacu Transformasi
Saya juga amat tertarik dengan pernyataan Zambry yang menyatakan keperluan untuk universiti menangani isu utama adalah sebuah pandangan yang sangat relevan dengan realiti kompleks yang dihadapi oleh universiti, terutamanya dalam era perubahan teknologi yang pesat.

Dalam konteks ini, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin pentadbiran universiti untuk mengambil pendekatan yang fokus dan strategik dalam menangani isu-isu utama yang berkaitan dengan keberkesanan dan kelestarian institusi.

Aspek-aspek penting seperti isu kewangan, akademik, penyelidikan, kebajikan pelajar, kebolehpasaran dan prasarana kampus yang lestari menjadi teras yang tidak boleh diabaikan. Oleh itu, analisis menyeluruh perlu dijalankan untuk mengenal pasti punca-punca sebenar dan mengatasi sumber rintangan yang mungkin muncul. Pendekatan ini memerlukan keupayaan pemimpin universiti untuk membuat keputusan yang berani dan berfokus kepada penyelesaian yang berkesan.

Tidak ketinggalan, adalah sesuatu yang penting untuk pemimpin universiti melibatkan semua pihak dalam proses pembuatan keputusan. Penglibatan staf dan pelajar dalam perbincangan dan komunikasi terbuka dapat memupuk rasa kebersamaan seterusnya memastikan setiap suara didengar dalam mencapai keputusan yang lebih inklusif.

Menangani perkembangan teknologi yang pantas adalah satu lagi aspek penting yang harus diberi perhatian. Universiti perlu memberi sokongan dan latihan berterusan kepada staf untuk memastikan mereka mampu mengendalikan cabaran dan peluang yang datang dengan kemajuan teknologi. Inisiatif pembelajaran berterusan dan pembangunan profesional menjadi kunci untuk memastikan staf bersedia menghadapi perubahan.

Saya percaya, pendekatan we have to address the core and not the peripheral issues. We have to hit the nail on its head, yang digariskan Zambry bukan sekadar slogan, tetapi merupakan komitmen nyata untuk menyelami permasalahan dan mencapai penyelesaian yang berkesan.

Adaptasi
Dalam konteks pendidikan tinggi, isomorphic mimicry yang turut disentuh oleh Menteri Pendidikan tinggi berkenaan yang mana apabila sesebuah institusi yang ingin menampakan gah, dengan meniru atau mengikut yang lain tetapi hakikat sebenarnya adalah tidak (loss capable). Hal ini perlu dijauhkan oleh pendidikan tinggi negara kerana ia tidak mendatangkan apa-apa kesan jangka panjang bahkan menambah kecelaruan yang teruk.

Isomorphic mimicry merujuk kepada kecenderungan meniru amalan luar tanpa memahami atau menerapkan esensi sebenarnya. Dalam konteks pendidikan tinggi Malaysia, isu ini dapat dilihat dalam peniruan struktur pendidikan, pematuhan terhadap indikator kepelbagaian, kerjasama industri dan penilaian prestasi. Penting untuk memastikan bahawa tindakan atau inisiatif institusi pendidikan berasaskan pada keperluan tempatan dan nilai masyarakat Malaysia, serta menghindari kehilangan esensi serta keupayaan sebenar melalui peniruan tanpa pemahaman mendalam.

Masa depan terletak di tangan kita bersama. Ayuh bersama berdiri bersatu, memeluk perubahan sebagai peluang dan membina kejayaan sebagai satu komuniti. Setiap usaha kita adalah satu perjalanan ke arah mewujudkan institusi yang lebih hebat, relevan dan bermakna.-UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Zaliman Sauli ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN