PERBUALAN dengan juruterbang komersial, Hafiz Hisan, 38, pada 2 Januari lalu berisi pelbagai topik berkaitan bahasa, penulisan, komuniti, dan buku.
Namun, tumpuan kami kemudian menjurus kepada perlunya dialek bahasa Melayu di Perak dipelihara dan diperluaskan penggunaannya.
Saya mengenali Hafiz sejak pemuda kelahiran Ipoh, Perak ini menjadi juruterbang muda dan menghiasi kulit depan sebuah majalah. Walaupun saya berasal dari Taiping dan lebih biasa dengan dialek utara (Kedah), isu yang diketengahkan Hafiz menarik perhatian.
Sebagaimana dinyatakan beberapa pakar bahasa pada Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti dengan tajuk khusus Moh Labun Loghat Perak di Ipoh pada 26 Oktober tahun lalu, bahasa pertuturan orang Melayu di negeri itu yang paling asli ialah dialek digunakan di Kuala Kangsar dan Perak Tengah.
“Saya dibesarkan tok dan opah di Kampung Sungai Rokam, Ipoh dan kehidupan saya sejak kecil dipengaruhi budaya, cara hidup, dan bahasa pertuturan mereka yang berasal dari Bota,” Hafiz menceritakan.
Budaya penglipur lara atau bercerita juga kuat dalam keluarganya semasa anak-anak. Datuk dan nenek bercerita tentang pengalaman, kisah di kampung, hal keluarga, jenaka dan cerita rakyat menggunakan sehingga kesemuanya menjadi sebati dalam hidup pemuda ini.
“Istilah seperti moh (jom), leghaih (cepat), ate (sesudah itu), mun (kalau) dan engkohnya (rupa-rupanya) sering mereka gunakan, lalu menjadi sebahagian daripada kosa kata yang saya amalkan dalam perbualan seharian,” tambahnya yang kini menetap di Puchong, Selangor dan mengaku menghadapi masalah apabila rakan-rakan di sini kurang memahami dialek yang digunakan secara spontan.
“Sejak tok dan opah meninggal dunia, saya kurang berpeluang bercakap menggunakan dialek Perak Tengah. Ahli keluarga terdekat juga tidak menggunakan dialek dalam urusan seharian. Situasi ini sebenarnya mengancam masa depan dialek bahasa Melayu Perak kerana semakin kurang digunakan,” ujar Hafiz sambil menyebut bagaimana sistem bahasa standard di sekolah membuatkan anak-anak muda Melayu memilih untuk meninggalkan gaya bahasa dialek.
Bagi Hafiz sendiri, penggunaan dialek terbatas kepada perbualan dengan rakan-rakan sekampung dan saudara-mara yang masih menetap dan menyara hidup di Bota. Peluang itu pula hanya muncul apabila dia pulang ke kampung ketika hari perayaan atau cuti panjang.
“Rata-rata orang Melayu di bandar raya Ipoh sudah jarang menggunakan dialek ini, apatah lagi mereka yang merantau atau sudah bermastautin ke Selangor dan Kuala Lumpur. Mujurlah saya masih mendengar rakan-rakan di ibu kota menggunakan perkataan seperti ate, moh, kome dan mike dalam perbualan,” akui Hafiz.
Dia turut menghargai sumbangan arwah Mamat Khalid dari Kampung Sungai Rokam yang menyajikan budaya dan bahasa orang Melayu dialek Perak menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010).
Perbualan kami berdua turut menjurus kepada usaha yang boleh dilakukan bagi memastikan penggunaan dialek tidak hilang ditelan zaman. Tentulah kami berdua sebagai orang biasa tidak mampu melakukan sesuatu yang besar tetapi sekurang-kurangnya boleh membuka topik untuk perbincangan lanjut dalam kalangan para pemegang taruh termasuk pemerintah, pertubuhan dan individu.
“Saya sedia memberi sumbangan masa, tenaga, ilmu dan wang ikut kemampuan kepada mana-mana pihak yang mahu berusaha memartabatkan kembali penggunaan dialek Perak Tengah. Glosari Dialek Perak (2015) boleh dikembangkan menjadi kamus yang lebih lengkap. Mungkin ada penulis yang mahu menerbitkan buku dalam dialek tempatan,” katanya dengan penuh semangat.
TAHUN MELAWAT PERAK
Tentulah amat baik jika Kerajaan Negeri Perak mengambil inisiatif dalam usaha melestarikan dialek Perak Tengah. Tahun Melawat Perak 2024 boleh sahaja dijadikan titik tolak untuk benar-benar melaksanakan usaha memulihara dan mengembangkan penggunaan dialek yang semakin hilang.
“Saya harap pemegang taruh di peringkat negeri dan pusat lebih agresif. Usaha memelihara dan mendokumentasi dialek Perak tidak akan berjaya tanpa komitmen peringkat tertinggi. Sampai bila mahu mendesak dan mengharapkan orang bawahan dan komuniti sendiri melakukannya sedangkan tidak ada iltizam dan sokongan kewangan dari peringkat atasan?” Hafiz mempersoalkan.
Juruterbang ini yang sudah merantau ke pelbagai negara dan melihat sendiri usaha dilakukan dunia luar turut mencadangkan supaya anak-anak muda memainkan peranan. Misalnya, para pempengaruh di media sosial seperti Instagram dan TikTok boleh menggunakan ruang yang sedia ada untuk memperkenalkan dialek negeri. Video mereka mungkin menarik minat penaja yang sama-sama mahu menyokong usaha murni yang dilakukan itu.
“Saya tidak nampak mengapa kerajaan negeri misalnya tidak boleh memberi dana atau sumbangan kepada pempengaruh seperti ini. Tambahan pula, usaha mereka pasti lebih berjaya berbanding menggunakan saluran rasmi atau pendekatan politik,” Hafiz mengemukakan cadangan yang selaras pandangan saya juga.
Pada masa sama, di setiap negeri ada begitu banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan bahasa, sastera, seni, budaya dan komuniti. Di sekolah dan institusi pendidikan tinggi juga ada persatuan seumpama itu. Tentulah NGO di negeri Perak boleh memainkan peranan mengangkat dan mempromosi dialek yang semakin dilupakan generasi muda.
“Kita ada ramai penulis dan sasterawan Melayu kelahiran Perak serta turut bernaung di bawah Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk). Alangkah baik jika mereka turut memikul tanggungjawab menampilkan watak, budaya dan dialek Melayu negeri Perak dalam karya untuk bacaan umum,” kata Hafiz lagi.
Semakan di portal rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menunjukkan sekurang-kurangnya empat persatuan sastera, empat bagi drama, empat untuk rekreasi, empat bagi karyawan dan empat belas buah NGO kebajikan masyarakat Melayu.
Tentulah saya dan Hafiz tidak berniat menuding jari kepada sesiapa. Sebaliknya, kami berharap suara dan harapan kami sampai ke telinga mana-mana pihak yang sama-sama prihatin terhadap isu ini.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










