ISU kemiskinan di Malaysia berkumandang lagi di Parlimen baru-baru ini. Walaupun dalam tempoh 50 tahun sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1970 menunjukkan penurunan kadar kemiskinan yang ketara, namun data dan isu kemiskinan terus wujud serta bersifat dinamik.
Iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menoktahkan kemiskinan khususnya miskin tegar pada penghujung tahun ini diharap akan menjadi kenyataan, seandainya semua pihak terutama pemimpin dan penjawat awam yang melaksanakan dasar memahami dan beriltizam untuk menepati sasaran Perdana Menteri itu mengikut jadual yang disasarkan.
Sepertimana data yang diumumkan oleh beberapa pihak utama iaitu Jabatan Perangkaan (DOSM) dan Kementerian Ekonomi sendiri, anggaran jumlah pendaftaran Ketua Isi Rumah (KIR) bagi miskin tegar Malaysia yang berdaftar di bawah Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) adalah sebanyak 102,888 (sehingga Oktober 2023), manakala KIR miskin mutlak pula didaftarkan sebanyak 299,080 (Mei 2023).
Dalam erti kata lain, jika dikira purata isi rumah mempunyai bilangan ahli seramai lima hingga tujuh orang dalam sesebuah keluarga, bermakna terdapat antara 2 juta hingga 2.8 juta orang atau pada kadar enam hingga lapan peratus daripada keseluruhan rakyat dikategorikan miskin (tegar dan mutlak).
Angka begini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan dan kualiti hidup golongan terbabit tetapi juga boleh memberi kesan yang tinggi kepada kerajaan untuk menanggung pelbagai kos ekonomi dan sosial terhadap golongan miskin ini.
Isu kemiskinan ini sangat dekat di hati saya kerana saya sendiri pernah melalui detik-detik kemiskinan terutama di era 70-an sehinggalah allahyarham ibu bapa berjaya meningkatkan pendapatan keluarga melalui pendidikan dan kegiatan perniagaan keluarga. Saya sentiasa menjadikan kejayaan ibu bapa sebagai antara model terbaik untuk keluar daripada status miskin yang pernah dilalui suatu masa dulu.
Kebetulan selepas itu, saya dipilih kerajaan untuk menjayakan secara langsung pelbagai kegiatan sosioekonomi melibatkan pembangunan golongan miskin sejak 2012. Bermula dengan program 1Azam Sabah, Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Belia, Program Ekonomi Sejahtera Rukun Tetangga (PESAT) Kuala Lumpur, hinggalah pembangunan Asnaf di Perak hingga ke hari ini.
PENGALAMAN
Berdasarkan pengalaman, kejayaan mengeluarkan golongan miskin daripada status kemiskinan itu memerlukan gerak kerja yang penuh iltizam antara kedua-dua belah pihak iaitu peserta miskin itu sendiri dan pelaksana dasar secara konsisten.
Walaupun pembasmian kemiskinan memerlukan pelan kerja bersifat jangka pendek (bantuan kewangan tunai, subsidi), jangka sederhana (ilmu kemahiran, penempatan kerja dan keusahawanan) serta jangka panjang (pendidikan), namun saya banyak menumpukan gerak kerja jangka sederhana dan jangka panjang kerana inisiatif itu ibarat umpama memberi pancing ikan, bukannya memberi ikan sahaja iaitu mereka boleh berdikari dan berubah menjadi lebih baik.
Dalam erti kata lain, pengalaman saya juga merumuskan bahawa kunci kejayaan meningkatkan keupayaan golongan miskin untuk keluar daripada garis kemiskinan adalah melalui sistem pelaksanaan yang mencakupi ilmu, kemahiran jaya diri, peluang penjanaan pendapatan atau ekonomi keluarga, motivasi diri serta daya usaha dan seterusnya yang paling penting ialah program pembasmian kemiskinan yang wajib berpusatkan kepada peserta itu sendiri.
Bagi mencapai matlamat tersebut, saya berpegang kepada prinsip dan pakej program secara LBP iaitu latihan (kemahiran), bimbingan (fasilitator) dan pemantauan (berterusan). Ketika latihan diberikan mereka akan dibekalkan dengan bidang yang mampu menjana pendapatan seperti kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), keusahawanan dan jati diri. Ini disusuli dengan peralatan dan modal untuk memulakan usaha jaya diri.
Bimbingan pula lebih bersifat untuk memastikan mereka benar-benar memanfaatkan ilmu yang diperoleh dan melihat aspek-aspek keperluan seperti modal, premis, produk dan potensi pengembangan. Manakala pemantauan pula ialah memastikan usaha untuk berdikari dijalankan secara berterusan.
Proses yang mengambil masa sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun ini adalah antara cabaran sukar yang selalunya gagal dilaksanakan sepenuhnya oleh agensi kerajaan yang terlibat. Namun, amanah yang diberikan kepada institusi swasta membolehkan kami bergerak tanpa sebarang halangan birokrasi.
Kesannya, kami bukan sahaja telah membuktikan kejayaan mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan, malah ada yang meraih pendapatan tinggi, seterusnya ke tahap orang kaya, hidup senang. Ini membawa kepada kualiti dan kesejahteraan hidup.
Terbaharu pula, kesemua mereka sedang dikumpulkan sebagai komuniti kecil yang membentuk komuniti sosioekonomi yang lebih besar dan terbaru adalah menerusi program perintis Pasar Komuniti Kuala Lumpur dengan menghimpunkan komuniti sekuriti makanan kami dari Johor, Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Pahang. Sebahagian mereka adalah produk basmi kemiskinan kami sejak 10 tahun lalu.
Pengalaman peribadi sebagai golongan miskin suatu masa dulu, hinggalah dilantik kerajaan secara langsung menguruskan golongan miskin ini lebih 10 tahun, membolehkan kami terus sebati untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk menyempurnakan kaedah yang paling cepat, cekap, jimat dan berkesan.
Beberapa negara seperti Thailand dan Vietnam pernah bekerjasama dengan mengambil kira keberhasilan pengalaman kami dalam melaksanakan pembasmian kemiskinan.
Memerangi kemiskinan adalah satu jihad kerana Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa ‘hampir-hampir kemiskinan itu membawa kekufuran’.
Manakala sebuah kitab agama terkenal di Perak iaitu Risalah Iskandar Shah (muka surat 16) mengatakan pula bahawa:
“Hina manusia dengan kerana miskin. Hina kampung dengan kerana semak. Hina senjata dengan kerana karat dan hina binatang dengan kerana kurus”.-UTUSAN
PENULIS ialah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW).










