APABILA menyebut berkaitan warganegara, sejauh manakah kita memahami mauduk ini dalam meniti kehidupan? Adakah tuntutan kesejahteraan mental benar-benar menjadi isu utama dalam negara ini serta bagaimana langkah-langkah dirancang dan dilaksanakan bagi mengenal pasti punca dan faktor yang menyebabkan semakin merosotnya kualiti atau graf kesejahteraan mental dalam kalangan warganegara ini khususnya bagi penduduk di kawasan bandar.
Berdasarkan perkongsian daripada laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN), Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) yang merupakan inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan trend peningkatan masalah mental sebanyak lima kali ganda pada 2022 berbanding 2020, terhadap statistik individu yang mendapatkan sokongan perkhidmatan ini khususnya pascapandemik Covid-19.
Pada 2015, Kajian Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) melaporkan, satu pertiga warganegara dalam lingkungan usia seawal 16 tahun berisiko dengan masalah mental. KKM turut merekodkan 2.3 peratus golongan dewasa dan 9.5 peratus kanak-kanak berusia antara 10 hingga 15 tahun mengalami masalah mental.
Berdasarkan laporan KKM ini dapat disimpulkan bahawa kesejahteraan psikologi adalah satu tahap kesempurnaan dari segi fizikal, mental dan sosial sehingga tidak mendatangkan penyakit dan keuzuran dan berkait rapat dengan kesihatan mental serta perlu diberi penekanan ke arah menjadikan individu itu lebih sejahtera.
Individu yang sejahtera atau sebaliknya pula merupakan komponen kepada kompleks masyarakat bagi sesebuah negara seperti Malaysia ini dan sudah tentu memberikan kesan kepada kemajuan negara.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Sains dan Tabung Darurat Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) berganding bahu untuk menyokong seluruh dunia agar memperkukuhkan kesihatan mental serta menangani sokongan sosial-psikologikal, serta perkhidmatan kesihatan asas yang lain.
Permasalahan terbesar dan kritikal kesihatan mental di negara ini berdasarkan kes-kes yang ditangani meliputi tingkah laku bunuh diri dan golongan kanak-kanak tidak terkecuali daripada kes ini. Berdasarkan laporan, seorang daripada 20 orang kanak-kanak berusia dari 5 hingga 9 tahun turut terlibat dalam konflik kesejahteraan ini.
Apa yang amat membimbangkan ialah populasi remaja antara 10 hingga 17 tahun iaitu sebanyak 12.3 peratus yang mendiami Program Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung untuk membunuh diri.
Sebagai masyarakat yang mengamalkan tradisi serta dibekalkan dengan semangat saling menghargai dan meraikan kepelbagaian, Malaysia pada hari ini harus bertindak dengan pelan dan strategi agar semua pihak dapat memainkan peranan dalam membantu golongan seperti yang disebut ini, yang benar-benar wujud dalam masyarakat hari ini.
Apalah maknanya kemajuan negara yang dikecapi, sekiranya terdapat golongan masyarakat khususnya kanak-kanak yang berdepan dengan konflik kesejahteraan tetapi tidak dapat dibantu serta dirawat.
Golongan pendidik adalah benteng penting dalam menterjemahkan kesejahteraan mental kepada generasi kita. Dalam kalangan guru, sudah tentu kesejahteraan mental dan diri amat penting dalam menunjukkan contoh tauladan terbaik serta bimbingan dan didikan kepada kanak-kanak dan remaja.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam kenyataannya menyebut kementeriannya mengenal pasti faktor yang boleh menyebabkan kepada terjejasnya kesihatan mental dalam kalangan warga pendidik.
Media turut berperanan dalam menyalurkan perkongsian yang bermakna serta ke arah pembudayaan akal sihat. Program-program berbentuk hiburan tidak salah, namun pendekatan program mestilah membina keperibadian seni yang unggul dan sudah tentu penonton khususnya kanak-kanak dan remaja akan meneladani apa yang ditonton oleh mereka.
Isu-isu provokasi dunia politik yang ditonjolkan menerusi media juga satu trend yang boleh dianggap berada di ambang krisis kesejahteraan mental.
Oleh hal yang demikian, tindakan proaktif dan kawalan diri adalah antara langkah yang penting dalam menelusuri isu kesejahteraan mental.
Keupayaan individu dalam mengawal emosi dan keinginan dalam memberikan respon atau reaksi dalam ruangan siber adalah etika penting dalam mengawal selia internet. Sikap pengguna internet perlu difokuskan dengan etika dan adab dalam menggunakan internet.

PENDIDIKAN
Kesedaran kepentingan kesejahteraan mental dan keselamatan dalam kalangan kanak-kanak bermula dari tadika serta juga peringkat sekolah rendah dan seterusnya menengah. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Kami mengambil peluang bersama-sama dalam Hari Sukan Tahunan anjuran Tadika Twinkle Star dalam menjayakan slot program pemindahan ilmu dan khidmat masyarakat dengan kerjasama Women in Logistics and Transport Malaysia (WiLAT), The Chartered Institute of Logistics and (WiLAT) Transport Malaysia dan Saito University College. Program rintis ini bagi melihat sejauh manakah maklum balas ibu bapa terhadap topik yang dikongsikan serta reaksi kanak-kanak berkaitan kesejahteraan mental dan pengasuhan digital.
Pihak pengurusan tadika sentiasa melaksanakan pemantauan terhadap keselamatan kanak-kanak khususnya dalam kesejahteraan emosi. Ibu bapa haruslah diberi pendidikan tentang kepentingan untuk mengenal pasti perubahan tingkah laku anak-anak. Kurangnya pemantauan ibu bapa mungkin mengakibatkan perkembangan psikososial yang tidak sihat dalam kalangan kanak-kanak bawah usia tiga tahun, dan merencatkan perkembangan kemahiran autonomi mereka.
Benarlah peribahasa menyebut datang seperti ribut, pergi seperti semut. Ayuh bersama-sama ke arah mewujudkan kesejahteraan mental.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Majlis Profesor Negara dan Institut Masa Depan Malaysia.
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka










