Istilah kerajaan perpaduan untuk menjelaskan struktur kerajaan semasa adalah kurang tepat. Ini kerana kerajaan perpaduan sebagai padanan kepada unity government, lazimnya terdiri daripada semua parti politik, baik yang kecil mahupun besar, atau sekurang-kurangnya semua parti politik besar. Ia pula ditubuhkan khas dalam keadaan musibah, antaranya peperangan atau darurat di seluruh negara. Sehubungan ini, cara penubuhan kerajaan semasa tidak merangkumi semua parti politik besar dan negara tidak pun berada dalam kecemasan.
Kerajaan semasa yang kini dianggotai hampir semua parti politik lebih sesuai digelar kerajaan perdamaian. Ini kerana tujuan penubuhan struktur pemerintahan perkongsian kuasa sedemikian yang digagaskan Ketua Negara adalah untuk mewujudkan kestabilan politik yang sangat diperlukan negara. Ini kerana keadaan sebelum ini amat menjejaskan prestasi negara, khususnya dari segi ekonomi tidak sempat pun diberikan perhatian sepenuhnya oleh kerajaan memerintah akibat ketidaktentuan politik yang dahsyat.
Semangat berdamai melalui gencatan politik bukan sahaja penting untuk menjamin kestabilan negara, ia juga sangat mustahak untuk memulihkan negara yang perlu keluar sesegera mungkin daripada krisis ekonomi. Justeru, semangat berdamai semula setelah bersengketa sakan hendaklah disambut baik pertama-tamanya oleh ahli dan parti politik. Ia kemudiannya perlu diikuti oleh rakyat jelata, khususnya mereka yang mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), baru-baru ini.
Walaupun sangat perlu dilakukan oleh semua pihak dengan lapang dada selain jiwa besar demi negara tercinta, namun sengketa politik sebelum ini bukan sahaja dahsyat, tetapi juga menyinggungkan. Ia didapati tidak semudah itu waima mahu menuruti filsafat peribahasa, buang yang keruh ambil yang jernih. Sehubungan ini, masih terdapat sesetengah pihak yang terus mahu memusuhi sebilangan ahli dan parti politik, sama ada atas sentimen yang dimomok-momokkan sahaja atau perkara sebenar yang berlaku.
Kejadian yang memperlihat ahli dan parti politik tertentu yang bukan sahaja menghina, tetapi mengaibkan pihak tertentu, walaupun berupa perkara lampau tetap menjadi kenangan yang sukar dilupakan oleh pihak tertentu itu. Namun, atas semangat berdamai yang harus menjadi dasar negara kini, kita semua hendaklah melakukan sesuatu yang baharu, termasuklah bermaaf-maafan untuk maju selanjutnya setelah terbantut akibat persengketaan sebelum ini. Ia tidak lain dan tidak bukan adalah dengan berdamai melalui segala nilai damai yang ada.
Ahli dan parti politik tertentu yang didapati keterlaluan sebelum ini dalam menjuarai kepentingan etnik tertentu, hendaklah kini mengambil sikap kurang dan kalau boleh tidak lagi mengangkat perkara kekauman sensitif secara agresif. Antaranya kesamarataan, iaitu keadaan saksama dari segi hak dan peluang untuk semua etnisiti tanpa mengambil kira kewujudan etnik asal yang bukan sahaja merupakan kelompok majoriti, tetapi juga dominan di negara ini. Sehubungan ini, ia hendaklah digantikan dengan keadilan, yakni keadaan seimbang berdasarkan sejarah tanah air selain destini yang perlu dipertimbang.
Dengan ini, ahli dan parti tertentu yang berpolitik sempit dahulu dalam menjuarai kepentingan etnik tertentu, antaranya pendidikan bahasa ibunda, hendaklah mula mengambil langkah baharu yang bukan sahaja tidak agresif, tetapi penuh berhemah. Ini wajib dilakukan untuk tujuan perdamaian bagi menjunjung titah Ketua Negara yang berniat baik untuk melihat negara maju semula setelah semacam hancur sebelum ini.
Pendekatan agresif sebelum ini sebenarnya adalah untuk meraihkan keuntungan politik agar terus disokong kuat oleh etnik tertentu. Namun, keadaan kini mengangkat dasar perdamaian untuk tujuan perpaduan negara, yakni hubungan baik antara pelbagai etnisiti dan integrasi nasional, iaitu hubungan mesra antara tiga wilayah dalam Malaysia. Oleh itu, apa-apa sahaja yang hendak dilakukan mulai sekarang, haruslah perkara yang boleh menyatupadukan dan bukan sebaliknya.
Lakuan memohon maaf kepada penduduk satu wilayah itu setelah kerajaan mereka diperlekeh, bukan sahaja tindakan yang perlu dialu-alukan, ia mulia sekali dalam usaha kita berdamai. Selanjutnya, permohonan maaf juga hendaklah dihulurkan kepada etnik Melayu yang banyak disinggung oleh ahli dan parti politik sama.
Walaupun ada parti politik besar yang tidak mahu menyertai kerajaan perdamaian ini setelah dipelawa sendiri oleh ketua kerajaan baharu, perdamaian yang merupakan dasar negara kini bukan sahaja disambut baik, tetapi diakuri melalui bentuk lain. Tindakan mempelawa ini sesungguhnya adalah sifat negarawan kerana ia dilakukan demi tanah air tercinta agar stabil semula.
Walaupun ditolak, ini tidak bermakna tiada sifat negarawan pada pihak itu. Ia masih negarawan kerana mahu melaksanakan peranan semak dan imbang sebagai pembangkang baik lagi kuat agar demokrasi kita benar-benar optimum perjalanannya.
Dengan keadaan berdamai ini, tidak ada sebab lagi untuk negara berada di takuk lama dengan sengketa politik dahsyat dan berpanjangan pula. Melalui keinsafan yang diperlihat banyak pihak, sehingga ahli dan parti politik sanggup menjilat ludah sendiri, semua rakyat tanpa mengira etnisiti dan wilayah hendaklah bukan sahaja ikut mendukung dasar perdamaian ini, tetapi juga merealisasikannya.
Ini penting sekali untuk kerajaan bersekali dengan rakyat mengharungi keadaan global tidak menentu yang mempunyai dampaknya kepada negara, selain menempuhi suasana dalam negara yang gawat.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










