PETALING JAYA: Sokongan orang Melayu terhadap DAP semakin baik dan positif sekali gus membolehkan parti itu meletakkan lebih ramai calon Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, orang Melayu sudah mula yakin dengan kejayaan pentadbiran DAP dan Pakatan Harapan (PH) khususnya di Pulau Pinang dan Selangor.
“Mereka sudah yakin apabila tengok pentadbiran di Pulau Pinang dan Selangor. Hak dan peruntukan untuk Islam tidak pernah berkurang malah, lebih.
MASJID
“Pelbagai program dan peruntukan disalurkan untuk program-program di masjid dan berkaitan agama Islam. Maknanya, tiada sebarang halangan, sebab itu, orang Melayu terima dan menyokong DAP,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas mengenai sokongan orang Melayu dan strategi menarik sokongan kaum berkenaan menjelang PRU15 yang bakal diadakan tidak lama lagi susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan berkata, DAP akan mengetengahkan lebih ramai calon Melayu pada PRU15 bagi mengisi kekosongan kerusi yang sebelum ini ditandingi oleh calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Kata Anthony, langkah itu sebagai usaha memperkasakan kepelbagaian dalam kepimpinan DAP selain turut menjangkakan pertambahan kerusi bagi calon parti itu pada PRU15 berikutan pembahagian semula kerusi Bersatu pada PRU14.
“Sebab pada PRU lepas, kebanyakan kerusi majoriti Melayu kita serahkan kepada Bersatu. Jadi untuk pilihan raya akan datang ini, kita akan bertanding di lebih banyak kerusi termasuk di kerusi majoriti Melayu.
“Faktor pendaftaran pengundi automatik juga memberi implikasi kepada kerusi-kerusi sedia ada kita menjadikan kerusi campuran menjadi kerusi majoriti Melayu,” jelas Anthony.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, ketika ini lebih banyak cawangan-cawangan DAP telah ditubuhkan termasuk di Perak sekali gus membuktikan penerimaan masyarakat Melayu kepada parti itu.
“Sudah banyak cawangan baharu dibuka sekarang, ini bukti kita diterima dan sokongan itu makin. Yang pastinya perjuangan kita selaras dengan Perlembagaan dan ia diterima oleh semua rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, beliau percaya DAP akan mengambil langkah untuk mengetengahkan lebih ramai calon Melayu. – UTUSAN










