Buku setebal 96 mukasurat ini bukan sahaja dapat membuka mata kepala para pembaca tentang realiti sebenar politik tanah air kita bahkan ia mengajak mereka yang ingin mula berkecimpung dalam dunia politik, menjawab beberapa persoalan penting sebelum nekad terjun ke dalam politik seperti apakah matlamat utama kita untuk bermain politik? Adakah kita benar-benar ingin memperjuangkan rakyat atau mendapatkan kuasa demi kepentingan peribadi?
Buku Genta Telah Berbunyi karangan penyair, penulis dan budayawan tersohor tanah air, Raja Ahmad Aminullah ini cukup bagus untuk setiap lapisan umur.
Susunan bahasa mudah, penggunaan ayat santai tetapi padat dengan fakta sejarah berlaku dalam arena politik kita menjadikan ia mesra pembaca. Tak cepat bosan dan mampu menghabiskan pembacaan dalam waktu singkat.
Buku ini juga dilihat dapat menjentik hati sebahagian ahli politik yang terkeluar daripada landasan perjuangan sebenar untuk bermuhasabah dan kembali ke pangkal jalan.
Menariknya, penulis turut menyentuh realiti sikap pemimpin yang pada awalnya ikhlas berjuang demi rakyat, namun tatkala berjaya, tiba-tiba segala apa yang dijanjikan dan niat ikhlas tersebut hilang sekelip mata.
Lalu mereka terjerumus dalam kegiatan-kegiatan nista seperti rasuah dan sebagainya.
Mengapa hal ini berlaku? Buku ini ada jawapannya.
Raja Ahmad Aminullah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ungku, banyak menghabiskan waktu terluangnya dengan membaca dan mengkaji tentang politik tempatan.
Kelebihan beliau yang mempunyai hubungan kuat dengan ramai ahli politik dan pemikir tanah air, sedikit sebanyak membantu beliau mendapatkan gambaran lebih jelas tentang apa yang berlaku.
Teriakan muak, mual, jemu, bosan, fed up kian berkumandang.
Apakah yang menyebabkan kita sering mendengar kata-kata itu diucapkan?
Apakah yang berlaku sehingga membawa kita kepada keadaan sedemikian?
Apakah yang berubah dalam susun atur masyarakat kita? Apabila seseorang itu berhadapan kekuasaan yang mereka tidak fahami, apa lagi mengawalnya, mereka menjadi pesimistis, sinis dan kecenderungan untuk tidak percayakan kebaikan.
Sekiranya ancaman tidak terelakkan dan tiada pula penyudahnya, maka dia sekadar menghukum.
Buku Genta Telah Berbunyi menunjukkan pentingnya mengenali kelemahan kita dan seterusnya berusaha melakukan revolusi pemikiran demi menjayakan kewujudan masyarakat yang hasanah, adil dan saksama.
Masanya belum terlambat, tapi tindakan segera harus diambil sekiranya ingin melahirkan visi masyarakat dan bangsa yang progresif oleh generasi baharu. Jawapannya terserah kepada kita. Tepuk dada tanya selera, berpaksikan keimanan kita.
Sinopsis buku ini sudah cukup untuk membuatkan anda tak senang duduk dan ingin terus mendapatkan senaskhah.
Buku terbitan Strategic Information and Research Development Centre, SIRD ini boleh didapati menerusi laman sesawang mereka atau dapatkan terus dari penulisnya sendiri di laman sosial, Facebook: Raja Ahmad Aminullah.










